Ubay Ka’ab antara 25 sahabat Nabi hafal al-Quran


Beliau berasal dalam golongan Ansar daripada suku Khazraj. Ketakwaan beliau yang tinggi dipamerkan dengan linangan air mata setiap kali mengingati Allah SWT dan hari akhirat. Ayat al-Quran yang didengar atau dibaca menggetarkan hati dan seluruh badannya.

Demikian tingginya ketakwaan seorang sahabat Rasulullah SAW, Ubay Ka’ab yang turut serta dalam Perjanjian Aqabah, Perang Badar dan peperangan lain yang penting dalam sejarah Islam.
Bukan itu saja, beliau antara 25 sahabat yang menghafal dan memahami al-Quran selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Beliau mencapai kedudukan tinggi dan darjat mulia dalam kalangan Muslimin angkatan pertama, hingga Saidina Umar sendiri pernah menyatakan mengenai dirinya: “Ubay adalah pemimpin kaum Muslimin.”

Pernah satu hari Rasulullah SAW bertanyakan kepadanya: “Hai Abu Mundhir (Ubay), ayat manakah dari Kitab Allah yang teragung?” Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”

Nabi SAW mengulangi pertanyaannya, “Abu Mundhir, ayat manakah dari Kitab Allah yang teragung?”

Beliau menjawab: “Allah tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Pengatur.” ( Al-Baqarah ayat 255).
Rasulullah SAW pun menepuk dadanya dan dengan rasa bangga yang tergambar pada wajahnya, Baginda SAW bersabda: “Hai Abu Mundhir, selamat bagimu atas ilmu yang kau capai.”

Penulis wahyu dan surat

Ubay bukan saja seorang hafiz tetapi juga memahami kandungan kitab suci itu. Ubay seorang daripada penulis wahyu dan penulis surat.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Hai Ubay Ka’ab, aku dititahkan untuk menyampaikan al-Quran padamu.” Ubay maklum bahawa Rasulullah SAW hanya menerima perintah itu daripada wahyu.

Dengan keadaan cemas beliau menanyakan perkara itu kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, ibu bapaku menjadi tebusan tuan! Apakah kepada tuan disebut namaku?”

Rasulullah SAW menjawab: “Benar! Namamu dan keturunanmu di tingkat tertinggi.”

Seorang Muslim yang mencapai kedudukan seperti ini di hati Nabi Muhammad SAW pastilah beliau seorang Muslim yang mulia. Beliau sentiasa menjadi pengawas kepada kaumnya. Sentiasa mengingatkan kaumnya supaya memperteguhkan iman, menerapkan sifat zuhud dan meningkatkan akhlak walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Antara ucapannya mengagumkan daripadanya adalah: “Selagi kita bersama Rasulullah SAW tujuan kita satu. Tetapi selepas pemergian (kewafatan) Rasulullah tujuan kita bermacam-macam, ada yang ke kiri dan ada yang ke kanan.”

Bercakap mengenai dunia, Ubay pernah menggambarkannya seperti: “Sesungguhnya makanan manusia itu sendiri dapat diambil sebagai perumpamaan bagi dunia. Sama ada dikatakan enak atau sebaliknya, tetapi apa yang penting adalah kesudahannya.”

Apabila Ubay berucap di hadapan khalayak ramai, orang ramai akan terpukau dan tertarik kerana apa yang diucapkan hanyalah mengenai agama Allah tanpa berselindung dan tidak bimbang dengan sebarang ancaman.

Di saat wilayah Islam mula berkembang dan luas, sebahagian kaum Muslimin mula menyeleweng dengan membodek pembesar dan Ubay tampil dengan kata-kata: “Celaka mereka, demi Tuhan! Mereka celaka dan mencelakakan! Aku tidak menyesal melihat nasib mereka, cuma aku sayangkan ialah kaum Muslimin yang celaka disebabkan mereka.”

Perkara yang paling ditakuti Ubay adalah apabila datang generasi umat Islam yang saling berbantah antara satu sama lain. Beliau sering bergantung dan berdoa kepada Allah SWT. Berkat kurnia dan rahmat-Nya, dia mengadap Allah SWT dalam keadaan beriman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: