7 Prinsip Hidup Muslim


*TUJUH PRINSIP HIDUP MUSLIM*
Bekas Gabenor California dan aktor terkenal, Arnold Schwarzenegger dalam sebuah ucapan memperkenalkan lima prinsip hidup yang telah membawa kejayaan hidupnya hingga ke hari ini. Video ucapan tersebut menjadi viral dan dikongsikan seluruh dunia.
Jika kita amati, lima prinsip tersebut ajaran Islam. Malangnya orang Islam yang berkongsikan video tersebut seolah-olah tidak perasan sebenarnya hikmah tersebut adalah barang tercicir milik mereka. Orang kafir pula yang tampak lebih Islamik berbanding muslim. Benarlah kata Yusof Islam: “aku pergi ke barat, aku nampak Islam tapi aku tak nampak orang Islam.”
Tulisan ini mengajak untuk kita kembali menilai prinsip hidup Arnold berteraskan ajaran Islam. Lima prinsip tersebut adalah:
⚛1. Find Your Vision (Tetapkan Matlamat)
Prinsip ini juga menjadi asas dalam setiap tindakan muslim. Ia terkandung dari Sabda Rasulullah SAW:
إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat.
[HR Bukhari]
Niat menjadi kemestian di dalam Islam. Tanpa niat, tiada amalan yang diterima. Niat secara mudahnya adalah mengetahui tujuan perbuatan yang dilakukan. Daripada hadis niat ini terbit satu kaedah feqh yang berbunyi:
الأمور بمقاصدها
Setiap urusan bergantung kepada tujuannya.
Niat inilah menunjukkan peri pentingnya tujuan di dalam Islam. Ramai Ulama hadis dan feqh meletakkan perbahasan niat di awal kitab menunjukkan kepentingannya.
Berdasarkan niat juga, Ulama juga memperkenalkan satu mazhab usul feqh iaitu mazhab Maqasid Syariah. Ianya membahaskan mengenai tujuan sesuatu tindakan yang boleh menentukan hukumnya.
Walaubagaimanapun, bagi orang Islam, tujuan bukan sahaja perlu betul mengikut syariah, tetapi wasilah bagi mencapai tujuan juga perlu mengikut syariah. Bak satu kaedah:
الغاية لا تبرر الوسيلة
Matlamat tidak menghalalkan cara.
⚛2. Never Ever Think Small (Jangan Berfikiran Sempit)
Maksudnya perlu serius, jangan sibuk dengan perkara remeh-temeh. Jangan takut untuk mengimpikan perkara yang tinggi. Keyakinan harus tinggi.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
 إنَّ اللهَ يُحِبُّ مَعالِيَ الأُمُورِ وَيَكْرَهُ سَفَاسِفَها
Sesungguhnya Allah suka perkara yang tinggi, dan membenci yang remeh-temeh.
[HR Thabrani]
Menentukan besar dan kecil sesuatu perkara perlulah mengikut ajaran Islam, bukan semata-mata keputusan akal. Perkara yang besar di dalam Islam adalah yang melibatkan dosa pahala dan masa depan seseorang. Contohnya walaupun zina mungkin perkara kecil bagi orang kafir, tapi ia adalah perkara besar bagi muslim. Mengejar nama, kekayaan dan nikmat dunia adalah perkara remeh-temeh bagi muslim, walaupun mungkin ia adalah sebesar-besar perkara bagi orang kafir.
⚛3. Ignore The Naysayers (Abaikan Mulut Orang)
Mustahil bagi manusia untuk memastikan semua bersetuju dengan mereka. Masing-masing ada cara fikir sendiri berasaskan ilmu dan ego. Justeru cara terbaik adalah abaikan sahaja cakap-cakap orang yang sentiasa tidak berpuashati.
Firman Allah SWT dalam menyatakan sifat kumpulan pejuang agamaNya:
وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ
Mereka tidak takut kepada celaan orang mencela
[Al-Maidah:64]
Orang Islam sepatutnya hanya memikirkan apa yang bakal tuhan kata sewaktu Hari Pengadilan nanti. Manusia tidak tentukan syurga neraka kita. Bahkan jika kita mengejar redha Allah, redha manusia akan menyusul jua akhirnya. Sabda Rasulullah SAW:
“مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ ، رَضِيَ الله عَنْهُ ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ ، وَأَسْخَطَ عليه الناس”
Barangsiapa mencari redha Allah dengan menanggung kemurkaan manusia, maka Allah meredhainya dan manusia akhirnya akan redha kepadanya.
Barangsiapa pula yang mencari keredhaan manusia dengan menanggung kemurkaan Allah, maka Allah memurkainya, dan manusia kelak akan memurkainya jua.
[HR Ibn Hibban]
Ujar Imam Syafie:
 رضى الناس غاية لا تدرك فعليك بما يصلحك فالزمه فإنه لا سبيل إلى رضاهم
Redha manusia adalah matlamat yang mustahil tercapai. Maka teruskan sahaja apa yang baik untukmu. Sesungguhnya tidak ada jalan untuk mencapai redha mereka semua.
⚛3. Work Your Ass Off (Kerja Keras)
Agak kasar bahasa Arnold. Abaikan sahaja. Dalami maksudnya.
Walaupun orang Islam hari ini jauh ketinggalan dari sudut kegigihan berbanding orang kafir samada timur mahupun barat, tetapi sebenarnya kegigihan adalah ajaran Islam yang penting. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ
Barangsiapa yang bersungguh pada Kami, nescaya Kami pandu mereka ke jalan Kami.
[Al-Ankabut:69]
Makna asal jihad adalah bermaksud kesungguhan. Jihad adalah kewajipan setiap muslim. Kewajipan utama adalah jihad demi agama. Bahkan ia adalah perkara paling tinggi di dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW mengenai Islam:
ذِرْوَةُ سَنَامِهِ: الْجِهَادُ
Puncal bonggolnya adalah jihad
[HR Tirmizi]
Rasulullah juga bersabda
إِنّ اللَّهَ تَعَالى يُحِبّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ
Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu melakukan sesuatu perkara, dia bersikap tekun.
[HR Baihaqi]
⚛5. Dont Just Take, Give Back (Bersikap Pemurah)
Perkara ini adalah tidak asing di dalam Islam. Bersedekah dan membantu adalah amalan yang sangat digalakkan. Bahkan terdapat sedekah wajib yang menjadi rukun Islam, dinamakan sebagai zakat.
Faktor kejayaan hidup seseorang adalah berkait rapat dengan sedekah. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ ۗ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
[At-Taghabun:16]
Jika kita mahu Allah membantu urusan kita, kita perlu membantu urusan orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Allah akan sentiasa membantu hambaNya selagimana hambaNya membantu saudaranya.
[HR Muslim]
Sedekah juga mempunyai kelebihan yang besar seperti dimurahkan rezeki, dipulihkan sakit, diampuni dosa, dilembutkan jiwa dan sebagainya.
______________________________________
Secara umum, prinsip hidup Arnold melengkapi sebahagian besar prinsip hidup saya. Tetapi sebagai seorang muslim, prinsip itu perlu disempurnakan lagi. Terdapat dua lagi prinsip yang menjadi pegangan hidup saya, menjadikan kesemuanya adalah tujuh iaitu:
⚛6. Allah Is The Ultimate Goal (Allah Matlamat Utama)
Prinsip ini berada pada susunan teratas dalam hidup saya. Jadikan Allah segala-galanya dalam hidup ini. Wala’ (kesetiaan) kepada Allah menjadi keutamaan. Sentiasa tanya diri sebelum melakukan sesuatu perkara “adakah Allah bersetuju apa yang aku lakukan ini? Adakah aku lepas untuk menjawab di hadapanNya kelak?”
Meletakkan Allah sebagai matlamat utama adalah ikrar setiap umat Islam sebagai mukaddimah dalam setiap solat:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[Al-An’am:162]
Bagi abnaul harakah, Imam Hasan al-Banna memperkenalkan lima ikrar yang menjadi prinsip perjuangan. Yang pertama adalah:
الله غايتنا
Allah Matlamat Kami.
⚛7. Never Blame The Fate (Jangan Salahkan Takdir)
Perkara ini juga ekslusif kepada umat Islam. Percaya kepada ketentuan Allah adalah rukun Iman keenam.
Manusia perlu menyedari bukan semua yang dirancang akan berjaya. Allah juga merancang dan Dialah sebaik-baik perancang. Justeru kita tidak perlu kecewa jika gagal, sebaliknya memahami bahawa semua yang berlaku adalah berhikmah dan baik untuk kita.
Allah tidak membebani seorang hamba melainkan Dia tahu hamba itu mampu memikulnya. Firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
[Al-Baqarah:286]
Sabda Rasulullah SAW:
عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خيْراً لَهُ
Aku merasa taajub dengan sikap orang beriman. Setiap perkara yang dilaluinya adalah baik. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur maka itulah yang terbaik baginya. Jika ditimpa kesusahan dia sabar maka itulah yang terbaik baginya.
[HR Muslim]
Pendirian paling baik dala menerima takdir adalah menyedari bahawa segala hidup ini bukan milik kita. Ia adalah milik Allah dan kita cuma meminjam sahaja. Akan tiba bila-bila masa sahaja tuhan menuntutnya kembali. Barulah bila kehilangan atau kegagalan, kita tidak merasa perit, bahkan redha sahaja sebagaimana firman Allah:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
 [Al-Baqarah: 156]
Ringkasnya, inilah tujuh prinsip hidup saya:
✳Allah Matlamat Utama
✳Objektif Mesti Jelas
✳Berjiwa Besar, Berfikir Serius
✳Persetankan Mulut Orang
✳Hidup Adalah Perjuangan
✳Jangan Salahkan Takdir
✳Memberi Untuk Menerima
Ini adalah prinsip hidup berteraskan Islam. Jika orang kagum dengan lima prinsip Arnold dan menyebarluaskannya, mengapa orang Islam tidak kagum dengan tujuh prinsip ini? Sebarkan seluasnya. Jika tidak anda, siapa lagi. Jika bukan sekarang, bila lagi..
22 Zulhijjah 1439
3 September 2018
_(Alang Ibn Shukrimun)_

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,027 other followers

%d bloggers like this: