Makam Nabi Yahya a.s. juga terletak di atas gunung iaitu kira-kira 1,300 meter dari paras laut. Mendaki merentasi teres jalan yang disediakan walaupun nampak mudah mampu menghadirkan kesukaran buat mereka yang kurang cergas ditambah pula dengan cuaca di bawah 10 darjah Celsius. Tidak ada sebarang tanda makam mahupun kuburan di puncaknya melainkan sisa runtuhan Rom. Baginda dikatakan dipenggal kepala di atas puncak gunung ini oleh kaumnya sendiri lantaran melarang perkahwinan sesama ahli keluarga rapat sepertimana yang ditegah oleh Islam.
Makam Nabi Sulaiman a.s. pula terletak di sebuah lembah di antara gunung-gunung tandus. Panorama di sini sememangnya indah dan memukau saujana mata memandang. Dahulu ada tanda makam di dalam bangunan berbatu ini namun ia sudah diruntuhkan. Nabi Sulaiman a.s. adalah anak kepada Nabi Daud a.s. dan dikenali kerana kehebatan baginda berkomunikasi dengan jin dan haiwan. Baginda wafat dalam keadaan duduk sambil memegang tongkat tanpa disedari rakyatnya buat beberapa ketika sehinggalah tongkat berkenaan patah dimakan anai-anai.
Selain makam, di Jordan juga terdapat Kota Salahuddin Al-Ayubbi, pahlawan Islam yang berjaya mengambil semula Jerusalem daripada pihak Tentera Salib di Adjloun; kota kaum Nabi Luth, sisa-sia runtuhan Empayar Rom dan Byzantine serta pelbagai lagi tanda dan sisa perjuangan para nabi dan rasul terdahulu.
INISIATIF
Tahniah kepada kerajaan Jordan yang mempunyai Jabatan Antikuitinya yang bertanggungjawab menguruskan warisan-warisan ini. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan terutamanya dari segi kebersihan. Pembinaan tandas dan surau, meletak papan tanda arah, meletak papan keterangan dan sebagainya dirasakan sangat perlu kerana membantu pelawat terutama umat Islam sedunia untuk mengenali dan menghayati perjuangan para nabi serta rasul terdahulu.
Dari puncak Gunung Nebo jelas kelihatan Laut Mati yang bersempadanan dengan Palestin dan Israel. Sesekali kedengaran bunyi senjata Yahudi membadai bumi dan rakyat Palestin. Cukuplah Palestin dibadai dan jangan sampai ia membadai Jordan, mudah-mudahan teguhlah Jordan sebagai benteng warisan anbia terakhir!