Bekas LGBT bantu `rakan’ kembali ke pangkal jalan


KEJAYAAN golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk berubah memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

Bukan sahaja keluarga, yang diharap membantu – bukan menyisihkan, begitu juga masyarakat, yang bagi mereka lebih banyak menghukum dan menghina daripada cuba untuk memahami masalah mereka.

Lazimnya, hanya mereka yang pernah terjerumus ke lembah yang sama, bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan dengan matlamat, membawa mereka keluar daripada dunia `gelap’ itu seterusnya menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Bergerak atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), `bekas’ LGBT membantu golongan homoseksual, biseksual dan Mak Nyah, yang mahu mencari jalan keluar atau nekad meninggalkan dunia gelap mereka, walaupun mereka akur tugas itu tidak mudah.

Pengerusi Persatuan Insaf Pahang, Mohamed Bakri Abu Bakar, 53, berkata dunia LGBT atau dunia lorong gelap bukanlah dunia yang penuh keseronokan sebaliknya sangat kotor dan menjijikkan.

Ramai yang terjerumus memendam rasa kesal, kata Mohamed Bakri.

Yang membezakan cuma sama ada rasa penyesalan ini tiba cepat atau lambat. Malangnya, bagi yang terlambat – terlambat untuk berubah kerana sudah meninggal dunia atau berpenyakit.

“Ini nasihat saya yang pernah berada dalam dunia ini…pada mereka yang mahu berjinak-jinak kerana nak memenuhi naluri dan nafsu, berfikir panjanglah dengan berpegang kepada agama Islam kerana dunia yang kononnya penuh warna-warni itu adalah dunia yang hina dan sangat buruk.

“Jangan ikut cakap kawan-kawan, jadilah diri sendiri. Biarpun kita dilahirkan dengan naluri berlawanan, kekalkan keadaan kita begitu tetapi berusaha menjadi manusia yang berpegang teguh pada agama Islam kerana Allah mempunyai perancangan untuk hamba-Nya.

“Biarpun naluri berlawanan dengan diri kita, jangan jadikan ia satu alasan untuk melakukan sesuatu yang buruk dan salah dari sisi agama. Jangan lawan lumrah dunia. Lelaki dijadikan untuk wanita, bukan sebaliknya…begitu juga wanita bukan dijadikan untuk wanita,” katanya yang turut menerima bimbingan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak beberapa tahun lalu.

Mohamed Bakri turut mengingatkan golongan terbabit supaya tidak memutuskan hubungan keluarga hanya disebabkan mahu mengikut naluri dan hawa nafsu.

Keluarga adalah tempat kita bergantung, tegasnya.

“Ramai yang saya lihat, apabila dibuang keluarga atau membuang keluarga, mereka akan tersilap berkawan hingga membawanya ke dunia yang teruk. Bagi keluarga pula, pimpinlah ahli keluarga dengan penuh kasih sayang dan terima mereka seadanya dengan dipenuhi nasihat dan teguran membina.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan. Jangan hina dan sisih golongan ini tetapi bimbinglah mereka ke jalan yang benar. Jika kita menyisihkan mereka, ia akan merosakkan institusi masyarakat sekali gus mewujudkan komuniti terpinggir,” katanya yang pernah menjadi mangsa hinaan masyarakat.

Presiden Persatuan Kebajikan Darul Modahish, Mohd Khariri Mohd Ramli, 38, berkata NGO sepatutnya menjadi penggerak kesedaran bagi memulihkan golongan LGBT supaya dapat mengecapi masa depan yang lebih baik.

NGO berkaitan, katanya, perlu memberi kesedaran dan pendidikan mengenai kesihatan, keselamatan seks, bahaya HIV dan cara mencari rezeki yang halal supaya golongan sasaran terbabit mampu mencari sinar semula untuk terus hidup.

“Tugas itu lebih baik bagi membuka peluang kehidupan kepada golongan terbabit, bukannya menjejaskan lagi mereka sehingga merosakkan kesucian Islam kerana kehidupan seorang Islam atau beragama, tidak boleh dipisahkan.

“Peranan NGO sepatutnya tidak melebihi batas agama kerana Islam tidak berkompromi dengan sesuatu hukum yang jelas, maka tugas NGO adalah untuk membantu golongan LGBT memperbaiki kehidupan dan berubah ke arah kebaikan,” katanya, bekas Mak Nyah, yang pernah pernah terjebak dalam hubungan songsang.

Timbalan Presiden Pertubuhan Amal Firdausi (PAFI), Mohd Rafi Jaafar, pula berkata, pihaknya sudah enam tahun berkecimpung memberi pendidikan kerohanian dan agama kepada golongan LGBT, yang dikelaskan sebagai komuniti terpinggir, dengan mendorong mereka supaya tekad untuk berubah.

Katanya, asas pembentukan PAFI adalah mendidik dan memberi kesedaran kepada golongan dengan menjadikan Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai pusat operasi utama.

“Kami mahu menjadikan PAFI sebagai platform permulaan untuk golongan LGBT berubah ke arah yang lebih baik berlandaskan Islam dengan dibantu JAKIM, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Apa yang dilihat, sepanjang penubuhan PAFI, golongan LGBT sebenarnya perlu dibantu, malah mereka sememangnya mahu bantuan terutama dalam aspek agama,” katanya

Pada masa yang sama, katanya, masyarakat juga perlu diberi kesedaran dalam menjadi satu komuniti yang bersama-sama hidup secara harmoni tanpa sikap mencerca dan menghina.

Masalah tidak akan selesai apabila wujudnya komuniti terpinggir dengan masyarakat yang tidak berusaha membantu, jelasnya.

Justeru, dengan pendekatan menjadikan masjid sebagai pusat PAFI, ia sedikit sebanyak dapat mengatasi stigma dan diskriminasi yang berlaku. Malah, bagi lelaki, mereka dibawa solat berjemaah, termasuk solat Jumaat di masjid supaya mereka tidak kekok bersama masyarakat dan begitu juga sebaliknya.

Pelbagai pendekatan kreatif dilaksanakan PAFI bagi mendekati golongan LGBT, yang datang dari pelbagai latar belakang. Golongan itu dibawa menyertai program usrah, kerja amal, ceramah kelompok, luahan kumpulan dan program kesedaran keagamaan, yang diadakan dua kali sebulan.

Lokasi program, tidak hanya tertumpu di masjid. Adakalanya aktiviti dijalankan di taman dan kawasan lain yang bersesuaian supaya setiap aktiviti dapat dilaksanakan secara santai dan menyeronokkan.

“Semua program ini bertujuan memberi kekuatan kepada golongan sasaran untuk menyesuaikan diri dan diterima masyarakat, Apa yang penting, mereka perlu dibantu dan boleh dibantu,” katanya.

Namun, beliau mengakui, pihaknya dan NGO berkaitan yang lain amat memerlukan bantuan agensi agama, terutama dalam aspek pendidikan, kesedaran dan dakwah.

“Tanpa bantuan agensi agama seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan majlis agama Islam, sudah pasti kami sukar untuk membantu golongan ini,” katanya yang amat berterima kasih dengan kerjasama agensi agama berkaitan memberi sinar baharu kepada golongan LGBT.

Golongan LGBT boleh berubah jika mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: