Sebagai contoh, perasaan marah biasanya dicetuskan oleh rasa kecewa disebabkan oleh halangan, sama ada dalam bentuk nyata atau persepsi, daripada mendapatkan atau membuat sesuatu yang sangat-sangat dikehendaki. Keamatan perasaan tersebut adalah fungsi persepsi bergantung kepada bagaimana seseorang individu menilai situasi tesebut. Tahap kesabaran adalah kunci dalam mengawal keamatan perasaan tersebut.
Laman media sosial banyak mempengaruhi kehidupan seharian individu tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang diri terutamanya dalam aspek interaksi sosial. Ia memberi peluang kepada individu untuk berhubung, meluahkan pendapat dan perasaan serta berkongsi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian dengan kaum keluarga, sahabat handai, rakan sekerja, saudara mara dan juga individu-individu lain dalam ruang lingkup sosial seseorang. Dalam meluahkan pendapat dan perasaan, kesabaran dan kawalan diri memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan gangguan komunikasi seperti konflik sosial daripada berlaku. Selain itu, hubungan sosial dalam institusi perkahwinan turut menuntut kesabaran bagi mencapai keharmonian dan kebahagiaan. Kesabaran juga adalah kunci dalam mencapai kejayaan-kejayaan lain seperti dalam bidang pekerjaan, pelajaran, sukan dan sebagainya.
Kepentingan bersabar
Kepentingan dan kelebihan untuk bersabar dan mengawal diri bukan sahaja ditekankan dalam konteks agama, malah ia turut menarik minat penyelidikan saintifik. Kajian-kajian berkenaan kesabaran dan kebolehan individu untuk mengawal diri telah dibuat seawal tahun 1970-an lagi.
Satu kajian yang cukup terkenal dalam bidang psikologi yang dinamakan Ujian Marshmallow yang dijalankan oleh penyelidik Walter Mischel dan Ebbe B. Ebbesen di Universiti Stanford Amerika Syarikat, melihat dengan mendalam konsep kawalan diri dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 4 hingga 6 tahun. Secara umumnya, kajian tersebut bertujuan untuk mengkaji kaedah mengawal diri atau bersabar dalam kalangan kanak-kanak, sama ada mereka cenderung untuk mendapatkan kepuasan segera ataupun menunda kepuasan untuk hasil yang lebih besar. Kanak-kanak tersebut dihidangkan dengan sepinggan marshmallow dan diberi pilihan untuk memakan marshmallow tersebut, namun, jika mereka menunggu selama lima belas minit tanpa memakannya, mereka akan diberi hidangan kedua. Sebahagian kanak-kanak berjaya melawan godaan untuk memakan marshmallow tersebut manakala sebahagian yang lain menghabiskannya sebaik-baik sahaja penyelidik meninggalkan bilik kajian tersebut.
Apa yang menarik mengenai kajian ini adalah penyelidikan susulan yang dijalankan dengan melibatkan peserta kajian yang sama apabila mereka meningkat remaja dan dewasa. Dalam kajian susulan tersebut, Mischel dan kumpulan penyelidikannya mendapati wujud hubungan yang kuat antara tahap kekuatan kawalan diri dalam kalangan mereka yang berjaya mengawal godaan untuk memakan marshmallow yang disediakan, dengan kejayaan mereka di peringkat umur remaja dan dewasa.
Dalam kajan susulan yang pertama yang dijalankan pada tahun 1988, kanak-kanak yang menangguhkan kepuasan segera dilihat sebagai lebih kompeten berbanding mereka yang gagal mengawal diri dalam kajian terdahulu. Kajian susulan yang dijalankan dalam tahun 1990 pula menunjukkan pencapaian markah peperiksaan yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berjaya mengawal diri. Manakala, kajian susulan terkini yang diterbitkan dalam tahun 2011 menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai kebolehan mengawal diri semasa kanak-kanak kekal dengan kebolehan tersebut di peringkat umur dewasa. Selain itu, aktiviti otak mereka juga mempunyai perbezaan yang ketara.
Kepentingan dan kelebihan untuk menanam sifat sabar dalam diri adalah jelas dari sudut agama. Malah, kajian Walter Mischel dan Ebbe B. Ebbesen dan kajian susulan yang dijalankan turut memberikan beberapa pengajaran berkenaan kepentingan untuk menanamkan sikap sabar dan kawalan diri.