Uzlah bersihkan hati yang kotor


ABID MOHD NOOR

PENGERTIAN uzlah menurut Islam bermaksud tinggal bersendirian di suatu tempat tertentu bagi membolehkan seseorang itu fokus untuk beribadah tanpa gangguan daripada sesiapa dan mengelak daripada melakukan dosa.

Ketenangan, kerehatan dan kenikmatan hadir dalam uzlah. Sesiapa yang tidak tenang beruzlah di dalam rumahnya, dia tidak akan berasa ketenangan walau di mana-mana pun berada. Walaupun sesetengah golongan harakiyyin mengingkari keharusan uzlah, terdapat dalil menunjukkan pensyariatan uzlah.

Imam al-Bukhari mentakhrij dengan sanad daripada Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Datang seorang a’rabi (Arab Badawi) kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki yang berjihad di jalan ALLAH dengan nyawa dan hartanya dan seorang lelaki di satu lereng bukit dia menyembah Tuhannya dan menyelamatkan manusia daripada kejahatannya.” (Sahih al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, Bab Uzlah Merehatkan diri Dari Rakan-rakan Yang Jahat. Hadith 1359)

Fadilat uzlah

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan dengan sanad sahih, daripada Sa’d ibn Abi Waqqas RA berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH cintakan hamba yang bertakwa, kaya dan tersembunyi.”

Dalam lafaz lain, “Akan berlaku fitnah-fitnah, orang yang terbaik ketika itu ialah yang bertakwa, kaya dan tersembunyi.” (Riwayat Abu Ya’la & Tabarani)

Uzlah memberikan peluang untuk muhasabah, taubat, istighfar, taubat dan islah diri. Ketika uzlah ada kelapangan masa untuk bertilawah, hifz, tadabur, zikir sebanyak-banyaknya dan membaca pelbagai buku.

Ketika uzlah seseorang dapat merawat tubuh badan dan membanyakkan solat sunat, memikirkan perihal mati dan bekalan mati.

Selain itu, dengan beruzlah, seseorang itu selamat daripada mengumpat, dosa lidah, berbual kosong dan maksiat dalam pergaulan. Semua itu Insya-ALLAH membawa ke syurga.

Begitu juga dalam uzlah, seseorang dapat mengelak diri daripada penyakit mengejar kemasyhuran. Tidak jujur kepada ALLAH, apabila seseorang yang cintakan kemasyhuran.

Sebagai umat Islam, menjadi keharusan untuk uzlah apabila dijangka berlaku kerosakan dalam agama, terjatuh dalam haram dan syubhah.

Mukhalatah (pergaulan) dengan syaratnya dan sabar terhadap kejahatan manusia lebih baik dari uzlah. Tetapi uzlah lebih baik bagi yang lemah dan tidak sabar, serta lebih sedikit risiko dan mudaratnya.

Antara kelebihan uzlah apabila memenuhi syarat dan adabnya ialah dapat menenangkan hati, merehatkan fikiran dan jasad, menumpukan ingatan kepada mati, persediaannya dan dapat mengingati akhirat serta dapat menumpukan ibadah. Uzlah seperti ini adalah ibadah. Ada pun uzlah disertai maksiat, maka bergaul lebih baik dari uzlah bersama syaitan. Golongan salaf saling berpesan-pesan agar melazimi uzlah. Malik ibn Dinar berkata, “Tiga pesanan salaf ialah uzlah, banyak istighfar dan memenjarakan lidah.”

Uzlah lebih dapat memelihara agama dari fitnah (kerosakan, kesesatan dan kekeliruan). Memelihara diri daripada menghinakan diri kepada orang kaya, pemerintah dan golongan fasiq.

Ketika uzlah, seseorang dapat memelihara lidah daripada umpat, cacian, namimah, qazaf, menipu dan lain-lain, yang semua itu membatalkan amal salih. Uzlah juga dapat memelihara mata dari melihat mungkar dan maksiat di pasar-pasar dan jalan.

Melihat dunia dan perhiasannya mengajak kepada mengejarnya. Uzlah juga dapat menyelamatkan diri daripada banyak godaan dan tarikan dunia.

Dengan uzlah selamat daripada menemui orang yang hasad, dungu, pengejek, sombong, pengumpat dan orang yang ujub. Ini sudah cukup besar dan sangat bermanfaat.

Tidak diterima ALLAH?

Syarat uzlah ialah tafaqquh terlebih dahulu iaitu mendalami ilmu tauhid, fiqh ibadah, ilmu akhlak, tafsir dan hadis serta selok-belok ibadah. Ibrahim al-Nakha’ei (wafat 96H) berkata: “Bertafaqquhlah terlebih dahulu kemudian hendaklah kamu beruzlah.”

Beliau beruzlah sehingga mati menyelamatkan diri daripada kezaliman Hajjaj. Uzlah dan ibadah tanpa ilmu tidak akan diterima oleh ALLAH. Usaha mengumpulkan kitab perlu dilakukan sebelum uzlah.

Dalam hidup Baginda SAW, bukan uzlah sepanjang hayat. Uzlah dan mukhalatah (pergaulan) yang seimbang adalah sunnah. Ada pun uzlah dalam tempoh yang panjang seperti al-Imam Malik (93-179H) adalah disebabkan faktor peribadi, kesihatan dan keadaan.

Beliau dikatakan beruzlah selama 19 hingga 20 tahun sebelum kematiannya. Al-Imam Sufyan al-Thawri (97-161H) beruzlah untuk menyelamatkan diri dan godaan dan ancaman pemerintah.

Antara adab uzlah ialah meniatkannya untuk mencari reda ALLAH dan menjauhi kejahatan manusia dan menyelamatkan orang ramai daripada kejahatan dirinya (bukan menyelamatkan diri daripada kejahatan orang ramai semata-mata kerana itu ujub), disertai puasa, zikir dan fikir.

Tujuan uzlah ialah untuk memusatkan hati dan fikiran mengingati ALLAH sepenuhnya dan mengingati akhirat serta beribadah, meninggalkan fikiran terhadap simpang siur dan hiruk-pikuk dunia yang memperdaya.

Ingatan kepada kematian dan persediaan untuknya tidak akan tercapai melainkan dengan uzlah dan di dalam uzlah.


Bilakah halal uzlah?

Tidak syak lagi uzlah mengurangkan pahala seseorang ahli ibadah kerana mengurangkan aktiviti jemaah dan khidmat Muslimin. Tetapi menyelamatkan diri daripada dosa pergaulan lebih utama dari mengejar fadilat dan pahala yang belum tentu diperolehi, melainkan orang sabar, sopan dan peramah.

Mencari keselamatan lebih utama daripada sekadar menambah pahala. Ketenangan dan keselamatan diri lebih utama daripada memberi manfaat kepada orang lain dengan memudaratkan diri sendiri. Tidak syak lagi pergaulan yang berlebihan mengundang dosa dan membahayakan agama walaupun di masjid dan tempat pengajian.

Uzlah boleh menjadi wajib, sunat dan makruh. Muslim yang kuat dan berani lebih baik berjihad. Seorang alim faqih muhaddith lebih baik mengajar dan menulis daripada hanya beruzlah.

Wajib uzlah apabila berlaku tujuh perkara iaitu:

  • Apabila orang ramai menjadi hampas (huthalah iaitu sangat lemah agama, akhlak, akal dan maruah).
  • Rosak amanah penuh sifat nifaq.
  • Terlalu banyak khilaf dan perselisihan serta huru hara pembunuhan.
  • Muncul penyakit shuhh muta’ iaitu bakhil serta tamak.
  • Kikir harta dan makruf, hawa nafsu yang diikuti iaitu meninggalkan al-Quran dan hadis.
  • Utamakan dunia melebihi akhirat (adakala membawa kufur).
  • Ujub dengan pendapat sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: