Sesat 40 tahun ingkari janji Tuhan


Oleh Syafiq Zulakifli
Kisah Nabi Musa teruskan dakwah walaupun ada pengikutnya ingkari perintah
Perjalanan sirah melalui rancangan Ibrah yang dikongsikan bersama Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman tiba pada saat perjalanan kaum Nabi Musa diperintahkan masuk ke bumi Palestin. Pada penghujung perjalanan kisah Nabi Musa, Baginda terus berdakwah kepada kaumnya yang banyak kerenah itu.×
Segala bentuk helah dan cubaan mempersendakan Nabi Musa itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israel (supaya mereka menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya), dan Kami telah utuskan daripada kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala rasul serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul.” (Surah al-Maidah, ayat 12)

Janji Allah SWT kepada golongan Bani Israel untuk terus beriman kepada Allah SWT adalah satu daripada nikmat yang tidak dihiraukan mereka. Walau bagaimanapun, Nabi Musa terus melaksanakan perintah dakwahnya dan melakukan pelbagai perancangan bagi memastikan kaumnya setia mengikut ajarannya.

Firman Allah SWT, (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur), maka kamu kelak menjadi orang yang rugi (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Maidah, ayat 21)×

Perintah Nabi Musa kepada pengikutnya untuk masuk ke tanah suci Palestin adalah perintah Allah SWT. Justeru, Nabi Musa tidak melakukan tindakan dengan semberono, malah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kaumnya tidak berasa dukacita atas setiap arahan Ilahi.

Melihat hal demikian, amat bertepatan kita mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah SAW kerana perkara hampir sama dilakukan Nabi Muhammad SAW untuk menguruskan pengikutnya masuk ke bumi Madinah (Yathrib) selepas melihat kekusutan dan kelemahan ummah ketika berada di Makkah.

Nabi Muhammad SAW menyusun strategi dan perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan ke bumi Madinah melalui penghijrahan bukanlah sia-sia.

Keadaan itu juga berlaku kepada pemimpin 12 kaum Nabi Musa yang disebut ‘Naqib’. Allah SWT memberi jaminan kepada mereka yang berbaiah serta membantu Nabi Musa untuk masuk ke bumi Palestin seperti yang telah diperintahkan akan mendapat ganjaran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Surah al-Maidah, ayat 20)×

Memperhalusi kata-kata Allah SWT menjadikan pengikut Nabi Musa merenung dengan lebih mendalam hal itu. Mereka melihat hanya Allah SWT yang berhak memberikan segala pembalasan kepada mereka yang terus setia beriman kepada-Nya. Allah SWT menjanjikan jaminan untuk memperoleh keampunan daripada-Nya, kemenangan dan balasan syurga.

Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu).” (Surah al-Maidah, ayat 22)

Buya Hamka dalam Tafsir Azhar menyatakan, seramai sepuluh orang daripada 12 golongan Hawariyyun itu tidak mahu meneruskan perjalanan untuk masuk ke bumi Palestin seperti yang telah diarahkan Nabi Musa.

Maka: “Berkatalah dua lelaki di antara orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang yang menang; dan kepada Allah jugalah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 23)

Melihat keadaan ini, Nabi Musa merayu kepada Allah SWT supaya tinggalkan segala nikmat kepada mereka yang tidak mahu terus mengikut dakwah Nabi Musa.

Seperti dimaklumi, Allah SWT memberikan pelbagai anugerah dan keistimewaan kepada Nabi Musa antaranya kitab Taurat, di Semenanjung Sinai didatangkan peristiwa patung anak lembu (Samiri), diberikan Manna dan Salwa, tetapi mereka tetap dengan kerenah.

Nabi Musa terus menyatakan kepada kaumnya: “Kamu diberikan nabi yang banyak, tetapi kamu semua buat tidak tahu dan tidak mengerti setiap janji Allah.”

Dalam perjalanan akhir ini, Nabi Musa merayu kepada Allah SWT untuk memisahkannya dengan mereka yang mengingkari perintahnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu.” (Surah al-Maidah, ayat 25)

Permintaan Nabi Musa dijawab oleh Allah SWT melalui perhitungannya menyesatkan mereka selama 40 tahun dalam kawasan Semenanjung Sinai supaya mereka menyedari setiap tindakan mereka akan diberikan balasan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama 40 tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa itu) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berduka cita terhadap kaum yang fasik itu.” (Surah al-Maidah, ayat 26)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: