Mengambil keberkatan bulan Ramadan, R. Subramaniam, 59, memilih Ahmad Ramadan Subra sebagai nama baharunya dan dia begitu teruja kerana pada tahun ini dia dapat menjalani ibadat puasa sebagai seorang Islam dengan rasminya.
Ketika ditemui sejurus memeluk Islam di Masjid Cina, Krubong di sini, Ahmad Ramadan berkata, dia mula mendekati Islam sejak 25 tahun lalu apabila sering membaca dan membeli buku-buku ilmiah agama untuk perpustakaan sekolahnya.
“Ketika itu saya bertugas sebagai guru perpustakaan, saya memang aktif membeli majalah berunsur Islam bukan hanya untuk perpustakaan sekolah tetapi untuk diri saya sendiri.
“Oleh kerana saya juga merupakan guru yang mengajar tentang sejarah Melayu, pantun serta sajak yang mempunyai unsur-unsur agama secara tidak langsung saya amat rapat dengan agama ini walaupun ketika itu saya bukan Islam,” katanya.
Ahmad Ramadan berkata, tentangan keluarga terutama isterinya yang masih belum terbuka hati memeluk Islam sehingga kini telah membuatkan hasratnya itu tertangguh sejak sekian lama.
Katanya, dia begitu bersyukur kerana diberi hidayah pada bulan Ramadan ini untuk memeluk Islam.
“Syukur kerana ini bulan Ramadan dan saya telah mendapat hidayah walaupun lebih 25 tahun, Allah telah beri petunjuk sehingga saya sangat terharu kerana semua sahabat saya termasuk guru-guru hadir untuk memberi sokongan, syukur apa yang dihajati telah tercapai,” katanya terharu.
Menurut bapa kepada tiga anak berusia antara 21 hingga 32 tahun itu, dia telah pun berpuasa seperti seorang Islam sejak 10 tahun lalu.
Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk berpuasa kerana telah terbiasa dengan ibadat itu sejak sekian lama, malah mengakui nikmat berpuasa kerana tidak berasa lapar seperti bulan lain terutamanya pada waktu makan tengah hari.
“Walaupun saya dengan rasmi telah memeluk Islam pada hari Jumaat namun sebenarnya saya telah pun melafazkan syahadah di hadapan guru-guru beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar, Jasin sejak Selasa lalu.
“Kalau ditakdirkan Allah saya mati pun selepas melafazkan syahadah itu maksudnya saya akan mati sebagai seorang Islam,” katanya.