FORUM bertajuk Kembali Kepada Fitrah anjuran Masjid Al-Irshad, Serdang, Kedah baru-baru ini bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat Islam setempat, malah memberi kesedaran betapa pentingnya ajaran Islam itu dihayati kerana Islam agama yang dekat dengan naluri manusia.

Forum berkenaan mengetengahkan dua saudara baru yang juga pendakwah iaitu Shah Shahmugam  dan Robby @ Zaid Tandang.

Menceritakan pengalaman awalnya memeluk Islam, Shah Shanmugam, anak kepada sami Hindu, berkata beliau tertarik dengan Islam kerana dalam Islam ada peraturan yang dapat membentuk manusia menjadi insan sempurna dan bertakwa kepada ALLAH SWT.

“Islam menyuruh umatnya berbuat baik dan ada garis panduan diberikan  yang serasi dengan naluri fitrah manusia. Solat untuk mencapai kejayaan, puasa untuk meningkatkan rasa takwa kepada ALLAH dan ibadat yang lain juga mempunyai mesej tertentu bagi memartabatkan manusia sebagai insan yang kamil (sempurna).

“Ajaran Islam adalah paling sesuai dengan kehendak fitrah manusia. Semua agama mengajak penganutnya untuk berbuat baik, tetapi tidak ada panduan dan peraturan yang jelas, kecuali Islam,” kata anak sulung yang pernah menganut pelbagai agama sebelum memeluk Islam.

Beliau pernah menganut agama Buddha, Bahai dan Kristian sebelum kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.

Menurutnya, semua agama menyuruh umatnya berbuat baik, agama Hindu menyuruh umatnya berbuat baik, agama Buddha menyuruh umatnya berbuat baik, agama Bahai juga menyuruh umatnya berbuat baik, agama Kristian juga menyuruh umatnya berbuat baik.

Bagaimanapun agama-agama tersebut  tidak ada garis peraturan yang sempurna sebagaimana terdapat dalam Islam.

Semasa beragama Hindu, beliau sering mencari apakah erti sebuah kehidupan yang sebenarnya.

Dek kerana tidak yakin dengan patung dan tokong yang disembah, beliau kemudiannya menganut agama Buddha. Dalam Buddha juga beliau tidak bertemu jawapannya dan kemudiannya beliau menganut agama Bahai.

Setelah ajaran Bahai juga tidak dapat memberi  jawapannya, beliau kemudian menganut agama Kristian yang bersifat agak liberal. Namun  agama Kristian juga menghampakannya dan akhirnya beliau memeluk Islam.

Ahli panel kedua, Robby yang merupakan bekas Mubaligh Kristian, mengajak umat Islam supaya kembali kepada fitrah asal manusia. Kembali kepada Islam yang sebenarnya. Hanya Islam yang dapat menyelamatkan manusia daripada azab ALLAH.

Menyentuh pertikaian kalimah ALLAH dalam kitab Bible, beliau sebagai bekas mubaligh Kristian menegaskan penggunaan kalimah ALLAH telah diluluskan penggunaannya sejak tahun 1956 lagi.

“Mengapa sekarang perkara tersebut baru dipertikaikan. Di mana masyarakat Islam waktu itu?” tanya beliau.

Forum tersebut dipengerusikan oleh  Mohd Khairi Salleh.