Cara Nabi s.a.w Hargai Belia


SEBAGAI pemimpin sejati, Rasulullah SAW menyedari potensi besar yang dimiliki setiap sahabat. Baginda selalu membuka peluang bagi setiap orang untuk memberi sumbangan kepada umat. Tidak terkecuali para sahabat yang berasal daripada kalangan kanak-kanak dan remaja.

Suatu hari Rasulullah SAW mendatangi Zaid bin Thabit yang pada waktu itu berumur 11 tahun. Umat Islam yang baharu sahaja berhijrah ke Madinah yang berjiran dengan bangsa Yahudi memerlukan seseorang yang memahami bahasa Yahudi dengan baik.

Meskipun masih muda, baginda SAW melihat Zaid memiliki potensi yang sangat besar dalam bidang bahasa. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Zaid, pelajarilah bahasa Yahudi. Sesungguhnya, demi Allah, aku tidak berasa aman dengan tipu daya mereka.”

Sahabat kecil ini segera melaksanakan perintah baginda. Dengan tekun, beliau mempelajari bahasa Yahudi dalam bentuk lisan dan tulisan. Hasilnya sungguh luar biasa. Zaid mampu menguasai bahasa ini dalam masa yang sangat singkat.

Zaid bin Thabit berkata: “Aku lalu mempelajari bahasa Yahudi. Tidak berlalu setengah bulan, aku telah menguasai bahasa ini. Aku menulis bagi Rasulullah SAW apabila baginda ingin menulis surat kepada mereka.”

Kisah ini diceritakan oleh Imam Al-Zahabi dalam kitabnya yang bertajuk, Siar A’lam Al-Nubala.

Bakat muda

Budak kecil memang mentah. Ilmunya belum banyak dan pengalamannya belum matang. Begitu pun, sebenarnya mereka memiliki potensi yang sangat besar. Seringkali mereka memiliki kemampuan yang tidak dimiliki orang dewasa.

Umat Islam pada generasi terdahulu sangat menghargai bakat-bakat muda. Masyarakat Islam kala itu tidak menilai seseorang kerana usia dan keturunannya, akan tetapi kerana potensi dan kemahiran. Siapa yang memiliki kemahiran dalam bidang tertentu, suaranya akan didengar, meskipun usianya masih sangat muda.

Justeru, kaum remaja pada zaman Nabi SAW dan sahabat sangat aktif menyumbang untuk pembangunan bangsa dan negara. Pintu peluang selalu terbuka di hadapan mereka. Kisah Zaid bin Thabit di atas hanya salah satu daripada pelbagai kes-kes penglibatan belia dalam tugasan penting.

Selain itu, sejarah memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menunjuk ‘Attab bin Asid menjadi amir Mekah. Padahal usianya pada waktu itu baru 17 tahun. Baginda juga pernah melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpin pasukan ke Syam, padahal usianya hanya 20 tahun.

Apabila Khalifah Abu Bakar Siddiq berniat membukukan al-Quran, beliau segera memilih Zaid bin Thabit menjadi pengetua projek tersebut. Padahal, ramai kalangan orang yang lebih tua daripadanya seperti Usman bin Affan dan Abdurahman bin Auf.

Khalifah Umar bin Al-Khattab selalu menyertakan Ibnu ‘Abbas dalam mesyuarat tertinggi negara. Umar bahkan sering menerima saranan dan nasihat Ibnu Abbas dalam banyak perkara. Padahal usia Ibnu Abbas pada masa itu masih dalam lingkungan 20-an sahaja.

Semua ini menunjukkan para pemimpin Islam sangat menghargai kalangan belia dan menghormati pemikiran mereka.

Suara muda

Kaum belia ialah aset umat Islam yang tidak ternilai. Potensi yang terdapat dalam diri mereka terlalu besar untuk disia-siakan. Jika tidak disalurkan kepada perkara-perkara yang positif, tidak mustahil potensi itu akan terarah kepada perkara-perkara yang negatif.

Tokoh masyarakat yang bijak perlu memberi ruang bagi kaum belia menyumbang pemikiran bagi kemajuan umat. Dengarkan dan hormati suara mereka. Sebab hikmah tidak pernah mengenal usia. Seringkali hikmah menzahirkan dirinya menerusi sumber yang tidak kita sangka-sangka.

Islam tidak pernah meremehkan suara-suara muda, apalagi membungkamnya. Siapa yang mengabaikan suara-suara ini, maka ia telah menzalimi mereka. Ia telah merugikan diri sendiri dan merugikan umat Islam seluruhnya. Wallahu a’lam.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: