Selalu kembali ‘jumpa’ Allah


Oleh Hasan Adli
Entah di mana silapnya, akhir-akhir ini banyak kes bunuh diri dilaporkan di dada akhbar. Ada yang terjun dari tempat tinggi, terjun ke sungai, menggantung diri dan meminum racun.

Selain itu, kes membunuh diri sekeluarga akibat desakan hidup dan pelbagai masalah turut berlaku. Mengakhiri kehidupan dirasakan jalan penyelesaian terbaik untuk lari daripada masalah hidup.
Justeru ada yang bertanya, jika Allah SWT benar-benar menjaga kita, mengapa Dia biarkan saja kita dirundung pelbagai masalah.

Persoalan ini juga menjadi bahan gurauan bagi orang murtad yang mendakwa Allah sebenarnya tiada berdasarkan logik akal ini.
Mereka menggunakan hujah logik yang nampak seperti remeh tetapi ada kalanya sukar dijawab. Bagaimanapun, saya terjumpa sebuah kisah yang menjawab persoalan ini, mengapa Allah ‘membiarkan’ sebahagian hamba-Nya terkapai-kapai ketika dirundung masalah.
Seorang pemuda pergi menggunting rambutnya di sebuah kedai. Ketika tukang gunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak henti-henti bercerita.

Macam-macam yang diceloteh menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba tukang gunting itu bertanya satu soalan berat.

“Tuhan wujud ke?” tanya tukang gunting. Lelaki itu terkejut dengan soalan sedemikian. Belum pun sempat nak menjawab, tukang gunting menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud, kenapa dunia huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh saja di mana-mana,” katanya.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh dan bunuh diri pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan itu ada,” jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat tukang gunting itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa Dia tak selesaikan semua masalah itu? Dan buat semuanya jadi aman saja lebih senang!” kata tukang gunting berusia 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi gunting rambut selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak remaja lelaki di sana dan pak cik tua di seberang jalan yang sedang duduk?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” tanyanya.

“Remaja lelaki itu rambutnya panjang, nampak tak senonoh, kan? Dan pak cik tua itu pula misainya tak terurus. Setuju tak?” lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju,” kata tukang gunting.

“Mereka jadi macam itu sebab tiada tukang gunting rambutkah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan istimewa kepada tukang gunting rambut.

“Eh, tidak. Saya ada saja di sini dan kedai saya sentiasa terbuka untuk siapa saja,” katanya menyangkal.

“Jadi, kenapa remaja lelaki itu berambut panjang dan pak cik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki itu bertanya kembali.

“Itu kerana mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya, tentu saya akan potong rambut remaja lelaki itu bagi elok dan pak cik tua itu pula saya akan memangkas misainya bagi kemas,” katanya.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik ketika memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah dalam kalangan manusia itu bukan kerana Tuhan tidak ada.

“Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu berjumpa dan kembali kepada Tuhan,” kata lelaki itu.

Tukang gunting rambut mendengar dengan teliti sambil me-ngerutkan dahi, mungkin berfikir.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Allah, malah Allah memberi pedoman melalui Rasul-Nya dan juga melalui kitab-Nya iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.

“Mereka menjauhkan diri daripada Allah. Jika manusia mendekatkan diri dengan Allah, tentu keadaan mereka lebih baik dan sejahtera. Lebih terurus dan lebih kelihatan terjaga.

Persoalannya, sejauh mana kita kembali dan ‘berjumpa’ Allah ketika sesuatu perkara menimpa diri? Persoalan yang lebih utama ialah, sejauh mana kita dapat bersabar dan bersangka baik kepada-Nya selama mana kita menunggu bantuan daripada-Nya untuk tiba.

Kerana itulah yang membezakan iman dan takwa kita dalam mempercayai sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Selama mana kita berdoa dengan penuh rasa keimanan, Allah pasti sentiasa berada bersama kita dan memberi jalan keluar tepat pada masa sesuai.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: