Masjid kita juga boleh menampung sehingga 20,000 jemaah dan sudah tentu suasana yang nyaman dibekalkan dengan pendingin hawa dan dihiasi dengan pokok-pokok bunga serta hiasan lain di sekelilingnya.

Itulah uniknya kebanyakan masjid di Malaysia. Keindahan dan kehebatan masjid di luaran perlu juga diterjemahkan di dalamannya kerana selain penuh dengan majlis-majlis ceramah agama dan pengajian al-Quran, masjid juga mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan boleh berdikari hasil daripada sumbangan umat Islam setempat, kadangkala mencecah jutaan ringgit.

Apa yang perlu ialah bagaimana menggunakan tabung itu dan jangan hanya simpan sahaja tanpa menggunakannya untuk manfaat umat khususnya kariah setempat.

Setiap masjid mesti mempunyai kakitangan yang profesional dan berwibawa untuk menguruskan perbelanjaan kewangan yang ada itu untuk kebaikan masyarakat sekeliling dan bukannya berbangga dengan jumlah simpanan yang banyak tetapi tidak digunakan.

Kalau digunakan hendaklah mengikut apa yang patut dan diutamakan, jangan disalahgunakan dengan mengeluarkan perbelanjaan yang besar seperti untuk jamuan makan yang mewah di hari-hari kebesaran Islam dengan menjemput VVIP tertentu sahaja.

Amat mengagumkan apabila didapati sesetengah masjid di Lembah Klang menyediakan beberapa keperluan asas dapur seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan kerana mungkin disebabkan kesempitan hidup dan mempunyai keluarga besar.

Kaedah ini nampaknya berkesan untuk membantu kerana diperhatikan tiada siapa yang ambil kesempatan dengan tawaran sedemikian melainkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

Begitu juga masjid yang menyediakan makanan dan lauk siap dimasak untuk mereka yang memerlukan bagi makan tengah hari atau pun minuman pagi.

Sikap prihatin sebegini patut dicontohi masjid-masjid lain, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang tidak bernasib baik dan menarik ramai lagi umat Islam berjemaah ke masjid di samping dapat mengurangkan kecurian tabung-tabung masjid itu sendiri.

Fungsi masjid bukan hanya membataskan untuk solat berjemaah sahaja tetapi perlu juga diambil perhatian untuk buat kerja-kerja kebajikan demi menjaga persaudaraan umat Islam setempat.

Apa juga kegiatan masjid hendaklah dimaklumkan kepada penduduk termasuk jika ada perkahwinan ataupun kematian.

Hidupkan kembali amalan gotong royong seperti membersihkan kawasan masjid setiap hujung minggu dan kerapkan juga perjumpaan semua penduduk bagi membincangkan perkara-perkara yang ada kepentingan umat Islam serta cuba selesaikan masalah-masalah berkaitan dengan penduduk.

Isikan masa dengan pengajian al-Quran mengikut kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa secara percuma setiap hari.

Selain daripada itu, adakan kelas-kelas memasak untuk bakal isteri dan ibu sementara untuk orang lelaki sediakan gelanggang sukan supaya mereka berjinak dengan masjid khususnya apabila tiba waktu solat.

Sekurang-kurangnya melalui semua ini mereka dapat memberi sumbangan masa dan tenaga untuk membersihkan kawasan masjid. Imam juga perlu dilantik dalam kalangan anak muda sebagai Imam kedua atau ketiga bagi mengimbangi di antara yang tua dan yang muda.

Hakikatnya, jangan terlalu sayang untuk berbelanja hasil daripada tabung masjid kerana atas keberkatan itulah duit masjid tidak putus-putus bertambah walaupun kerap digunakan asalkan memberi manfaat kepada umat islam khususnya kariah itu sendiri.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL