Hijrah pengorbanan martabatkan Islam
Kegemilangan Islam yang tersebar secara meluas ke seluruh pelosok dunia sehingga hari ini disebabkan pengorbanan Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah.
Bayangkan, sekiranya Baginda terus hidup di Makkah bersama golongan kafir Quraisy yang menentangnya, pasti ajaran Islam lama kelamaan akan terhakis kerana terus ditolak, dihalang dan dicabar sekeras-kerasnya.
Mengimbas semula simbolik peristiwa hijrah, Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Ku Muhamad Asmadi Ku Mohd Saad berkata, umat Islam hari ini sepatutnya mensyukuri nikmat hijrah yang dikecapi kerana ia membuka lembaran baharu apabila ajaran Islam mula diterima dan tersebar secara meluas.
“Hijrah Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyatukan dan memperkuatkan umat Islam dengan Islam yang memimpinnya.
“Nabi Muhammad SAW sendiri adalah suri teladan yang diangkat menjadi ketua pimpinan sehingga Madinah menjadi model negara Islam gemilang dengan orang bukan Islam boleh hidup bersama secara harmoni.
“Dalam konteks umat Islam hari ini, sewajarnya Baginda dicontohi kerana berjaya menyatukan umat atas dasar politik Islam,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Maal Hijrah di Surau NSTP, Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Ikut al-Quran, sunah
Ku Muhamad Asmadi berkata, setiap daripada kita perlu bersatu atas nama Islam, dan jika berselisih atau berbeza pandangan sekali pun, jadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan.
Ia juga adalah kunci kepada perpaduan khususnya dalam konteks negara kita yang dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa, agama dan budaya.
“Umat Islam wajib mencari, mempelajari, mendalami dan memahami agama Islam yang benar mengikut kefahaman al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.
“Ilmu ini mestilah bersandarkan kefahaman dan tafsiran ulama Islam yang diakui seperti Imam As Syafie dan Al Ghazali, bukan tafsiran yang berteraskan fahaman songsang seperti liberalisme, sekularisme dan komunisme.
“Selain itu, bagi menjadikan kita semua terus istiqamah, laksanakan perintah Allah SWT secara holistik, bukan saja akidahnya tetapi merangkumi semuanya sehingga bab muamalat dan siasah politik,” katanya.
Mengimbas kembali peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Ku Muhamad Asmadi berkata, faktor utama ia berlaku tidak lain bagi menyelamatkan umat Islam daripada terus dizalimi kafir Quraisy.
Sahabat Nabi, Bilal bin Rabah antara yang menerima seksaan dahsyat tetapi masih terus mempertahankan agama Islam kerana ketaatan kepada Allah dan Baginda Nabi.
“Jika dilihat semula sirah, bagaimana Bilal ditangkap majikannya ketika menjadi hamba. Bilal begitu tekad mempertahankan Islam, bahkan ketika dalam keadaan diseksa dan diseret ke tengah padang pasir dengan tangan dan kaki diikat.
“Kemudian, dipukul pula dengan cemeti diperbuat daripada kulit ekor pari. Cuba kita umat hari ini diseksa sedemikian rupa, adakah iman kita sekental Bilal.
“Ramai lagi pengikut dan sahabat Nabi yang dipukul, diseksa sehingga tahap dibunuh dan kerana itu Allah SWT memerintahkan penghijrahan berlaku,” katanya.
Keimanan tinggi yang ada dalam diri Bilal itu sehingga Rasulullah SAW sendiri pernah memanggilnya dan bertanya mengenai amalan yang dilakukannya sehinggakan hentakan tapak kakinya didengar oleh Baginda di syurga ketika peristiwa Israk Mikraj.
Pengorbanan Rasulullah
Mengupas lanjut, beliau berkata, dalam kitab Nurul Yaqin yang menceritakan kehidupan Baginda Nabi, pada saat Allah SWT menurunkan perintah supaya berhijrah, Nabi Muhammad SAW menerima khabar itu dengan penuh kegembiraan.
“Ketika itu, Nabi terus mencari sahabat akrabnya, Abu Bakar as-Siddiq dan berita itu dimaklumkan dalam nada cukup riang.
“Mungkin jika kita yang menerima khabar perlu berhijrah, contoh perlu bertukar tempat kerja, mungkin ia satu pengalaman
sukar kerana sukar memulakan perubahan.
“Bagaimanapun, Baginda sanggup meninggalkan tempat kelahirannya disebabkan perasaan cinta terhadap umat yang terlalu tinggi untuk menyelamatkan mereka daripada kesesatan dan terus dihambakan oleh orang kafir Quraisy,” katanya.
Bahkan, dengan izin Allah SWT, hijrah Nabi berjalan lancar walaupun tentera upahan kafir Quraisy mengepung di sekeliling rumah Baginda.
“Dalam keadaan dikepung, Baginda masih boleh keluar dari rumah tanpa disedari tentera ini. Satu amalan yang boleh kita sama-sama amalkan adalah membaca surah Yasin, ayat 9.
“Apabila Baginda baca ayat ini, Allah SWT tidurkan mereka, bahkan ketika Nabi bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar di gua Tsur, tentera ini datang mencari tetapi tidak menjumpai,” katanya.
Konsisten dalam hijrah
Ku Muhammad Asmadi berkata, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ini perlu dijadikan teladan bagi setiap umat Islam. Ini bermaksud, setiap hijrah yang kita lakukan itu perlu lurus, iaitu niat hanya kerana Allah SWT.
“Hidup ini perlukan penghijrahan kerana sampai satu masa nanti, mahu atau tidak setiap manusia perlu berpindah ke dunia baharu, apabila dimatikan kelak.
“Apabila mendapat panggilan oleh Allah SWT untuk kembali, maka bersedia atau tidak detik ini akan dirasai setiap daripada kita.
“Jadi, sebagai persediaan ke arah itu daripada sekarang perlu mula memperbanyakkan amalan soleh, laksanakan kebaikan termasuk bersedekah,” katanya.
Katanya, penghijrahan ini perlu dibuat secara konsisten, antaranya memperbaiki cara solat kerana ada dalam kalangan kita mungkin tidak menyedari sedang membuat kesilapan atau cuai dalam bacaan atau perbuatannya.