Kisah Anas bin Malik dan Buah Labu
SUATU hari seorang sahabat menjemput Rasulullah SAW untuk makan di rumahnya. Sahabat ini bukan tokoh terkenal. Bahkan, ia seorang hamba sahaya yang bekerja sebagai penjahit pakaian.
Rasulullah SAW berkenan menghadiri jemputan tersebut. Baginda datang ke rumahnya dengan ditemani oleh Anas bin Malik, pelayan Nabi SAW yang masih kecil.
Setibanya di rumah sahabat ini, tuan rumah menghidangkan untuk Rasulullah SAW sepotong roti, semangkuk sup labu dan daging dendeng.
Setelah mempersilakan baginda makan, tuan rumah meninggalkan baginda dan melanjutkan kembali pekerjaannya.
Hidangan ini sangat sederhana. Namun begitu, baginda SAW sangat menyukainya.
Anas bercerita: Aku melihat Rasulullah mencari-cari labu di dalam pinggan. Sejak saat itu, aku turut menyukai labu.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Thabit berkata: Aku mendengar Anas berkata: Selepas itu, setiap kali dimasakkan makanan untukku, aku meminta dicampurkan labu di dalamnya jika mampu.” (riwayat Muslim)
Hakikat cinta Rasul
Hadis ini menunjukkan sifat tawaduk Rasulullah SAW. Baginda selalu bersedia menghadiri jemputan tanpa membeza-bezakan. Walaupun orang yang menjemputnya miskin dan hidangan yang disediakan sangat sederhana, namun baginda akan menghadiri jemputan itu jika berkesempatan.
Pada masa yang sama, kisah ini menunjukkan besarnya cinta sahabat Nabi kepada baginda. Sehingga apa-apa yang disukai baginda, turut mereka sukai. Dan apa-apa yang baginda benci, turut dibenci. Sikap ini bukan hanya berlaku dalam aspek ibadah, malah juga dalam bab pemakanan.
Lihatlah apa yang berlaku kepada Anas bin Malik. Apabila melihat Rasulullah SAW menyukai labu, Anas turut menyukai buah ini. Beliau terus menjadikan labu salah satu menu kesukaannya hingga meninggal dunia.
Sikap menyukai apa-apa yang disukai Rasulullah menjadi bukti kecintaan seseorang kepada baginda. Pada masa yang sama, cinta kepada baginda ialah bukti cinta kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah, jika engkau benar mencintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mencintaimu. (Ali Imran: 31)
Kenalilah Rasulullah
Seorang ulama tasawuf dari Mesir, Zun Nun al-Misri, pernah berkata: Tanda seseorang yang benar-benar mencintai Allah ialah mengikuti kekasih Allah (Rasulullah SAW) dalam setiap akhlak, perbuatan, perintah dan sunnahnya.”
Dalam konteks hari ini, cinta kepada baginda SAW mesti bermula dengan membaca hadis. Sebab pada hari ini hadis merupakan satu-satunya penghubung antara kita dan Rasulullah SAW. Tanpa hadis, kita tidak dapat mengetahui adab, ajaran dan sunnah Rasulullah. Bahkan tanpa hadis kita tidak dapat mengenali sifat-sifat fizikal baginda SAW.
Justeru, kenalilah Rasulullah menerusi hadis. Ketahui apa yang disukai dan dibenci oleh baginda untuk dijadikan panduan dalam hidup kita. Dengan begitu, insya-Allah kita dapat meneladani Anas bin Malik yang sangat mencintai baginda. Wallahu alam.