Teladani hebatnya pemuda terdahulu


DR MOHD AFENDI MAT RA NI

 

SEJARAH menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah apabila meletakkan barisan pemuda di hadapan.

Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan idealisme.

Runtuhnya zaman jahiliah pada zaman Nabi Muhammad SAW hasil sokongan padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Baginda SAW. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah.

Utuhnya benteng negara

Pemuda adalah kelompok yang terbesar dalam menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan disayangi Baginda SAW. Nabi SAW dilantik menjadi rasul dan nabi ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda.

Semasa di Makkah, Baginda SAW dikelilingi orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada Baginda SAW.

Rakan terdekat dengan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar berusia 38 tahun, Saidina Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an.

Manakala al-Arqam bin Abi Arqam berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama besar sahabat yang lain adalah pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama Nabi Muhammad SAW, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir dan Khabab al-Arrat.

Golongan muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh dan sombong yang menjadi pemimpin Makkah. Usamah bin Zaid juga antara panglima muda dalam usia 20-an diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama sahabat yang lebih dewasa.

Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah. Golongan pemuda jugalah yang membela Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Merekalah yang membawa panji Islam dalam medan peperangan. Antaranya dalam perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2H, Saidina Ali, Ubaidah al-Harith dan lain-lain. Abu Jahal (Firaun umat Muhammad SAW) tewas di tangan anak muda Abdullah bin Mas’ud.

Begitu juga dalam perang Uhud, anak muda Anas bin Nadhar sanggup menjadi dirinya sebagai perisai untuk menyelamatkan diri Baginda SAW. Beliau syahid dengan 80 tikaman di seluruh badannya.

Di tengah-tengah Nabi Muhammad SAW terkepung, muncul Abu Dujanah yang menyelamatkan Baginda SAW dan akhirnya beliau syahid di kaki Baginda SAW.

Kemuncak kemenangan Islam

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin keperkasaan pemuda semakin terserlah apabila berhadapan dengan ancaman kuasa besar Rom di Balqa, peperangan al-Riddah.

Demikian juga apabila Islam berjaya menguasai 2/3 dunia dan tersebarnya Islam ke mata dunia pada zaman Umar al-Khattab adalah hasil tangan orang muda sehingga Islam menjadi kuasa besar dunia, disegani kawan dan lawan.

Sejarah yang sama turut berulang pada zaman kegemilangan empayar Islam Turki, seorang pemuda yang berusia 23 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan Kota Konstantinopel.

Kekuatan, kejayaan dan keagungan umat terdahulu adalah disebabkan tenaga pemuda yang membarisi barisan hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan.

Semua ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang konsisten.

Pemuda hari ini?

Zaman remaja adalah zaman penilaian diri, penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap langkah, masa depan mereka terlalu sukar untuk dibentuk.

Justeru, pemuda hari ini perlu dipupuk potensi dan kekuatan dan kecemerlangan diri agar terarah mengikut apa yang disyariatkan Islam.

Menurut Abd Qadir Awdah daripada Mesir, di sana umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati agama hanya 20 peratus selebihnya buta  mengenai Islam.

Prof Hamka juga menyatakan di Indonesia yang mempunyai umat Islam paling ramai hanya 15 peratus dalam kalangan rakyat benar-benar berpegang kepada nilai Islam, manakala sebanyak 85 peratus perlu diislamkan.

Tidak hairanlah pemuda kini dilanda penyakit tegar yang sukar diubat, apatah lagi untuk dirawat. Penyakit daripada dalaman dan luaran yang sukar untuk dikawal.

Pemimpin, pemerintah dan ibu bapa hari ini mencari-cari apakah vaksin terbaik bagi mengembalikan pemuda hari ini kepada landasan yang sebenar.

Dalam analisa terhadap faktor kekuatan umat silam, Sayid Qutb merumuskan roh al-Islam (The Spirit of Islam) adalah jawapan yang tepat kepada persoalan ini.

Roh al-Islam adalah kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran Ilahi.

Sehinggalah segala tindak tanduknya dikendalikan oleh iman dan takwa yang melahirkan sifat keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama.

Dengan kekuatan roh inilah Bilal bin Rabah menjalani derita seksaan Quraisy, kekuatan inilah yang mencetuskan kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan Nabi SAW sekalipun nyawa menjadi taruhan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1000 tentera kuffar.

Keagungan roh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalid al-Walid adalah panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat Islam.

Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Hati mana yang tidak terguris, perasaan mana yang tidak tercalar.

Namun, peristiwa ini sedikit pun tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas pangkatnya yang digugurkan, malah kepatuhannya penghormatan kepada Khalifah Umar al-Khattab semakin tinggi.

Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang di atas dasar semangat ketakwaan dan keimanan kepada-Nya semata-mata untuk mendapat ibtigha mardhatillah.

Manusia yang dilahirkan ke muka bumi ALLAH ini secara fitrahnya memerlukan kepada Pencipta yang memberi pedoman, batasan, amaran, prinsip, peringatan dan lain-lain untuk ditaati dan dipatuhi.

Tanpa dua sifat ini, iaitu taat dan patuh manusia tidak lagi berada dalam keadaan fitrah dan juga menjadikan manusia bersifat teratur dan tertib dalam pengurusan diri dan sistem kehidupan seluruhnya.

Pemuda hari ini perlu dibimbing dengan kehidupan yang terarah agar mampu untuk  memimpin diri dan orang lain.

Tanggungjawab rohaniyah perlu dibangunkan dalam diri mereka yang akan memberi kesan yang amat luar biasa. Pemuda mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: