Semua itu antara komen teman-teman apabila mendapat tahu yang penulis ditugaskan ke Taiwan untuk mengikuti program lawatan pelancongan dan budaya anjuran Kementerian Luar (MOFA) negara itu.
Jelas sekali rumusan pendapat itu dibuat berdasarkan pemahaman dan pengetahuan mereka yang sedikit tentang Taiwan – yang secara umumnya diketahui mempunyai majoriti penduduk berketurunan Cina dengan 90 peratus daripadanya menganut agama Tao dan Buddha.
Taiwan yang terletak kira-kira 180 kilometer (km) di timur China ini memang terkenal dengan tokong-tokong Cina yang tersergam gah, dan difahamkan terdapat lebih 12,000 buah yang berdaftar di seluruh negara pulau yang kecil itu.
Berdasarkan fakta itu, kebimbangan teman-teman penulis mungkin sahaja kerana memikirkan tentu sekali sukar untuk mencari makanan halal di tengah-tengah bermacam-macam juadah popular masyarakat Cina, yang kebanyakannya berasaskan bahan tidak halal dimakan oleh orang Islam.
Bagaimanapun, di sebalik dominasi makanan Cina daripada mi daging, ladu, pau, produk bakeri dan pelbagai masakan lauk-pauk, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Taiwan juga mempunyai banyak premis yang menawarkan makanan halal.
Ini bukanlah sesuatu yang pelik sebenarnya kerana hakikatnya, Taiwan yang mempunyai populasi 23.55 juta penduduk didiami oleh pelbagai etnik iaitu 95 peratus Cina Han termasuk Holo dan Hakka, manakala masing-masing dua peratus lagi ialah penduduk asli Melayu-Polinesia dan pendatang baharu dari Tanah Besar China dan Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.
Justeru sungguhpun Tao dan Buddha menjadi agama kebanyakan masyarakat Cina di negara itu, terdapat juga kelompok penduduk yang beragama Kristian dan Islam.
Memetik Ketua Misi Ekonomi dan Kebudayaan Pejabat Perwakilan Taiwan di Malaysia, James Chang Chi-Ping, sehingga kini terdapat 145 restoran dan hotel di Taiwan yang mendapat sijil pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), iaitu penambahan 15 lagi premis dalam tempoh tidak sampai tiga bulan sahaja dalam tahun ini.
Peningkatan yang mendadak ini menunjukkan keseriusan kerajaan Taiwan dalam menyediakan sektor pelancongan yang mesra Muslim di negara itu.

Hasil pemerhatian penulis ketika mengikuti program lawatan media Asia dan Eropah baru-baru ini mendapati pengiktirafan halal yang diperoleh bukan sekadar di atas kertas bahkan dikuatkuasakan dengan bersungguh-sungguh.
Ini dibuktikan apabila setiap premis yang menawarkan makanan halal wajib mempamerkan sijil pengiktirafan halal masing-masing yang lengkap dengan nombor siri khas oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan.
Walaupun umat Islam adalah minoriti di Taiwan iaitu tidak sampai tiga peratus atau hanya sekitar 60,000 orang daripada jumlah penduduk negara itu, namun industri pelancongan dan makanan halal menunjukkan potensi yang semakin berkembang di negara itu.

Seperkara yang istimewa penulis lihat di Taiwan, yang menambah keyakinan terhadap keseriusan pengendali premis yang menawarkan makanan halal atau mesra Muslim pula adalah apabila mereka mengasingkan peralatan yang digunakan untuk orang Islam dan bukan Islam bagi menjamin kesuciannya.
Bak kata pegawai MOFA yang mengiringi media sepanjang program lawatan enam hari itu; “Apa yang kami pelajari tentang halal ialah ia bukan hanya soal makanan yang dihidangkan tetapi yang lebih penting ialah proses penyediaannya.”