Sebab doa tidak makbul
Ada beberapa kemungkinan yang menyebabkan doa saudara tidak dikabulkan Allah SWT. Pertama, mungkin disebabkan apa yang dihajati itu tidak sesuai untuk pemohon dan akhirnya Allah SWT mengurniakan sebaliknya.
Perlu difahami bahawa doa ialah memohon sesuatu daripada Allah SWT perkara yang terbaik. Jarang berlaku seseorang yang waras akan meminta sesuatu yang buruk untuk dirinya. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT, seharusnya kita tidak buruk sangka terhadap Allah SWT jika apa yang dipinta dalam doa tidak tercapai.
Mungkin kita lupa bahawa kebaikan yang dikecapi hari ini sebahagian daripada hasil penerimaan Allah SWT kepada doa kita. Mungkin perkara yang kita rasa tidak baik untuk kita itu adalah sebaliknya. Begitulah juga perkara yang kita rasa baik sebenarnya adalah sebaliknya.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berkemungkinan apa yang kamu rasa tidak baik untuk kamu itu adalah yang terbaik untuk kamu, mungkin pula apa yang kamu rasa baik itu adalah yang terburuk untuk kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Sehubungan itu, bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmat yang dikecapi pada hari ini. Tidak mustahil semua itu hasil daripada doa yang kita pohon selama ini. Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Berbaik sangka kepada Allah SWT sangat dituntut dan itulah sunnah Nabi SAW.
Jika apa yang dihajati telah dikabulkan, mereka akan bersyukur dengan meningkatkan ketakwaan. Jika apa yang dihajati tidak dikabulkan Allah SWT, maka mereka akan bersabar dan terus berusaha. Inilah sifat orang beriman.
Kedua, mungkin disebabkan dosa kita yang banyak sehingga Allah SWT menolak segala doa yang dipinta. Sabda Nabi SAW bersabda: “Bagaimanakah seorang lelaki hadir setelah bermusafir yang panjang, keadaannya sangat tidak terurus. Dia pula mengangkat tangan dan berdoa: Ya Tuhan, ya Tuhan akan tetapi makanannya daripada sumber haram, minumannya daripada haram, pakaiannya juga daripada haram dan diberi rezeki daripada sumber yang haram, maka bagaimanakah doa itu akan diterima Allah?” (Riwayat Muslim)
Oleh sebab itu, ulama seperti Imam al-Ghazali telah menyarankan supaya kita sentiasa bersegera bertaubat. Selain itu, kita juga mestilah mematuhi segala adab doa supaya permintaan yang dipanjatkan akan diterima oleh Allah SWT.
Antara adab berdoa ialah sentiasa memelihara ketakwaan, mengulangi doa tanpa jemu, berbaik sangka terhadap Allah SWT yang doa itu akan diterima-Nya, pastikan doa bukan bersifat maksiat, sentiasa berfikiran positif. Jika dia diterima, bersyukur dan jika sebaliknya, sabar serta terus berusaha.