Namun ada juga yang mendapat cukup tidur tetapi masih mengalami masalah ini. Keadaan itu akan membuatkan penumpuan seseorang terhadap pembelajaran di kelas atau kuliah semakin berkurangan dan tidak konsisten.

Punca mengantuk pada waktu tengah hari boleh dikaitkan dengan pelbagai sebab, antaranya kurang tidur pada waktu malam, keletihan kerana pelbagai perkara, kurang oksigen di bahagian otak dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah ini, terdapat beberapa cara yang boleh diambil bagi memastikan keesokan hari, kita dapat kekal produktif dan bertenaga dalam menghadapi apa jua perkara.

Ruangan Kesihatan minggu ini berkongsi beberapa tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan kita mengantuk pada waktu siang, sekali gus memaksimumkan tenaga untuk menyelesaikan pekerjaan yang sedang dilakukan. – http://www.webmd.com

Cukup tidur

Orang dewasa memerlukan tidur antara tujuh hingga lapan jam setiap hari, manakala kanak-kanak dan remaja memerlukan tidur sehingga sembilan jam sehari. Kadangkala pelbagai aktiviti yang dijalankan pada sebelah malam terutamanya sebelum tidur misalnya bercukur, melipat baju dan sebagainya mengambil masa tidur yang sepatutnya. Jadi, pastikan segala kerja telah dilakukan dan tidur tepat pada waktunya.

 

Tetapkan waktu

Cuba disiplinkan diri pada waktu tidur dan bangun tidur agar perjalanan kehidupan kita akan lebih teratur dan bertenaga. Penetapan waktu ini mampu memberikan kita masa tidur secukupnya dan mengelakkan mengantuk pada waktu siang.

 

Makan ikut masa

Waktu makan adalah antara perkara yang akan menentukan kita tidur dengan cukup serta memberikan kita tenaga sepanjang hari. Makan pada waktu makan perlu dirancang dengan teliti agar tidak mengganggu waktu tidur. Jika makan malam agak lewat, sudah pasti kita akan tidur lewat, begitu juga waktu makan lain.

 

Senaman

Lakukan rutin senaman setiap hari sekurang-kurangnya 30 minit sehari agar badan dapat mempunyai stamina mencukupi pada waktu siang dan ia akan memudahkan seseorang itu dapat tidur dengan cukup.

 

Jangan tidur jika belum mengantuk

Ramai orang beranggapan ketika badan letih adalah masa yang sesuai untuk tidur tetapi sebenarnya, masa paling sesuai untuk mula tidur adalah apabila kita mengantuk. Ini kerana ketika letih, belum tentu mata dapat dilelapkan, membuatkan kita sukar tidur dan akan menyebabkan badan terasa letih apabila bangun dari tidur.

 

Jangan tidur sekejap

Kadangkala ada di antara kita akan tidur sekejap pada waktu petang untuk menghilangkan keletihan. Namun cara ini adalah salah kerana ia akan mengganggu waktu tidur sebenar pada waktu malam. Jadi, lebih baik lakukan aktiviti lain yang sesuai seperti bersenam dan sebagainya.