Berkongsi kisah hidupnya, Aneita yang dibesarkan dalam keluarga bukan beragama Islam mula mengenali Islam daripada rakannya di sekolah yang kebanyakannya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Walau bagaimanapun, anak kacukan India dan Cina itu berkata, biarpun telah tertarik dengan ajaran Islam sejak dari kecil, namun kekangan keluarga dan rakan bukan Islam menghalangnya untuk memeluk Islam pada usia itu.

Malah, gurauan seorang rakannya mengenai kehidupan selepas mati turut mengetuk pintu hati dan jiwanya untuk memeluk Islam walaupun dianggap keterlaluan pada awalnya.

“Sejak kecil lagi saya memang berminat mengetahui tentang ajaran agama Islam. Saya juga sering memerhatikan rakan-rakan di sekolah membentangkan sejadah untuk menunaikan solat lima waktu dan kadang kala turut sama membantu mereka membentangkan sejadah.

“Adakalanya saya juga mendengar mereka membaca al-Quran dan cuba untuk memahami ayat-ayat tersebut. Sehinggalah satu hari, ada seorang kawan menyindir dengan berkata `kalau nak masuk syurga, mesti menjadi Islam’,” katanya.

Aneita berkata, walaupun kata-kata rakannya itu agak menakutkan, tetapi membuatkannya lebih tertarik untuk mempelajari agama Islam dan cuba menghayati kehidupan sebagai umat Islam.

“Oleh kerana saya adalah kacukan India dan Cina, rupa saya mirip seperti orang Melayu. Dari dahulu lagi saya sudah belajar untuk menjawab salam dengan sesiapa sahaja yang memberi salam kepada saya kerana menyangka saya beragama Islam.

“Sedangkan pada masa itu saya masih berstatus agama lama dan tidak mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam,” jelasnya.

Cabaran bergelar saudara baharu

Sehinggalah pada Januari 2003, Aneita mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Beliau mengucapkan dua kalimah syahadat di sebuah masjid di Kuala Lumpur selepas hampir enam bulan mempelajari asas agama Islam.

Tidak terhenti di situ, ternyata sinar hidup baru Aneita bergelar Muslim juga menjadi permulaan baginya menghadapi cabaran dan tentangan ramai terutamanya daripada kenalan terdekat.

“Pada awal memeluk agama Islam, ramai rakan-rakan bukan beragama Islam mula menjauhkan diri dan enggan bercampur atau berkawan dengan saya, termasuklah ahli keluarga saya.

“Sejak kematian ibu dan bapa, hanya abang jadi tempat saya mengadu. Namun, semasa saya memeluk agama Islam, abang membantah, begitu juga saudara keluarga sebelah bapa dan emak saya juga ada yang tidak berapa suka saya memeluk agama Islam.

“Tetapi syukur, Allah SWT meringankan ujian yang diberikan kepada saya apabila akhirnya abang saya juga mengambil keputusan memeluk Islam,” ujarnya.

Oleh kerana batasan syariat, Aneita berkata, dia juga tidak lagi dapat menghadiri majlis keramaian dianjurkan oleh saudara mara kerana diadakan di restoran atau kelab yang kebanyakannya tidak halal.

Namun siapa sangka, selepas menghadapi pelbagai dalam konflik, Aneita dikurniakan dengan suami dan keluarga mertuanya yang baik.

“Inilah hikmah selepas Allah SWT menarik sesuatu rupa-rupanya dia ingin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Suami dan keluarganya banyak membantu saya mempelajari Islam, menghayati al-Quran dan mengajar saya bersembahyang,” luahnya.

PERUBAHAN POSITIF

Bergelar Muslimah juga telah mengubah kehidupan Aneita daripada seorang yang sering melakukan maksiat dan perbuatan bertentangan syariat pada masa dahulu kepada individu yang taat perintah agama.

“Meminum minuman keras, berhibur di kelab-kelab dan mengambil makanan yang tidak halal adalah sebahagian daripada hidup saya dahulu. Kini saya telah berhenti melakukan semua itu dan cuba untuk mematuhi segala perintah Islam.

“Perlahan-lahan saya telah berhijab dan mempelajari al-Quran, doa-doa harian dan ibadah yang lain. Malah, kelahiran anak hasil perkahwinan dengan suami juga mendorong saya untuk lebih mendalami Islam bagi membolehkan saya mengajar anak mengenai Islam,” katanya.

Beliau turut mengakui penghijrahannya kepada Islam merupakan keputusan terbaik dalam hidupnya selepas mengetahui keindahan dan hikmah di sebalik segala perintah yang disyariatkan.