Meraih piala akhirat


PIALA adalah simbol puncak prestasi dan kebahagiaan. Orang yang mendapat piala bererti orang yang berprestasi, misalnya piala dunia. Orang yang berprestasi pasti keadaan jiwanya dalam kebahagiaan. Justeru, jika ada piala dunia tentu ada pula piala akhirat.

Piala Dunia merupakan simbol daripada puncak prestasi di dunia, berupa kasut emas atau perak atau lainnya sebagai hadiah pemenang dalam permainan bola sepak. Sedangkan piala akhirat merupakan simbol puncak prestasi amalan di dunia untuk akhirat, berupa syurga Allah SWT dengan aneka kenikmatannya.

Piala Dunia yang menyaksikan kemenangan pasukan Jerman selepas menumpaskan pasukan Argentina baru-baru ini, hanya diraikan penghuni dunia sekali dalam masa empat tahun setelah melalui pemilihan dan pertandingan yang ketat antara pelbagai negara. Negara yang tidak berjaya untuk terpilih, maka gagal untuk beraksi pada Piala Dunia.

Sebaliknya untuk memperoleh piala akhirat, Allah SWT memberi kesempatan dan peluang kepada manusia di bumi. Setiap manusia adalah peserta merebut piala akhirat tanpa mengira waktu atau tempoh tertentu. Ia mampu diraih selagi hayat dikandung badan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan setiap umat memiliki kiblatnya yang ia menghadap kepadanya, maka berlumbalah dalam kebaikan. (al-Baqarah: 148).

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap umat atau manusia diberi kesempatan sama oleh Allah SWT untuk meraih dalam kebaikan. Siapa pun berhak merebut piala akhirat tanpa melihat rupa, harta dan status negara.

Namun, tentu tidak semua peserta pertandingan kebaikan itu akan meraih piala akhirat (syurga). Sebagaimana tidak semua negara yang bertanding dalam piala dunia akan mendapatkan piala. Untuk meraih piala akhirat, syarat utama peserta dalam perlawanan kebaikan itu harus dalam keadaan beriman.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa yang beramal soleh (kebajikan), lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. (an-Nahl: 97).

Menurut sebahagian ulama, yang dimaksudkan dengan kehidupan yang baik (hayatan tayyibah) pada ayat ini adalah syurga Allah SWT.

Oleh itu, bulan Ramadan adalah momentum terbaik bagi kaum Muslimin berebut meraih piala akhirat.

Alasan pertama, kerana bulan Ramadan adalah bulan yang berkat (riwayat Ahmad). Bererti memiliki nilai tambah atau lebih, yang tidak pernah Allah SWT berikan pada bulan yang lainnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adapun amal soleh yang dilakukan seorang Muslim di bulan Ramadan, maka dilipatgandakan pahalanya dan langsung Allah yang membalasnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Keduanya, di bulan Ramadan pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu (riwayat Muslim). Hal ini merupakan bentuk kasih sayang Allah SWT kepada umat Islam, sehingga dengan itu agenda pesta kerohanian di bulan Ramadan untuk meraih piala akhirat berjalan lebih mudah dan lancar.

Yang ketiga, di bulan Ramadan ada shiyam (puasa) dan qiyam (solat malam). Dengan melaksanakan puasa dan solat malam (tarawih) yang didasarkan keimanan dan mengharapkan pahala di sisi Allah SWT, maka dosa-dosa akan diampunkan (riwayat Muttafaqun ‘Alaih). Jika dosa-dosa diampunkan bererti jaminan untuk mendapatkan kemudahan meraih syurga yang dijanjikan Allah SWT.

Keempat, di bulan Ramadan ada malam yang keutamaannya lebih baik daripada 1,000 bulan (84 tahun, 4 bulan) iaitu malam kemuliaan (Lailatulqadar).

Pada malam itu penuh dengan keberkatan, kehidupan di bumi diatur, dijelaskan, dan disejahterakan hingga terbitnya fajar. Pada malam itu juga Allah SWT telah menurunkan permulaan ayat al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk kehidupan manusia (rujuk al-Qadar: 1-5 dan ad-Dukhan: 3-4).

Tidak mustahil, perlawanan piala dunia yang berlangsung pada bulan Ramadan tahun ini sangat berpotensi untuk mengganggu kekhusyukan umat Islam beribadat. Terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai fanatik kepada sukan tersebut, apa lagi datangnya bukan selalu.

Sungguhpun, tidak ada ulama atau dalil yang mengharamkan menonton bola sepak selagi mana ia tidak melalaikan serta ada unsur yang melanggar syariat agama. Namun, hanya mereka yang mengetahui fadilat Ramadan itu akan menjaga sama antara ibadat di bulan Ramadan dengan minat kepada sukan bola sepak.

Sebaliknya, realiti larangan syariat agama itu banyak dilakukan orang ketika menonton piala dunia, misalnya ada yang meninggal dunia, meninggalkan kewajipan solat Subuh, kesihatan badan terganggu, mencuaikan kerja dan tugas harian, fanatik buta dan munculnya pujian berlebihan terhadap pemain, bahkan terjadi perjudian, pertaruhan, perkelahian, kecederaan, dan hilangnya nyawa gara-gara bola.

Oleh itu, penting bagi umat Islam menangani Piala Dunia secara matang dan bijaksana. Jangan sampai Piala Dunia pada tahun ini melupakan kita untuk merebut piala akhirat di bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Allah SWT telah mengingatkan, bahawa pertandingan untuk akhirat itulah yang lebih utama dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya akhirat itu lebih utama bagi kamu daripada dunia. (ad-Dhuha: 4)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu. (al-Qasas: 77) serta firman-Nya dalam surah al-“Ala ayat ke-17 yang bermaksud: Pada hal kehidupan akhikrat itu lebih baik dan lebih kekal.

Di akhir Ramadan, para pemenang (piala akhirat) itu layak mengumandangkan kemenangannya dengan bertakbir dan bertahmid: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahi Hamd.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: