Bagi mereka yang tidak berpeluang ke Tanah Suci, masih boleh mengambil peluang keemasan ini dengan mengerjakan amalan puasa, bertahlil, bertahmid, memohon keampunan dan rahmat-Nya.

Maka sebab itulah pentingnya bulan Zulhijah dengan musim haji ini kerana di dalamnya terdapat banyak ke­utamaan dan amal besar dalam Islam – seperti hari Arafah, umrah dan haji, Aidiladha dan pelbagai ibadah yang lain.

Maka kepada jemaah haji khususnya, hendaklah ‘memasakkan’ dalam diri bahawa keberadaan mereka di Tanah Suci dengan hampirnya pada hari kemuncak ibadah haji iaitu hari wukuf di Arafah, hendaklah dimanfaatkan dengan me­laksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal agar mendekati diri kepada Allah SWT.

Justeru, 10 hari terawal bulan Zulhijah ini adalah hari yang sangat istimewa. Buktinya Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr, ayat 1-5 disebut: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT) dan bilangan yang genap serta ganjil dan malam apabila ia berlalu. Bukankah demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?”

Imam al-Tabari mentafsirkan firman tersebut, “Wa Layaalin ‘Asyr” (dan malam yang sepuluh) bahawa yang dimaksudkan itu adalah malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir.

Pentafsiran itu diperkukuhkan oleh Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat “Dan malam yang sepuluh” sebagai: “Hari 10 awal Zulhijah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf yang menyatakan bahawa perkara itu juga dinyatakan dalam Surat Al-Hajj dengan perintah agar memperbanyakkan menyebut nama Allah SWT pada hari-hari tersebut.”

Dalam riwayat oleh Abu Musa al Madini dalam kitab ‘al Targhib wa al Tarhib’ menyebut: “Tidak ada hari yang lebih afdal di sisi Allah daripada 10 hari terawal bulan Zulhijah dan tidak ada malam yang lebih afdal daripada malam-malam 10 terawal bulan Zulhijah.”

Justeru kepada seluruh jemaah haji sekalian, manfaatkanlah 10 hari terawal dalam bulan Zulhijah ini dengan perkara seperti berikut:

1. Taubat yang ikhlas

Hendaklah kita menyambut ‘musim ketaatan’ ini dengan taubat yang tulus ikhlas untuk kembali kepada Allah SWT dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan oleh-Nya. Melaluinya, adalah diharap kita selaku insan-Nya akan mendapat keberuntungan di dunia ada akhirat. Oleh itu, adalah penting buat jemaah haji bahawa waktu yang ada itu hendaklah diisi dengan amal kebaikan kerana balasan yang diperoleh kelak adalah penambahan hidayah untuk mengetahui kebenarannya.

2. Berazam dan komited untuk memanfaatkan hari penting ini

Sepatutnya jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci ini berasa lebih semangat dalam keberadaan di bulan Zulhijah ini. Ketahuilah bahawa sesiapa pun yang berazam melaksanakan kebaikan, Allah SWT pasti akan membantunya dan mempermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat. Dalam firman Allah SWT: “Dan orang berjihad untuk (mencari keredaan) kami, benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan kami. Dan sesungguhnya Allah SWT benar-benar berserta orang yang berbuat baik.”

3. Menjauhi perbuatan maksiat

Jika ketaatan adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka sebaliknya maksiat merupakan jalan yang menjauhkan seseorang dari Allah SWT dan rahmat-Nya. Ada kalanya, seseorang itu tidak mendapat rahmat Allah SWT disebabkan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, andainya jemaah haji Malaysia mengharapkan diampunkan dosa, maka jauhilah perbuatan terutama sekali dalam tempoh 10 hari terawal bulan Zulhijah ini.

Ketahuilah bahawa dalam 10 hari terawal Zulhijah ini ada di dalamnya hari wukuf dan bekalan utama di padang Arafah itu kelak yang menjadi kayu ukur penerimaan doa seseorang hamba itu ialah keredaan hati dan kehinaan diri di hadapan Allah SWT.

Maka, penulis berpesan pada diri sendiri dan kepada jemaah haji Malaysia serta umat Islam di tanah air, manfaatkanlah kelebihan berada dalam 10 hari terawal bulan Zulhijah ini. Ini agar kita dapat bersama-sama menjadi hamba-Nya dan meraih nikmat yang disediakan untuk hamba-Nya.

Hendaklah kita menjaga hati dan berprasangka baik terhadap Allah SWT dan kepada jemaah haji Malaysia yang akan berwukuf di Arafah ini panjatkanlah pelbagai doa kepada Allah SWT. Ini sama ada berkaitan urusan dunia mahupun akhirat kerana ia merupakan satu detik dan tempat yang dimustajabkan doa.