Beberapa hari kemudian, wanita berkenaan membuat keputusan melawat masjid itu kerana ingin mengetahui aktiviti yang berlangsung di situ selepas azan subuh.

Masjid berkenaan yang dibina oleh Kerajaan Turki sekitar tahun 1998 akhirnya menemukan Ami dengan seorang lelaki Melayu yang kini menjadi suaminya.

Berkongsi pengalamannya men­dekati agama Islam, Ami, 34, berkata, setelah beberapa kali mengunjungi masjid, beliau jatuh cinta terhadap Islam dan memaklumkannya kepada ibu bapanya.

“Alhamdulillah, mereka tidak melarang hasrat saya malah menghormati keputusan saya. Di masjid itu, saya juga bertemu seorang pelancong dari Malaysia, Abdul Johan Kudus Abdul Hussien yang kini menjadi suami saya,” katanya.

Ami yang ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) di sini baru-baru ini berkata, perkenalan dengan Abdul Johan Kudus di masjid berkenaan juga telah mengubah hidupnya apabila membuat keputusan untuk berhijrah ke Malaysia.

“Setibanya di negara ini pada 2008, saya mendapat peluang untuk mendalami Islam dengan lebih meluas lagi. Menerusi perkahwinan bersama Abdul Johan Kudus, saya mendapat bimbingan daripada suami pula malahan beliau juga mencadangkan saya memasuki kelas agama untuk saudara baharu,” katanya yang berkerja dalam sektor perhotelan di negeri ini.

Orang ramai yang menghadiri majlis berbuka puasa IPSI di Kompleks Masyarakat Penyayang juga berasa sebak apabila seorang wanita rakyat Filipina, Jonabel Marqerz mengucap dua kalimah syahadah sambil disaksikan oleh pendakwah yang juga Presiden IPSI, Kamarudin Abdullah beberapa minit sebelum azan maghrib.

Jonabel, 39, yang juga guru Bahasa Inggeris berkata, disiplin yang diterapkan agama Islam berjaya menarik minatnya dan melahirkan rasa bersyukur kerana terpilih menerima hidayah Allah.

Katanya, dia mula mengenali Islam dengan lebih dekat ketika bekerja di Doha, Qatar beberapa tahun lalu.

Belaiau juga kagum melihat umat Islam begitu mencintai Allah apabila sanggup meninggalkan pekerjaan selepas mendengar azan dan bersolat secara berjemaah.

“Disiplin yang ditunjukkan mereka itu membuatkan saya jatuh cinta dan berminat untuk mendekati Islam. Saya mula belajar tentang solat lima waktu dan bacaan lain. Ada kalanya saya bertanya kepada rakan-rakan serta merujuk kepada Youtube,” katanya.

Menurutnya, beliau memaklumkan perkara ini kepada ke­luarga di Manila, Filipina dan mereka tidak menghalangnya untuk menganut Islam.

Jika Jonabel dan Ami mendapat restu keluarga masing-masing untuk memeluk agama Islam, cerita berbeza pula terpaksa dilalui Danial Ooi Abdullah, 30.

Pekerja sebuah kilang di sini berkata, dia dikecam oleh keluarganya di Parit Buntar selepas memaklumkan penghijrahan yang dilakukan.

Danial yang memeluk Islam tujuh bulan lalu berkata, dia menganggap maklum balas negatif itu sebagai ujian Allah untuk beliau walaupun hatinya berasa sedih.

“Walaupun keluarga marah, namun saya tetap pulang ke kampung untuk melawat ibu saya. Pada mulanya ahli keluarga tidak mempedulikan kehadiran saya namun saya tidak berputus asa kerana mahu menunjukkan perbezaan agama tidak akan menjarakkan kasih sa­yang antara saya dan ibu serta ahli keluarga yang lain,” katanya.

Danial yang mendirikan rumah tangga dengan Nor Syazana Mohd. Koya baru-baru ini berkata, beliau telah mula mengenali Islam sejak zaman remaja lagi kerana hidup­nya di kelilingi komuniti Melayu.

Sementara itu, Kamaruddin Abdullah berkata, IPSI berharap umat Islam di negeri ini akan tampil menjadi sukarela di pusatnya dalam usaha menyampaikan dakwah.

Katanya, urusan dakwah IPSI bukan hanya melibatkan mualaf yang mendekati mereka malahan juga membabitkan dakwah Islam kepada bukan Islam di negeri ini.

Dalam masa sama, Kamarudin berharap umat Islam, jabatan agama, serta badan korporat dapat menghulurkan bantuan bagi memastikan IPSI dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan