IMAM Nawawi RHM (631-676H) tokoh agung dalam mazhab Syafie. Ditakdirkan umurnya tidak panjang. Namun, ilmu, sumbangan, karya dan kisah perjuangan beliau berpanjangan hingga ke hari ini.

Menguasai pelbagai bidang ilmu. Menjadi rujukan umat hingga sekarang.

Ahli ilmu yang setia dengan kebenaran. Mempertahankan prinsip keadilan tidak kira dengan siapa beliau berhadapan. Nilai agama tidak digadai semata-mata ingin meraih habuan dunia. Inilah Imam Nawawi, rahimahullah.

Kisah beliau yang menarik ialah semasa berhadapan dengan pemerintah pada zamannya, Al-Malik Al-Zahir. Imam Nawawi diminta Raja Zahir supaya mengeluarkan fatwa harus bagi pemerintah mengambil harta rakyat untuk keperluan jihad memerangi musuh negara iaitu tentera Tatar.

Ramai ulama lain yang dibunuh Raja Zahir kerana enggan memberikan fatwa menyokong hasrat tersebut. Pada masa yang sama, ada juga kelompok agamawan yang menyokong. Namun begitu, Imam Nawawi tetap tegas memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Walaupun beliau tahu pengutipan harta rakyat itu akan digunakan bagi tujuan jihad mempertahankan negara, beliau tetap enggan menulis surat sokongan kepada tindakan Raja Zahir.

Raja Zahir bertanya mengapa beliau tidak mahu menyokong hasrat baik ini? Imam Nawawi menjawab: “Setahu aku, engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta.

Kemudian ALLAH SWT memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga memiliki dua ratus hamba perempuan. Setiap mereka mempunyai sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan dan baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada ALLAH dan mengikut jalan Nabi-Nya SAW. (Lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam)

Begitulah prinsip kebenaran dan keadilan yang diperjuangkan Imam Nawawi. Kebajikan rakyat didahulukan berbanding kedudukan diri sendiri. Beliau bukan hendak melawan hasrat baik pemerintah yang mahu mempertahankan negara.

Tetapi beliau tidak bersetuju dengan cara hidup pemerintah dan pengurusan harta negara. Dalam keadaan pemerintah hidup bermewah, mengumpul harta penuh megah, tiba-tiba wang rakyat juga yang mahu dikerah.

Jika mahu difikirkan kepentingan perut sendiri, boleh sahaja Imam Nawawi bersetuju. Tetapi prinsip agama yang beliau dokong, tidak mengharuskan sebegitu.

Mana mungkin dibiarkan pemerintah bersenang lenang di atas takhta, bahkan dengan seronok melicinkan harta negara, tiba-tiba apabila diperlukan untuk mempertahankan negara, rakyat yang menjadi mangsa.

Ini bukan teladan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-rasyidin. Lihat sahaja bagaimana contoh kepemimpinan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab.

Semasa era pemerintahan beliau, antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan, semenanjung Arab dilanda kemarau teruk yang menyebabkan kesusahan dan kelaparan kepada rakyat.

Tahun itu dikenali sebagai ‘Am al-Ramadah kerana diibaratkan seperti warna abu akibat kekurangan hujan. Maka warna tanah dan warna kulit manusia berubah kerana kekeringan.

Segala kudrat yang termampu, selaku pemerintah yang diberikan amanah, Umar sebaik mungkin menguruskan harta negara bagi mengatasi keperitan yang ditanggung oleh rakyat jelata.

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan, pada tahun berkenaan Umar membuat keputusan untuk tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.

Bekalan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu tetapi dengan harga yang agak tinggi.

Umar menolak untuk makan lalu berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal. Sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami nasib rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpa mereka?.” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/98, Beirut: Dar al-Turath)

Dalam peristiwa lain diriwayatkan suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta, dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Masakan tersebut turut dihidangkan kepada Umar. Apabila beliau mendapati yang dihidangkan kepadanya ialah bahagian belakang unta dan hatinya, maka Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Dijawab:

“Daripada unta yang kita sembelih hari ini”. Lalu Umar berkata: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa”. (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

Allahu akbar! Alangkah beruntungnya manusia yang hidup di bawah pemerintahan Umar ketika itu. Kebahagiaan rakyat adalah kebahagiaannya.

Penderitaan rakyat adalah penderitaannya. Rakyat tidak dibiarkan mengharungi kesusahan seorang diri, sedangkan beliau dilengkapi kemewahan yang serba serbi. Rakyat tidak dibiarkan kesakitan menahan lapar, sedangkan beliau kekenyangan duduk bersandar.

Masih adakah pemimpin yang mewarisi sifat terpuji ini? Renungi sekali lagi kata-kata Umar:  “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa”.

Alangkah bahagianya rakyat jelata, jika ucapan yang sama lahir dari mulut pemimpin mereka. Alangkah deritanya rakyat jelata, jika pemimpin hidup mewah dan megah di puncak kuasa, sedangkan rakyat berpenat lelah menanggung kos hidup yang sengsara.

Pemimpin disayangi rakyat, bukan kerana melihat rumah mereka yang bertingkat-tingkat, duit ringgit yang berlipat-lipat, kereta mewah yang berkilat-kilat, barang perhiasan dari negara barat atau majlis perkahwinan yang dahsyat.

Pemimpin disayangi apabila terserlah padanya nilai amanah dan keadilan.

Hak dan kebajikan rakyat diutamakan. Dalam hal ini, Umar bukan hanya bercakap manis ibarat menanam tebu di tepi bibir, tetapi beliau buktikan dengan tindakan.

Perhatikanlah kisah kehidupan di sekeliling kita. Banyak cerita yang membuatkan jiwa kita sebak dan mengalirkan air mata. Akibat kemiskinan, kesempitan dan kenaikan kos kehidupan. Ada ibu bapa yang terpaksa menatap penuh kesedihan nasib anak yang menanggung kesakitan.

Hendak dirawat tidak mampu kerana kesempitan wang. Ada anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah kerana ibu bapa tidak mampu lagi menanggung kos persekolahan.

Ibu bapa mencuba sedaya upaya membahagiakan anak dengan melempar senyuman, Namun, di sebalik senyuman itu tersimpan keresahan dan keperitan bagi mencari rezeki buat menjamin kelangsungan kehidupan.