Mengakui segala-galanya berlaku tanpa disedari, personaliti ini bagaimanapun bersyukur kerana dirinya diberi hidayah untuk terus belajar serta mendalami ajaran agama Islam.
Siti Malikah Feer, itulah nama yang dipilih setelah memeluk Islam 12 tahun yang lalu, malah mengakui kehidupannya lebih tenang selepas itu.
Berasal dari Rotterdam, Belanda, dia yang lebih selesa disapa Malikah memberitahu ‘pencariannya’ mengenai tuhan selama ini telah pun ditemui malah sehingga hari ini dia masih dalam proses pembelajaran.
“Sejak kecil saya mempercayai tuhan itu wujud malah saya tercari-cari jawapannya sehinggalah saya ketemukan pada usia 18 tahun.
“Bermula saat itulah saya tidak mensia-siakan waktu yang ada malah sehingga hari ini saya masih lagi belajar dan akan terus belajar dan mendalami Islam sehingga akhir hayat,” ujarnya yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.
Bercerita mengenai perihal dirinya, Malikah menjelaskan dia adalah anak sulung daripada empat beradik dan kini bermastautin di Rotterdam bersama rakan-rakan.
Begitupun sejak Ogos tahun lalu, wanita berusia 30 tahun ini berada di Jakarta, Indonesia, kerana mengikuti kursus bahasa di Universiti Indonesia.
Disebabkan itu, tidak hairanlah dia mampu berkomunikasi dalam bahasa Indonesia walaupun tidak begitu lancar tetapi memahami setiap patah perkataan yang diperkatakan.
Mengenai kehidupannya di Belanda, Malikah memberitahu, dia tinggal bersama dengan rakan-rakannya di rumah sewa.
Tidak tinggal bersama keluarga kerana mereka tidak selesa dengan keadaannya dirinya selepas memeluk agama Islam.
Dia lantas mengambil keputusan untuk keluar dan hidup berdikari.
Apabila ditanya penerimaan keluarga sebaik sahaja mengetahui penghijrahannya itu, Malikah berkata, bukan sahaja tidak mendapat restu, bahkan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya.
“Keluarga tidak dapat menerima keputusan yang dibuat kerana sebaik sahaja saya menganut agama Islam saya terus berhijab.
“Akibat daripada keputusan tersebut (berhijab) saya telah dihalau dari rumah dan disebabkan itulah sehingga hari ini saya lebih selesa tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan yang lain.
“Bagaimanapun, selepas dua tahun saya berhijrah akhirnya tanpa diduga saya mendapat restu daripada bapa dan sudah pasti saya gembira,” tuturnya.
Berbual lebih lanjut mengenai sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini, menurut Malikah, dia menyambutnya di Rotterdam bersama rakan-rakan Islam yang lain.
Katanya, sambutan Ramadan mahupun Syawal di Rotterdam tidak semeriah seperti negara-negara Islam, kerana empat peratus daripada 17 juta penduduk Belanda yang menganut agama Islam.
Begitupun katanya, budaya mengunjungi rumah baik semasa Ramadan mahupun Syawal cukup dialu-alukan untuk mengeratkan hubungan antara penganut Islam di sana.
“Sejak dari kecil apa jua yang dilakukan pastinya saya bersendirian dan sehingga hari ini ia masih tetap begitu.
“Disebabkan itulah bila tibanya Ramadan dan Syawal saya tidak kisah menyambutnya sendirian, malah mengunjungi keluarga di pagi raya juga bukanlah satu perkara wajib yang perlu dilakukan kerana mereka sememangnya tidak menggemari perkara-perkara sedemikian.
“Tetapi untuk tahun ini saya berpuasa dan berhari raya di Indonesia kerana pengajian belum tamat dan menyambutnya bersama-sama dengan rakan-rakan yang tinggal di asrama dan sudah pasti suasananya amat berbeza sekali jika hendak dibandingkan di Belanda,” bicaranya.
Menyentuh pula mengenai teman hidup, Malikah menjelaskan dia tidak pernah terfikir ke arah itu buat masa ini malah menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.
Yang nyata dia inginkan seseorang yang mampu membimbing dirinya menjadi seorang Muslimah yang lebih baik dan bersama-sama berdakwah ke jalan yang diredai.
MENGENALI MALIKAH
– Tidak suka bersolek
– Tidak menggemari kasut bertumit tinggi
– Seorang yang lemah lembut
– Seorang yang sensitif
– Suka bergaul dengan orang ramai
– Marlou Feer nama asal sebelum memeluk Islam