Islam jadi pilihan Hean Kong selepas 59 tahun


SEBELUM memeluk agama Islam, Chong Hean Kong tidak pernah kenal apa ertinya Tuhan. Baginya yang tidak menganut mana-mana agama selama hayatnya yang kini berusia 59 tahun, hidup adalah satu pusingan nyawa yang akan berhenti bila tiba waktunya.

 

Itu sahaja yang boleh ditafsirkan tentang erti kehidupan. Ketenangan yang dicari hanya bersifat sementara. Sama seperti rakan-rakan sebangsanya yang lain, mencari duit adalah segala-galanya selagi masih bernafas.

“Saya baharu saja memeluk Islam kira-kira enam bulan lalu iaitu pada 16 Oktober 2014. Kehendak hati untuk mendekati Islam bermula daripada pertemuan dengan seorang sahabat yang bernama Sulaiman.

“Dia yang saya panggil cikgu amat menyenangkan hati saya baik dari sudut pergaulan, perbualan dan kehidupan sehariannya.

“Kenal pun tak lama tetapi hati saya tertarik untuk mengenal Islam dan seterusnya memeluk agama Allah ini banyak didorong oleh Sulaiman secara tidak sengaja.

“Akhirnya, setelah memikirkan semasak-masaknya, saya menyuarakan hasrat kepada Sulaiman dan melalui dialah saya kini mempunyai agama yang sah iaitu Islam,” katannya ketika ditemubual wartawan MalaysiaGazette di Sungai Besi pagi tadi.

Orangnya kurus, berperawakan sederhana dan cukup ramah.

Bangga dengan nama Islamnya, Harris Adeen Chong, lelaki yang belum pernah berkahwin ini berkata, sejak memeluk Islam, jiwanya sentiasa tenang walaupun ditimpa masalah.

“Saya dapat rasakan kelebihan itu dan setiap kali berada dalam masalah, saya menadah tangan kepada Allah memohon diberi ketenangan.

“Waktu tak ada agama dulu, saya tak buat semua ini sebab tak ada tempat untuk mengadu selain kawan-kawan yang bukannya semua menyenangkan kita.

“Tapi syukurlah, kerana sepanjang menjadi mualaf, hidup saya tidak pernah disisihkan oleh umat Islam lain malah ramai yang sedia membantu saya jika diperlukan terutama yang melibatkan pengajian ilmu,” ujarnya.

Jelas Harris, sebagai mualaf yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dia menerima elaun bulanan sebanyak RM500.

“Bukan itu yang saya cari dalam Islam malah saya sendiri tak pernah menggunakannya untuk keperluan diri, sebaliknya menyedekahkan wang itu kepada sebuah badan kebajikan.

“Biarlah sedekah saya itu menjadi pahala saya untuk bekalan selepas mati nanti. Saya tak boleh sentuh bagaimana mualaf lain membelanjakan wang tersebut kerana itu hak masing-masing,” katanya.

Menurut Harris, dia bersyukur kerana perjalanannya ke arah Islam tidak mendapat bantahan daripada sembilan adik beadiknya.

“Ibu bapa saya sudah lama meninggal dunia. Jadi ketika berbincang dengan adik beradik, mereka suka dan tidak membantah keputusan yang saya ambil.

“Saya tidak juga mengajak mereka untuk bersama saya tapi saya berdoa kepada Allah supaya mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah,” ujarnya.

gambar_harris_2

Bercakap tentang pendapatan bulanan, Harris menjelaskan, dia merupakan pembekal ikan tilapia segar kepada restoran-restoran Cina sejak 11 tahun lalu.

“Paling sedikit yang dibawa menaiki lori adalah sebanyak 600 kilogram untuk diagihkan mengikut tempahan.

“Saya kini sedang cuba untuk memasuki restoran Melayu Islam bagi memperkenalkam ikan yang saya jual.

“Mudah-mudahan, sebagai saudara baharu, saya yakin kehidupan saya akan semakin baik pada masa-masa akan datang dan itulah doa saya,” ujarnya.

Menyentuh tentang pengajian hal-hal agama Islam, buat masa ini katanya, seminggu sekali dia akan mengikuti pengajian di sebuah pusat pengajian untuk mualaf di Wangsa Maju berdekatan rumahnya yang dikenali Multiracial Reverted Muslims (MRM).

“Terlalu banyak yang saya mesti pelajari dan akan mengambil masa yang lama untuk memahaminya.

“Tetapi saya bersyukur dan sentiasa bersabar dengan apa jua ujian yang datang,” katanya. – MalaysiaGazette

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: