Kelana bertemu cinta Islam


HARI ini genap lapan hari Hakimi bergelar Muslim. Banyak lagi perlu dia pelajari untuk memahami Islam dengan makna selayaknya. Wajah Hakimi yang berseri, sesekali mengukir senyum.

Sebagaimana yang dijanjikan, anak muda kelahiran bumi Kenyalang ini telah berada di Laman Budaya, Kuala Lumpur selepas waktu Zohor lagi.

Alhamdulillah, penulis tidak sukar mencarinya antara pengunjung taman tasik yang luas ini. Itu adalah pertemuan pertama kami.

Berbaju Melayu putih dan berkopiah, Hakimi kelihatan jauh berbeza dengan gambarnya di laman sosial, Facebook yang dikirimnya tempoh hari.

Mengimbas kembali kisahnya, Hakimi memanjangkan rasa syukur kerana dipilih ALLAH SWT dalam usia semuda ini.

Kisah pertama

Hakimi berkata, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk memilih agama Islam meskipun mempunyai ramai rakan adalah Muslim.

“Saya tinggal dan bersekolah di kawasan majoritinya masyarakat Muslim. Namun, terdapat beberapa jiran yang lain termasuklah keluarga saya beragama Kristian.

“Sejak kecil saya diserahkan kepada rakan ibu serta ibu saudara untuk dijaga berikutan perceraian ibu dan ayah. Ibu terpaksa mencari nafkah untuk menyara kehidupan kami.

“Saya, abang dan kakak kemudian terpisah. Khabarnya, hanya abang yang tinggal bersama ibu sementara saya dan kakak diasuh saudara terdekat.

“Cuma, ada sesekali kakak datang menziarahi saya,” tambahnya lagi, setelah berumur 16 tahun, barulah beliau kembali tinggal dengan ibu, kakak dan abangnya.

Ketika inilah dia mula mengenal Islam lebih dekat lagi. Kakaknya memilih jalan Islam lebih awal. Justeru, beliau turut terlibat membantu persiapan hari raya di rumah kakaknya.

“Saya lihat kegembiraan yang terpancar di wajah kakak benar-benar menarik hati. Sedikit sebanyak saya mula bertanyakan mengenai Islam kepadanya.

Agama ini mula menarik minat saya.” Tanpa diduga, malam itu Hakimi bermimpi. Dalam mimpinya, dia kelihatan memakai baju Melayu dikelilingi anak-anak kecil yang bergilir-gilir bersalaman dengannya. Kemudian azan Subuh mengejutkan lenanya.

Bermula saat itu, Hakimi sering menantikan alunan azan Subuh. Saban hari dia akan bangun semasa azan berkumandang atau sebelum masuk waktu Subuh, hanya semata-mata untuk menikmati alunan daripada muazin yang menyeru umat Islam mendirikan solat.

Nekad berhijrah

Beliau mula membaca buku-buku berkaitan agama. Tetapi, hatinya masih belum terbuka untuk menerima Islam sebagai anutan.

“Saya hanya memeluk Islam minggu lalu. Itu pun setelah melalui beberapa peristiwa yang membuatkan saya nekad mengubah haluan hidup saya.”

Mendengar hal ini, penulis tertanyatanya. Bila Hakimi berhijrah ke Selangor? Memikirkan ada peritiwa yang cuba dilupakan oleh Hakimi, penulis mendiamkan diri.

Benar telahan penulis, ada kisah yang terlipat rapi dalam peti jiwanya. Lahir dalam keluarga yang kurang berkemampuan memaksa Hakimi meninggalkan sekolah lebih awal.

Pada usia 16 tahun, dia sudah mula bekerja secara sambilan untuk menampung biaya keluarga yang tidak mampu lagi diuruskan ibu seorang diri.

Justeru, apabila menjengah usia 18 tahun, Hakimi memusatkan hasrat untuk berkelana ke Semenanjung dengan harapan akan bertemu kehidupan yang lebih baik. Dia datang ke sini dengan sedikit bantuan rakan. elbagai kerja dilakukan untuk menyambung semangat merubah hidup.

“Dari Kuala Lumpur ke Pahang dan negeri-negeri lain saya tidak pernah berhenti. Alhamdulillah, kini saya mendapat kerja sebagai pereka bentuk tudung di Raudhah Shawl Store, Saujana Puchong, Selangor.

“Mungkin sudah suratan-Nya. Di sini, saya banyak belajar mengenai agama Islam melalui majikan saya,” ujarnya.

Sedikit sebanyak keindahan Islam yang diperdengarkan memujuk hati pemuda ini untuk lebih dekat dengan Rabbnya yang sebenar. Walaupun belum mendalami ilmu agama dengan lebih lanjut, dia membulatkan tekad untuk memeluk Islam.

Dahulunya panas baran

Justeru, tanggal 8 Mei 2013 menjadi sejarah. Hakimi ditemani majikan dan rakannya telah melafazkan syahadah di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shah Alam. Hakimi akui, ketenangan dalam agama ini dapat dirasainya.

“Jika dahulu saya seorang yang panas baran. Alhamdulillah sikap negatif ini mula dapat dikawal sedikit demi sedikit apabila saya sering melafazkan zikrullah yang saya pelajari.

“Ibu juga tahu perihal perkara ini. Walaupun dia sedih namun dia bersedia menerima keputusan saya ini,” tambahnya lagi.

Hakimi berhasrat menziarahi ibunya yang kini menetap di Brunei bersama bapa tirinya sempena Hari Wesak.

“Ini sebagai memujuk hati ibu yang mungkin terguris apabila saya bertukar anutan tanpa restu daripadanya. Semoga ALLAH turut membuka hati seluruh keluarga saya untuk turut menjadi Muslim, insya-ALLAH.”

Di hujung pertemuan, pemuda ini menyatakan dia berhasrat untuk menunaikan umrah kerana ingin melihat sendiri bumi barakah yang dimuliakan dalam Islam itu.

“Insya-ALLAH, awal tahun hadapan saya akan ke sana. Buat masa sekarang, saya ingin menambah ilmu dengan menghadiri majlis agama. Tambahan pula, majikan saya turut mencari kelas pengajian agama untuk saya,” akhirinya.

Sungguh hebat perancangan ALLAH. Setiap perjalanan hamba yang diatur dijalin menjadi sebuah pengajaran yang indah buat manusia di sekelilingnya.

Hidayah itu milik ALLAH dan hanya kepada sesiapa yang dipilih sahaja akan menikmatinya. Namun, usaha berterusan dalam mencari cinta-Nya, nescaya akan berbuah rahmat-Nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: