Program Mukhayyam pulih golongan LGBT
STIGMA umum, gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini perosak kepada masyarakat, menjadi punca mengapa golongan yang sudah bergelumang dengan gejala terbabit sering terasa dipinggirkan.
Kritikan negatif dan pandangan serong masyarakat terhadap golongan itu, menyukarkan lagi kumpulan LGBT untuk dipulihkan, selain faktor kurangnya kefahaman agama dan penerapan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan.
Lebih memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berselindung di sebalik suara hak asasi manusia, mempromosikan secara terbuka budaya ini dengan mempengaruhi LGBT kononnya mereka dilindungi undang-undang.
Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zakuan Sawai, apa yang lebih penting adalah adalah mendekati golongan itu supaya mereka tidak rasa terpinggir.
Membiarkan mereka tanpa diberi sebarang pendidikan berkenaan sahsiah diri, bagi Zakuan, bukan sahaja tidak membantu golongan itu berubah dan menikmati kualiti hidup sebenar berteraskan tuntutan dan syariat agama, malah membuatkan gejala LGBT terus berleluasa.
“Oleh kerana itu, JAKIM sejak 2011 telah memperkenalkan modul bimbingan, sokongan dan pemulihan yang menumpukan usaha memulihkan golongan ini, selain mendedahkan mereka pada program keagamaan dan rekreasi.
“Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan mereka ini bukan sepenuhnya ‘jahat’ dan mahu jadi LGBT sangat, tapi disebabkan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, selain elemen negatif disebar media sosial, mereka terikut-ikut akhirnya.
“Malah, apa yang lebih mengejutkan, ada antara mereka mempunyai pengetahuan agama dan al-Quran yang baik sehinggakan mereka pula kemudiannya mampu menjadi pembimbing atau naqib kepada rakan mereka,” katanya kepada BH.
Program Mukhayyam berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam untuk golongan itu, diadakan lapan kali setahun. Ia mula diperkenalkan JAKIM kira-kira empat tahun lalu, membabitkan kerjasama agensi itu dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), sehingga kini berjaya menarik lebih 500 peserta.
Selain program keagamaan yang memberi kesedaran dan muhasabah diri, Mukhayyam juga memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, snorkling, jungle trekking, berenang, sukan bola sepak dan sepak takraw.
Bagaimanapun, semua aktiviti pengisian rohani tetap menjadi asas utama program seperti kelas Fardu Ain, kelas bacaan al-Quran, program penghayatan Islam dan ceramah motivasi diri.
Zakuan berkata, peserta yang menghadiri program berkenaan bukan dijemput, sebaliknya atas ikhtiar sendiri dengan setiap sesi, purata kehadiran peserta adalah sekitar 45 orang hingga 55 orang.
Katanya, kebanyakan yang hadir mengetahui mengenai program itu menerusi rakan dan laman sosial, yang dibuka bagi memberi peluang kepada kelompok itu yang mahu berubah.
“Ada peserta sanggup memandu atau datang menaiki bas dari serata negeri, termasuk Selatan Thailand dan Singapura untuk menghadiri program ini dan mempelajari agama. Sebahagian mereka bukan sepenuhnya kosong (tidak tahu langsung) mengenai agama, tapi pendedahannya kurang dalam kehidupan.
“Saya akui, untuk mendekati mereka ini bukanlah mudah, apatah lagi memulihkannya, tapi bukan mustahil untuk didekati, asalkan kena dengan cara dan kaedahnya,” katanya
Buat masa ini, kata Zakuan, JAKIM memberi tumpuan untuk mencari lebih ramai NGO yang boleh membantu agensi itu merangka program lebih menarik dan berkesan berdasarkan modul sedia ada.
“Kalau ada mana-mana NGO sosial yang boleh laksanakan modul pemulihan, kita akan bantu, termasuk dari segi kewangan. Sekarang ini ada juga fasilitator yang kami lantik dalam kalangan Mak Nyah sendiri, yang sudah berubah.
“Kita juga dapat permintaan daripada Mak Nyah bukan Islam. Mereka mahu mengikuti program dianjurkan JAKIM, namun buat masa ini, tumpuan kami hanyalah kepada yang beragama Islam. Bukan tidak mahu membantu tetapi kami tidak mahu ada hal berbangkit di kemudian hari memandangkan JAKIM adalah institusi keagamaan,” katanya.
Sepanjang pelaksanaan program, kata Zakuan, peserta paling ramai adalah gay dan Mak Nyah. Kurang sambutan diterima daripada golongan lesbian. Mereka memilih untuk `bersembunyi’ dan mengelak, kata Zakuan.
Dalam pada itu, Zakuan berpendapat, pendidikan mengenai LGBT seharusnya dimulakan di peringkat sekolah supaya pelajar terdedah kepada gejala gaya hidup sedemikian, yang menjurus pada seks bebas, kerosakan institusi kekeluargaan serta masyarakat dan penyumbang kepada penularan jangkitan HIV.
Guru kaunseling perlu memainkan peranan mereka, kata Zakuan. Mereka perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai perkara itu dan bagaimana untuk mengelak atau menangani permasalahan terbabit.
“Budaya LGBT semakin meluas. Di peringkat sekolah lagi, sudah ada yang terikut-ikut, apatah lagi bagi mereka yang sudah dewasa. Malah, ada yang sudah berkahwin pun, terjebak dalam gejala kehidupan songsang LGBT. Ada suami di rumah tetapi masih mahu melepaskan nafsu dengan kaum sejenis,” katanya.
Sementara itu, Zakuan berkata, JAKIM kini dalam proses untuk menyiapkan pembinaan sebuah rumah rawatan khas untuk pesakit HIV dari golongan LGBT, dikenali sebagai ‘Ilaj Home bertempat di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Semua usaha ini dilakukan bukan untuk menggalakkan kehdiupan songsang LGBT tetapi membantu mereka berubah tanpa meminggirkan mereka pada masa yang sama, tegas Zakuan mengakhiri perbualan.