Nusaibah binti Kaab al-Khazrajiyah Mujahidah kental
NAMA beliau ialah Nusaibah binti Kaab al-Khazrajiyah. Beliau seorang mujahidah yang berjuang di medan perang. Bukan sekadar penyedia logistik atau merawat luka, malah ikut bertempur apabila keadaan memerlukan.
Apabila pasukan Islam mengalami kekalahan dalam perang Uhud, ramai di antara mereka yang lari dari medan pertempuran.
Pada masa itu, Rasulullah SAW menghadapi situasi yang sangat berbahaya. Beliau diserang daripada pelbagai penjuru oleh pasukan berkuda kaum musyrikin.
Bersama baginda pada masa itu tidak lebih daripada 10 orang sahaja. Mereka termasuk Ummu Umarah, suami dan dua anaknya.
Mereka berkumpul di hadapan Nabi Muhammad SAW untuk melindungi baginda Rasulullah.
Ummu Umarah bercerita: Pasukan berkuda sangat mengganggu kami. Andai mereka berjalan kaki seperti kami, kami pasti dapat mengalahkan mereka insya-Allah.”
Beliau melanjutkan: Seorang penunggang kuda menyerang kami dengan pedangnya. Aku berlindung dengan perisaiku. Aku lalu memukul kaki kudanya dengan pedang sehingga ia jatuh tersungkur ke tanah.
Rasulullah SAW berteriak: Wahai anak Ummu Umarah, ibumu, ibumu!”
Anak itu datang dengan segera, lalu membantu ibunya membunuh lelakitersebut.
Kisah itu disebutkan oleh al-Zahabi dalam kitab Siyar alam al-Nubala.
Sahabiyyat
Kaum perempuan di zaman Nabi Muhammad SAW sungguh menakjubkan. Kisah ini hanya memperlihatkan secebis daripada penglibatan kaum perempuan dalam mempertahankan Islam dan Rasulullah SAW.
Para sahabiyyat (sahabat Rasulullah SAW daripada kalangan perempuan) sangat aktif menyumbang kepada Islam mengikut kemampuan yang mereka miliki. Mereka berusaha menempah kedudukan tertinggi di akhirat menerusi tenaga, harta, pemikiran, bahkan nyawa jika diperlukan.
Para sahabiyyat sedar pergerakan mereka tidak sebebas kaum lelaki. Mereka memiliki kewajiban dan tugasan rumah yang mesti dikerjakan.
Begitu pun, cabaran itu tidak menghalangi mereka mempertingkatkan ilmu dan bekerja untuk Islam.
Mereka tidak ingin ketinggalan dalam kafilah iman yang diterajui Rasulullah SAW dan kaum lelaki.
Justeru, mereka secara proaktif meminta Rasulullah mengkhaskan hari tertentu untuk mereka mendalami Islam.
Abu Said al-Khudri bercerita: “Kaum perempuan mendatangi Rasulullah SAW. Mereka berkata, kaum lelaki telah mengalahkan kami. Maka tentukanlah satu hari yang khas untuk kami.”
Rasulullah SAW lalu menjanjikan satu hari tertentu untuk berjumpa dan menasihati kaum wanita. (riwayat al-Bukhari)
Apabila ada perkara yang mereka tidak fahami, para sahabiyyat tidak segan bertanya. Terutama apabila berkaitan dengan ilmu dan hukum agama.
Kelebihan wanita
Sudah tentunya kata-kata sopan selalu digunakan apabila berkaitan dengan permasalahan peribadi.
Siti Aisyah pernah berkata: Wanita terbaik adalah perempuan Ansar. Mereka tidak malu-malu untuk bertanya dalam perkara agama.”
Bagaimanapun, kelebihan perempuan tetap terletak pada kehalusan perasaannya. Mereka memiliki kelembutan dan kasih sayang yang lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Tidak ada yang dapat menafikan hakikat itu.
Justeru, Islam mengarahkan kelebihan itu agar digunakan dengan sebaik mungkin. Dengan kelebihan tersebut, kaum wanita dapat melahirkan generasi penerus Islam yang kuat mental dan fizikal.
Nabi Muhammad SAW bersabda: Wanita terbaik yang pernah menunggang unta adalah wanita Quraisy. Mereka sangat sayang kepada kanak-kanak kecil dan sangat pandai menjaga harta pemilikan suaminya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bak kata pepatah di sebalik tokoh besar, selalu ada perempuan. Di sebalik kebesaran Islam, terdapat ramai kaum wanita berjiwa kental seperti Ummu Umarah.