Cara Abdullah bin Salam patahkan sifat sombong


ABDULLAH bin Salam seorang pendita Yahudi di Madinah. Pada masa itu, beliau terkenal sebagai tokoh Yahudi yang paling menguasai Taurat.

Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Abdullah yang telah mendengar berita tentang baginda tertarik untuk melihat Baginda. Seketika melihat wajah baginda SAW, beliau terus beriman. Beliau mendapati sifat-sifat baginda seperti yang dijanjikan dalam Taurat.

Hingga ke akhir hayatnya, Abdullah bin Salam terus menjadi seorang Muslim. Beliau bahkan ikut berjuang menegakkan dakwah Islam bersama Rasulullah SAW dan para sahabat. Tokoh yang pernah disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga ini wafat pada tahun 34 Hijrah.

Suatu hari Abdullah bin Salam terlihat ketika sedang berjalan di pasar. Beliau tengah memikul seikat kayu bakar bagi keluarganya. Pemandangan ini tentu sahaja menghairankan orang ramai yang melihatnya. Sebab beliau seorang tokoh terhormat. Jika mahu, beliau boleh menyuruh sesiapa untuk melakukan pekerjaan kasar ini.

Seseorang lalu berkata kepada Abdullah: “Mengapa tuan melakukan pekerjaan seperti ini? Bukankah Allah SWT telah mencukupkan tuan sehingga tidak perlu melakukannya?”

Beliau menjawab: “Ya. Namun aku ingin mematahkan kesombongan di dalam hatiku. Sebab aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seseorang yang memiliki sifat sombong di dalam hati walaupun sebesar biji sawi.”

Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la, Ibn ‘Asakir dan lain-lain. Ibnu Hajar berkata dalam kitab Ithaf al-Khiyarah: “Abu Ya’la meriwayatkannya dengan sanad yang sahih.”

Bahaya sombong

Sifat sombong sangat dibenci oleh Allah SWT. Sifat ini bermula daripada perasaan yang merasakan diri lebih baik dan lebih besar daripada orang lain, berlanjut dengan memperlekeh dan menghina mereka.

Kesombongan tidak terletak dalam pakaian dan kenderaan. Akan tetapi terletak di dalam hati lalu diterjemahkan dalam tindakan. Apabila kesombongan berputik di hati, ia akan melahirkan ucapan yang menyakitkan pendengarnya. Juga sikap dan perilaku yang merendahkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Kesombongan ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia. (riwayat Muslim)

Salah satu ciri orang sombong ialah sukar menerima nasihat dan teguran. Nasihat bagi dirinya ialah kutukan dan kritikan. Justeru, pantang bagi seseorang yang merasa tinggi menerima nasihat. Terlebih lagi jika teguran itu berasal daripada orang yang lebih rendah usia dan darjatnya.

Sangat jarang manusia yang terlepas daripada sifat sombong. Tidak terkecuali orang-orang yang berkecimpung dalam dunia ilmu termasuk ilmu agama. Padahal, kesombongan hanya akan merendahkan seseorang di mata Allah SWT dan manusia. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. (al-Nisa ayat 36)

Kejahilan

Sifat ini tidak lain berpunca daripada kejahilan diri. Semakin pandai seseorang, sepatutnya semakin hatinya dipenuhi tawaduk dan bersih daripada kesombongan.

Imam al-Sya’bi berkata: “Panjang sebuah ilmu ialah tiga jengkal. Apabila seseorang baru menguasai satu jengkal, ia akan bersikap angkuh dan menyangka telah menguasai semuanya. Namun apabila ia menguasai satu jengkal lagi, maka pada saat itu ia akan merasa kerdil dan jahil. Adapun jengkal yang ketiga, maka tiada manusia yang mampu menguasainya.”

Justeru, para sahabat Nabi selalu bermujahadah untuk menghilangkan sifat sombong daripada dalam hati. Mereka sedar bahaya sifat ini jika tidak segera disembuhkan. Ia bukan hanya merosak kehidupan mereka di dunia, namun juga menghalangi mereka daripada memasuki syurga di akhirat. Marilah kita meneladani Abdullah bin Salam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: