Tempoh 14 hari pada penghujung 2015 berada di sebahagian daripada tanah terkenal dalam sejarah dan tamadun Islam yang dahulunya dikenali sebagai Syam seolah-olah dirasakan begitu cepat berlalu. Kenapa begitu? Ia kerana wujudnya begitu banyak kesan peninggalan nabi dan rasul seperti makam, masjid, tempat kelahiran, tempat ibadat dan sebagainya yang mahu dilawati.

Dua minggu bukanlah tempoh masa yang mencukupi untuk berziarah ke tempat-tempat berkenaan kerana kebanyakan tempat berkenaan mengambil masa yang lama untuk sampai. Faktor ini disebabkan lokasinya yang terpencil, terletak di atas puncak bukit dan gunung selain kesukaran untuk mencari lantaran kurangnya maklumat dan kurang diketahui penduduk tempatan.

WARISAN 
SEMAKIN HILANG

Jordan dilihat satu-satunya benteng warisan anbia terakhir. Negara berkenaan mesti memelihara, memulihara dan mempromosi kesan-kesan peninggalan anbia ini. Jordan bertuah kerana masih memiliki banyak warisan Islam berharga ketika banyak khazanah Islam di negara-negara Islam yang lain satu persatu musnah dek kerana angkara perang, pemusnahan secara sengaja atas alasan menghindari perkara khurafat mahupun terbiar tanpa dipelihara.

Makam, rumah, masjid dan pelbagai sisa warisan milik para anbia sedang dan telah lenyap satu persatu sama ada disedari ataupun tidak sepertimana yang berlaku di bumi Anbia di Syria, Iraq, Yemen , Palestin dan Arab Saudi.

Di Palestin suasananya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak lenyap kerana perang atau dimusnahkan, ia bakal lenyap diambil alih oleh pihak Yahudi Israel atas alasan kononnya warisan para anbia ini milik mereka lantaran ramainya nabi dan rasul dalam kalangan Bani Israel. Sebenarnya antara Bani Isarel dengan kaum Yahudi yang ada sekarang ini bukanlah daripada keturunan yang sama. Di Palestin, Makam Nabi Daud a.s., Nabi Yaakob a.s. dan sebahagian Makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron serta beberapa makam yang lain telah dikuasai Yahudi Israel dan umat Islam dilarang ke sini. Terkini pihak Yahudi Israel sedang giat mempertingkatkan usaha untuk menguasai al-Aqsa, masjid ketiga suci bagi umat Islam.

Maka, sekiranya makam para nabi dan rasul di Jordan lenyap, ada kemungkinan dunia Islam akan kehilangan warisan dan tamadun paling berharga iaitu bukti kehadiran nabi serta rasul utusan Allah menyampaikan risalah kebenaran kepada manusia. Lantas, apa yang tinggal di Jordan ini sewajarnya menjadi benteng terakhir warisan para nabi dan rasul yang perlu dipertahankan.

Antara makam yang masih terdapat di Jordan ialah Makam Nabi Yushak a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Sulaiman a.s., Nabi Ilyas a.s., Nabi Luth a.s., Nabi Khidir a.s., Nabi Hud a.s., Nabi Musa a.s. (mengikut kepercayaan penganut Kristian) dan ramai lagi. Makam yang dimaksudkan di sini bukanlah kubur yang menempatkan jenazah tetapi lebih merupakan tempat persinggahan mahupun tempat yang dipercayai ada kaitan dengan para nabi dan rasul semasa hayat mereka.

Perjalanan mencabar

Paling menarik ialah menjejaki Makam Nabi Harun a.s. yang terletak di dalam kawasan pelancongan terkenal di Petra, sejauh 320 kilometer dari bandar Amman. Makam baginda terletak tinggi di puncak gunung yang terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dari bawah iaitu melalui tiga peringkat perjalanan.

Pertama dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan sepanjang perjalanan pada peringat ini dapat disaksikan makam di puncak gunung, pemandangan di kiri kanan jalan yang mengasyikkan dengan panorama perkampungan suku Badwi di sekitarnya selain kesan-kesan peninggalan sejarah.

Peringkat kedua ialah dengan berjalan kaki mendaki teres gunung berbahaya. Pada peringkat ini kami dibantu oleh dua ekor keldai dan seorang pembantu dari suku Badwi untuk memikul peralatan sehingga sampai ke kawasan seterusnya iaitu selepas kira-kira sejam perjalanan. Kekuatan fizikal dan semangat, kesesuaian kasut dan pakaian serta sedikit kemahiran mendaki sangat membantu.

Diri terasa kerdil melihat keldai berjalan, memanjat, meniti sambil sesekali melompat laluan berbatu tanpa menunjukkan rasa sukar, sakit dan letih tanpa henti sedangkan kami berhenti beberapa kali untuk melepaskan lelah, minum air dan mengambil nafas. Begitulah anugerah Allah Tuhan Maha Besar lagi Maha Pencipta kepada haiwan seperti keldai. Kami tiba di bahagian terakhir yang lebih mencabar untuk naik ke puncak. Kedinginan persekitaran dengan cuaca antara 5 hingga 10 darjah Celsius hilang seketika sewaktu menghirup teh yang dihidangkan Penjaga Makam, Mohamad Ismail, 55, yang tinggal di kaki gunung.

Di peringkat ketiga, kami akhirnya tiba di puncak seterusnya menziarahi Makam Nabi Harun a.s. selepas memanjat anak-anak tangga melalui celah-celah gunung iaitu selepas kira-kira 20 minit mendaki. Makamnya terletak di dalam sebuah bangunan batu sepertimana yang disaksikan dari bawah. Baginda adalah saudara Nabi Musa a.s. yang menjadi pembantu kepada Nabi Musa a.s. sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Nabi Harun a.s. wafat ketika berusia 122 tahun.