Soya berlebihan bawa kesan buruk


Kesihatan

GOLONGAN lelaki yang makan 20 gram kacang soya setiap hari selama dua minggu mengundang risiko mengalami penurunan paras hormon testosteron. Malah mereka juga akan mengalami peningkatan paras hormon kortisol.

Kombinasi penurunan paras testosteron dan peningkatan paras kortisol ini mendedahkan seseorang kepada pembentukan pelbagai penyakit. Penemuan tersebut berdasarkan kajian saintis dari University of Connecticut yang membandingkan kesan pengambilan protein kacang soya dan protein dadih susu (whey) terhadap proses pengembalian dan tumbesaran otot.

Kajian berbentuk rawak dan plasebo terkawal bersilang (randomized, placebo-controlled crossover) yang dilaporkan dalam Journal of the American College of Nutrition (JACN) menunjukkan kesan pengambilan suplemen soya kepada testosteron, kortisol dan paras hormon seks lekatan globulin (SHBG, sex hormone-binding globulin) pada lelaki yang menjalankan senaman dan latihan berhalangan (resistance exercise). Saintis membandingkan kesan itu dengan mereka yang mengambil suplemen dadih susu.

Fenomen keperempuanan

Dalam kajian tersebut hormon 10  lelaki berusia awal 20an diarahkan hanya mengambil suplemen berdasarkan jenis yang dirancang. Subjek kajian dibahagikan tiga kumpulan iaitu mengambil protein dadih susu; mengambil protein soya; dan mengambil plasebo maltodextrin.

Setiap subjek kajian diarahkan mengambil 20 gram suplemen seperti dirancang untuk dua minggu. Mereka kemudian diarah untuk menjalankan enam set cangkungan berhalangan berat yang melebihi 80 peratus keupayaan daya angkatan mereka. Pada penghujung hari ke 14, penyelidik mengambil profil hormon daripada setiap subjek dan seterusnya menjalankan perbandingan.

Mereka mendapati setiap subjek kajian yang mengambil protein kacang soya mengalami penurunan paras testosteron dan pada masa sama mengalami peningkatan paras kortisol. Kombinasi penurunan paras testosteron dan peningkatan kortisol mendedahkan diri mereka kepada peningkatan berat badan serta meningkatkan risiko untuk mengalami pelbagai penyakit.

Fenomena ‘keperempuanan’ (feminization phenomenon) memang boleh berlaku kepada lelaki jika mereka mengalami paras testosteron rendah dan pada sama paras kortisol tinggi. Lelaki yang mengalami fenomena tersebut akan mengalami sifat fizikal orang perempuan iaitu pertumbuhan puting payu daya, pembesaran payu dara dan hot flashes.

Pada masa sama mereka juga boleh mengalami masalah kesihatan seperti tulang menjadi rapuh, fungsi tiroid terganggu, masalah tidur, fungsi seks terganggu dan masalah reproduktif.

Penemuan utama saintis tersebut ialah pengambilan suplemen protein kacang soya selama 14 hari menyebabkan paras testosteron darah berkurangan. Protein dadih susu pula mempengaruhi pengeluaran kortisol selepas seseorang menjalani senaman berhalangan dengan cara menghalang peningkatannya.

Dengan kata lain, protein kacang soya bukanlah bahan sesuai diambil oleh mereka yang melakukan latihan jenis berat bagi mengembalikan dan membesarkan otot. Protein kacang soya dikatakan memiliki kekurangan dari segi profil asid amino untuk membina otot.

Ini jelas menyebabkan seorang lelaki mengalami kekurangan kemaskulinan seperti kehilangan sifat dan imej kelelakian. Penulis pernah diberitahu seseorang mengenai kanak-kanak yang sering mengambil produk berasaskan kacang soya secara berpanjangan boleh menyebabkan mereka menjadi ‘lembut’. Maksud lembut di sini ialah kelakuan dan tindak-tanduk kanak-kanak itu lebih keperempuanan. Penulis hanya tersenyum dan menganggapnya hanya gurauan.

Namun pada masa sama penulis tahu kacang soya kaya dengan bahan kimia yang dikenali sebagai xenoestrogen. Xenoestrogen ialah bahan kimia yang boleh melekap pada reseptor estrogen dalam tubuh manusia. Struktur kimia xenoestrogen tidak serupa dengan struktur kimia estrogen. Selain kacang soya, bahan diperbuat daripada pelbagai jenis plastik dikatakan bertindak sebagai xenoestrogen.

Pada zaman moden ini boleh dikatakan setiap hari kita terdedah kepada bahan plastik terutama dalam bentuk bungkusan makanan. Air berasid dan panas, contohnya air teh limau panas dan mi sup panas yang dibungkus dengan plastik dikatakan menyebabkan bahan kimia plastik larut ke dalam air dan makanan.

Gelas yang digunakan di kebanyakan restoran juga turut menggunakan bahan plastik. Ia juga tidak ketinggalan digunakan di sesetengah rumah terutama jika penghuninya tidak ambil berat mengenai keterlarutan bahan plastik oleh air panas dan larutan berasid.

Bersifat karsinogen

Bagaimana dengan melamin yang pernah heboh digunakan sebagai bahan tambahan dalam susu tepung keluaran kilang di China suatu ketika dahulu? Melamin ialah sejenis polimer yang biasa digunakan boleh dikatakan oleh sebahagian besar restoran di negara kita.

Tomyam dihidang dalam mangkuk melamin. Nasi menggunakan pinggan melamin. Begitu juga mangkuk atau piring. Sesungguhnya melamin juga tergolong dalam kategori xenoestrogen. Air panas dan larutan berasid akan melarutkannya.

Sesungguhnya pelbagai jenis plastik yang biasa digunakan untuk membungkus makanan boleh larut dalam air akibat suhu air atau makanan yang panas. Xenoestrogen daripada bahan plastik dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon, penyakit jantung, pertumbuhan otak terganggu, pembentukan organ seksual terganggu/bertukar dan pelbagai jenis kanser.

Sesetengah plastik seperti HDPE (polyethylene ketumpatan tinggi), LDPE (polyethylene ketumpatan rendah) dan polypropylene dikatakan lebih stabil berbanding plastik lain.

Plastik tertentu dikatakan menyumbang risiko yang lebih tinggi berbanding plastik lain contohnya PVC (polyvinyl chloride), polystyrene dan polycarbonate dikenalpasti sebagai agen pengganggu hormon dan bersifat karsinogen. Polstysrene dikaitkan juga dengan kerosakan saraf dan masalah reproduktif.

Pendedahan kepada xenoestrogen seperti pengambilan kacang soya secara berlebihan dan menggunakan bekas plastik yang diisi makanan/air panas secara berpanjangan tetap mendedahkan diri seseorang kepada risiko untuk mengalami beberapa masalah kesihatan seperti disebutkan. Sesungguhnya xenoestrogen bertindak pada kedua-dua golongan lelaki dan wanita!

……..
Dr. Bahrain Samah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: