Semangat warga Medellin dalami Islam


Oleh Abu Bakar Ali

 

MEDELLIN, disebut dalam bahasa Sepanyol sebagai ‘medejin’, ditadbir secara rasmi di bawah Majlis Perbandaran Medellin (Bahasa Sepanyol: Municipio de Medellin), adalah bandar kedua terbesar di Colombia.

Menurut Jabatan Pentadbiran Perangkaan Negara Colombia, Medellin yang terletak di Aburra Valley di kawasan tengah Pergunungan Andes di Amerika Selatan itu merangkumi sembilan bandar. Medellin kini berkembang pesat dan setakat 2016, penduduknya mencecah 3.7 juta orang.

Rombongan dari Ipoh yang berkunjung ke Colombia meluangkan masa selama tujuh hari di Pusat Islam Medellin yang dikenali penduduk setempat sebagai Centro Cultural Islamico de Medellin, bermula 2 hingga 9 Februari 2016.

Menurut seorang ahli rombongan, Abdul Quddus, Pusat Islam Medellin dianggap sebagai pusat pergerakan dakwah di Colombia dan tidak jauh dari lokasi itu terdapat satu lagi pusat Islam iaitu Itaqui Musolla, yang turut gigih menjalankan kegiatan dakwah di bandar raya berkenaan.

Katanya, setiap hari warga Muslim tempatan dan mualaf berkunjung ke rumah pusat berkenaan yang turut dijadikan masjid tempat warga Muslim menunaikan solat. Mereka yang ingin mendalami Islam turut datang ke pusat berkenaan.

Imarah masjid

“Minat untuk mendalami agama Islam sangat tinggi, bukan sahaja dilihat dari sudut bilangan mereka yang bertambah setiap hari, bahkan keinginan mereka untuk melanjutkan pengajian ke luar negara seperti ke Malaysia, India, Pakistan dan negara Arab,” katanya.

Rombongan dakwah dari Malaysia itu mencuba sedaya mungkin mengajak warga Islam tempatan untuk mengimarahkan masjid dengan amalan kerohanian seperti majlis taalim serta pendedahan mengenai Islam kepada jemaah yang datang bertanya.

Mereka sempat menyaksikan warga tempatan mengucapkan syahadah kerana sepanjang berada di sana, rakyat Malaysia tidak sunyi daripada kunjungan warga setempat yang kebanyakannya adalah kaum hawa yang cenderung mendalami agama Islam.

Pusat Islam Medellin turut berfungsi sebagai sebuah pusat kebudayaan dan maktab. Selain dibuka kepada umum untuk solat Jumaat, pusat berkenaan turut mengadakan program kuliah mengikut permintaan dari semasa ke semasa.

Ia juga mengendali kelas pengajian Islam, al-Quran dan bahasa Arab, sesi persidangan, perbincangan warga universiti dan kolej mengikut selain mengadakan penerangan umum mengenai Islam pada setiap Jumaat dari jam 1 hingga 3 petang.

WANITA bukan Islam di Medellin mencuba hijab.

Wanita lebih ramai

Sementara ketua rombongan dakwah dari Ipoh, Abdul Rahman menceritakan, kebanyakan pendakwah yang mengembara ke Colombia dengan misi menyebarkan salam kepada saudara seagama termasuk rombongan dari Johor membawa pendekatan mengajak umat Islam di sana mengimarahkan masjid.

Ini kerana setiap minggu ada sahaja bukan Islam yang berkunjung ke masjid untuk bertanyakan mengenai agama dibawa Rasulullah SAW dan rahmat kepada sekalian alam. Mereka yang diberikan hidayah akan memperakukan keimanan mereka kepada Allah SWT.

“Paling ramai yang bertandang ke masjid ialah kaum hawa dan mereka gemar untuk mencuba memakai tudung atau hijab. Mereka tanpa segan silu memohon untuk memasuki pekarangan masjid untuk beramah mesra,” tambah Abdul Rahman.

Medellin kini bertambah rancak dengan pembangunan. Perdamaian yang dimeterai antara kerajaan dengan puak bersenjata FARC baru-baru ini telah membuka tirai kepada kerancakan pelaburan asing yang berminat menjalankan aktiviti perniagaan di bumi yang pernah dianggap paling ganas di dunia.

Keamanan yang dicapai ini turut membuka peluang untuk organisasi Islam menjalankan kegiatan dakwah kepada warga setempat yang sangat dahagakan hidayah. Sedikit keringat dan wang belanja membolehkan warga Malaysia kerap bersilaturahim di bumi Medellin.

INFO

Bandar raya Medellin:

  • Terletak 421 kilometer dari Bogota.
  • Pernah menjadi lokasi perang saudara antara kartel dadah.
  • Kini diiktiraf bandar paling aman dan indah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,123 other subscribers
%d bloggers like this: