Ketegasan Abdullah bin Huzafah al-Sahmi Kagumkan Raja Rom


ABDULLAH bin Huzafah al-Sahmi telah masuk Islam sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Beliau pernah berhijrah ke Habsyah bersama ahli keluarganya. Beliau lalu berhijrah ke Madinah bersama kaum Muslimin yang lain. Sejak saat itu, beliau tidak pernah tertinggal dalam setiap peperangan bersama Nabi Muhammad SAW.

Pada masa kekhalifahan Umar bin al-Khattab, Abdullah ikut serta dalam sebuah pasukan ke Syam. Tentara Rom yang mengawal negeri itu berjaya mematahkan pasukan islam dan menawan Abdullah. Bersama tawanan yang lain, beliau dibawa menghadap raja Rom.

Apabila mengetahui Abdullah seorang sahabat Nabi SAW, Raja Rom sangat berminat untuk memurtadkannya. Sebab jika beliau murtad, tentu akan menjadi pukulan hebat bagi umat Islam.

Raja Rom berkata kepadanya: “Jika engkau berpindah ke agama Kristian, aku akan memberimu setengah daripada kerajaanku.”

Apa jawapan Abdullah bin Huzafah? Beliau menjawab: “Andai engkau memberiku semua kerajaanmu, ditambah semua kerajaan yang ada di Tanah Arab sekalipun, aku tidak akan meninggalkan agama Muhammad walau hanya sekelip mata.”

Raja Rom berkata: “Kalau begitu, aku akan membunuhmu.”

Abdullah menjawab: “Itu terpulang kepadamu.”

Raja Rom memerintahkan agar Abdullah disalib di atas sebatang kayu. Ia lalu memerintahkan para pemanah untuk memanah tempat-tempat yang berdekatan dengan tubuh Abdullah agar membuatnya gentar.

Raja Rom kembali mengulangi tawarannya lagi, namun Abdullah tetap menolak.

Abdullah lalu diturunkan daripada tiang salib. Sebuah tungku berisi air diletakkan di atas sebuah api yang besar. Dua orang tawanan Muslim dihadirkan. Satu persatu lalu dilemparkan ke dalam air yang mendidih, sementara Abdullah terus ditawarkan untuk berpindah ke agama Nasrani.

Menangis

Abdullah menangis. Raja Rom menyangka hati beliau mula lemah. Ia bertanya: “Mengapa engkau menangis?”

Namun jawapan Abdullah sungguh di luar perkiraan. Beliau menjawab: “Aku menangis kerana hanya memiliki satu nyawa sahaja. Jika dilemparkan ke dalam tungku ini, aku akan segera mati. Padahal aku berharap memiliki nyawa sebanyak bilangan rambut di kepalaku, sehingga aku dapat dilemparkan berkali-kali ke dalam api untuk Allah SWT.”

Raja Rom sedar tiada apa yang dapat membuat Abdullah murtad daripada Islam. Pada masa yang sama, ia sangat kagum dengan keteguhan iman sahabat Nabi SAW itu.

Akhirnya Raja Rom berkata: “Jika engkau bersedia mencium kepalaku, aku akan melepaskanmu.”

Abdullah berkata: “Juga semua tawanan Muslim yang lain?”

“Ya,” jawab Raja Rom. Abdullah bersedia melakukan permintaan tersebut.

Apabila semua tawanan ini kembali ke Madinah, mereka menceritakan semua yang berlaku kepada Umar. Khalifah itu berkata: “Setiap Muslim sepatutnya mencium kepala Ibnu Huzafah. Dan aku akan memulakannya.” Beliau lalu bangkit dan mencium kepala Abdullah.

Diceritakan oleh Al-Zahabi dalam Siyar a’lam al-Nubala.

Jiwa besar

Demikianlah jiwa besar hasil tarbiah Rasulullah SAW. Bagi mereka, iman dan hidayah lebih mahal berbanding harta dan kuasa. Walaupun ditawarkan harta sepenuh bumi, mereka tidak akan melepaskan iman yang kuat tersemat di dalam dada.

Tawaran seperti ini pernah berlaku kepada baginda Nabi SAW sendiri. Apabila Quraisy melihat aktiviti dakwah baginda terus berkembang, mereka meminta Abu Talib untuk memujuk Nabi Muhammad menghentikan dakwahnya. Mereka turut menawarkan harta dan jabatan agar baginda tidak lagi mendakwahkan agama tauhid.

Baginda dengan tegas berkata: “Andai mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan rembulan di tangan kiriku, aku tidak akan meninggalkan dakwah ini.” (Sirah Ibnu Hisyam)

Semua ini mengajarkan kekentalan jiwa dalam berpegang kepada prinsip-prinsip kebenaran. Rasuah dan ancaman tidak membuatnya merubah kebenaran menjadi kebatilan dan kebatilan menjadi kebenaran.

Jiwa seorang Muslim terlalu mahal untuk dibeli dengan habuan murah benda-benda duniawi yang fana. Jiwa mereka hanya layak untuk kenikmatan abadi yang kekal di dalam syurga. Wallahu a’lam

Comments
One Response to “Ketegasan Abdullah bin Huzafah al-Sahmi Kagumkan Raja Rom”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,123 other subscribers
%d bloggers like this: