Bimbingan terapi psikospritual
BUKAN sahaja seorang penagih perlu dirawat untuk menghilangkan gian pada dadah semata-mata, tetapi langkah yang perlu dicari ialah bagaimana mahu membunuh terus keinginan mereka pada dadah.
Ini bermakna pendekatan pemulihan mestilah holistik atau dalam istilahnya golongan penagih perlu didekati secara fizikal, mental, emosi dan spiritual.
Baru-baru ini, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) melalui Pusat Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) dan mahasiswa Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) (SPADA), mengadakan Seminar Kebangsaan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah: Rawatan Pemulihan Berteraskan Islam (Prevent 2013) bertemakan ‘Amalan Holistik Rawatan Pemulihan Dadah’.
Pengarah Acreda yang juga pembentang kertas kerja, Profesor. Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani memberitahu bahawa kaedah terapi psikospritual Islam mampu menjadi kaedah pencegahan yang lebih baik daripada merawat ketagihan dadah kerana ia berlandaskan konsep pengabdian dan penyerahan kepada Tuhan.
Bagi beliau, penagihan dadah tidak membabitkan aspek fizikal semata-mata, sebaliknya ia adalah satu penyakit rohani yang tidak boleh dirawat atau diubati dengan menggunakan suntikan ubat, penggunaan methadone, kekerasan mahupun kekuasaan.
Menurutnya, sebaliknya konsep psikospiritual Islam sangat menepati fitrah asal kejadian manusia dan kesedaran terhadap terapi psikospiritual banyak diutarakan oleh ramai pengkaji dan kaunselor di Barat.
“Ia kaedah merawat kejiwaan atau kerohanian berteraskan sumber ketuhanan dan amalan Islam yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Matlamatnya adalah untuk melahirkan kestabilan diri, jiwa dan roh.
“Beberapa kunci perlu diyakini dan diamalkan oleh pesakit ialah meyakini prinsip takwa, ibadah, sabar, zikir, taubat, tafakur dan muhasabah sebagai bentuk rawatan,” katanya.
Jelasnya, pesakit didorong supaya beriman kepada ALLAH SWT dan Rasul, serta meyakini dosa dan hari kiamat manakala segi ibadah, pesakit dididik supaya beribadah bagi membersihkan diri daripada dosa dan seterusnya berdoa kepada ALLAH SWT.
Kemudian, pesakit diasuh dengan erti kesabaran agar diampuni dosa oleh ALLAH SWT serta dirawat dengan zikir supaya mereka peroleh ketenteraman jiwa dan hati.
Lebih menyentuh emosi dan spiritual, penagih diminta bertaubat selepas melakukan perkara kejahatan pada masa lampau. Akhir sekali, pesakit dididik agar bertafakur dan bermuhasabah terhadap diri sendiri melalui ibadah yang dilaksanakan.
Tegasnya, sudah hukum manusia itu diciptakan ALLAH SWT, maka keadaan rohani dan psikologi manusia yang rosak perlulah juga dirawat berlandaskan panduan al-Quran dan Sunnah.
“Apabila manusia diciptakan ALLAH SWT, maka perlu yakin hanya ALLAH SWT yang mampu beri penyelesaian terbaik kepada manusia,” ujarnya.
Tambahnya, pada peringkat awal, seseorang pesakit perlu bergantung pada seorang pembimbing , tetapi seterusnya seseorang pesakit itu boleh melaksanakan rawatan dengan kekuatan diri sendiri setelah menerapkan semua kedah terapi berkenaan.
“Dengan kemahuan dan kerelaan diri, mereka boleh melaksanakan kaedah terapi tanpa mengira masa, tempat dan suasana. Ia akan menjadi benteng dan pengukuhan jiwa serta rohani pesakit.
“Selagi pesakit itu melakukan penyerahan diri kepada ALLAH SWT dan menguatkan azam untuk berhadapan dugaan dan nafsu, dirinya akan terpelihara,” katanya.
Peranan pusat rawatan
Apakah peranan pusat rawatan Islam? Benarkah terdapat pusat pemulihan Islam yang berjaya memulihkan sama ada secara penuh atau sebahagian penagih dadah dengan pendekatan terapi psikospiritual?
Demi melihat sejauh mana keberkesanan konsep tersebut, penganjur seminar membicarakannya bersama tokoh perawat dari beberapa pusat pemulihan dadah berteraskan psikospiritual terapi Islam.
Antaranya Pondok Remaja Inabah yang diwakili Tuan Guru, Azzuki Assyuja Syafie. Pusat rawatan yang terletak di Kuala Nerang, Kedah mengamalkan konsep pemulihan dan rawatan bersumberkan amalan yang diperoleh daripada aliran tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah melalui zikir, talqin dan bai’at, solat fardu dan sunat, mandi taubat termasuk bimbingan Fardu Ain diberikan kepada penagih.
Rawatan dan pemulihan di Inabah dipercayai sangat baik dan berkesan kepada penagih kerana kaedah rawatan menghapuskan kebergantungan fizikal. Uniknya, salah satu kaedah dilakukan ialah mandi taubat sebanyak 40 gayung bagi memulihkan ketagihan dadah.
Rumah Penawar di Selangor yang diwakili Ustaz Mohamad Halim Mokhlas turut berkongsi pengalaman menerusi program pemulihan berkonsepkan taubat yang dilaksanakan. Selain dadah, Rumah Penawar juga merawat ketagihan arak, kerosakan akhlak dan penyakit sosial yang dialami individu.
Dengan membawa penekanan wajib bersolat, penagih dikehendaki berzikir, melakukan solat sunat dan mengikuti kelas Fardu Ain, mendengar pembentangan adab dan Sunnah Rasulullah, bermuzakarah termasuk belajar al-Quran.
Rumah Kebajikan Darul Islah pula diwakili Ustaz Mohd Zubaiery Othman. Perawat di pusat pemulihan yang juga bermukim di Selangor ini melakukan rawatan menggunakan ayat syifa dan setiap penagih akan dimandikan dengan air bersih bagi menghilangkan ketagihan. Seterusnya penagih yang digelar pelatih wajib mengikuti solat berjemaah, berzikir dan membaca surah Yasin mengikut jadual yang ditetapkan.
Terakhir ialah Rumah Perlindungan Istana Budi dengan diwakili Idris Husin yang membincangkan kaedah rawatan menggunakan aspek perubahan mental dan rohani. Dalam istilah sebenar, penagih dibantu mengubah mentaliti dan menguatkan iman dalam menuju keredaan ALLAH SWT.