Puncanya, urusan dunia. Bermula daripada soal berkaitan keluarga, ibu bapa, kerjaya, kawan-kawan dan sebagainya akan memasuki ruang minda sebaik sahaja mengangkat takbir.
Masa itu, ingatan kepada Allah SWT hilang begitu sahaja. Tetapi, ingatan itu kembali setiap kali berlaku perubahan gerakan dalam solat dan lebih teruk lagi, ia hanya menjelma di hujung bacaan sebelum lafaz salam.
“Jadi, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan solat sedemikian kerana ia bukan amalan Rasulullah SAW, para sahabat dan ilmuwan Islam lain.
“Kita perlu sentiasa berusaha supaya apabila bersolat, kita dapat merasai kehadiran Allah SWT dan melupakan urusan dunia lain,” kata Imam Masjid al-Taqwa di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, Siraj Wahhaj.
Pendakwah kelahiran New York itu menambah, Rasulullah SAW semasa hayat baginda cukup prihatin cara solat para sahabat dan penduduk Madinah.
“Baginda pernah menegur seorang sahabat kerana solatnya tidak menepati apa yang Nabi SAW ajarkan,” katanya dalam siri ceramah bertajuk Bagaimana Untuk Fokus Semasa Solat yang dipetik daripada laman sesawang iLovUAllah, baru-baru ini.
Ikutilah sisi temubual beliau:
Apa kisah Rasulullah SAW itu?
Siraj Wahhaj: Semasa baginda duduk bersama sahabat di Masjid Nabawi, datang seorang lelaki untuk bersolat dan setelah selesai bersolat, lelaki itu menghampiri Nabi SAW sambil memberi salam.
Baginda menjawab salam itu sambil menegur dan mengarahkan lelaki itu bersolat semula. Lelaki itu akur dengan suruhan Rasulullah SAW tersebut. Setelah selesai, lelaki itu menghampiri Rasulullah SAW tetapi baginda tetap mengarahkannya solat semula dan dia akur sambil bersolat sekali lagi.
Namun solat kali ketiga lelaki itu tetap tidak dapat memuaskan hati Nabi SAW. Lalu dia bertanya sambil meminta baginda mengajarkan solat yang sepatutnya.
Jadi, apa kesalahannya?
Rasulullah SAW mengajar sambil menyatakan kesalahan lelaki itu adalah dia bersolat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga tidak mengambil masa sepatutnya untuk berfikir dan fokus kepada Allah SWT. Jadi, tolonglah fokus ketika bersolat.
Adakah tuan mempunyai cara untuk lakukannya?
Memang ada banyak cara untuk membantu kita fokus dalam solat, antaranya memahami surah-surah yang dibaca dan mengetahui apakah sebab kita bacanya.
Saya percaya ramai daripada Muslim yang tidak mabuk atau khayal ketika mahu menunaikan solat sama ada fardu atau sunat kerana ia larangan Allah SWT dalam surah an-Nisa’:43 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,…”
Boleh jelaskan lagi?
Apa yang menjadi masalah utama adalah ramai umat Islam yang tidak memahami maksud dan sebab kenapa sesuatu surah itu dibaca ketika bersolat. Kita sekadar mengingat dan menghafal surah-surah tersebut.
Sedangkan perbuatan sedemikian ibarat penyataan umum iaitu jika anda tidak memahami ayat-ayat yang dibaca dan diingati, maka ia disebut sebagai ‘ayat tidak masuk akal’. Tetapi ia adalah kalam Allah SWT dan tidak mungkin boleh dianggap sedemikian.
Justeru, adalah lebih baik untuk memahami apa yang kita baca dalam al-Quran dan ketika bersolat.