Wanita penghuni neraka


SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

SEBUAH hadis daripada Abdullah bin Umar RA katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu danperbanyakanlah istighfar iaitu memohon ampun kepada ALLAH SWT. Ini kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menghuni neraka.”

Lalu seorang wanita di antara mereka bangkit bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah SAW, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?”

Baginda SAW bersabda: “Ini kerana kamu banyak mengingkari perintah suami. Maka aku tidak pernah melihat mereka yang kekurangan akal dan agama melainkan daripada golongan kamu.

“Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah SAW! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

“Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua wanita adalah sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Adapun yang dimaksudkan dengan kekurangan agama ialah wanita yang tidak mendirikan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan disebabkan kedatangan haid.”

Daripada pandangan mata kasar melihat golongan wanita itu lemah-lembutnya, namun apabila menyingkapkan maksud hadis berkenaan jelas betapa meremang bulu roma dan takutnya kepada seksaan ALLAH.

Wanita senang masuk syurga, mudah juga melangkah ke neraka!. Subhanallah.

Seseorang hawa itu jika patuh kepada setiap kata-kata suaminya, tidak meninggalkan suruhan ALLAH, tidak melakukan kemaksiatan dan pandai menjaga maruah keluarga  memudahkannya menjejak syurga idaman semua. Kerana itulah, dikatakan hikmahnya menjadi seorang perempuan.

WANITA adalah salah satu makhluk ciptaan ALLAH SWT yang indah dan berharga. Wanita jugalah sebenarnya yang akan menjadi pasangan kepada golongan lelaki yang bernama suami. Sebagaimana ALLAH menciptakan Hawa sebagai pasangan untuk Nabi Adam AS.

Malah beruntunglah bagi seorang lelaki atau suami, jika dia mempunyai isteri yang solehah sepertimana didambakan, pastinya akan menghiasi syurga dalam rumah tangga. Namun begitu terdapat hadis Nabi yang menyatakan bahawa ramai dalam kalangan wanita yang menghuni neraka ALLAH disebabkan perkara-perkara yang dilakukannya.

Isteri tidak hormat suami?

Dalam peristiwa solat gerhana matahari, Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya melaksanakan solat tersebut dalam tempoh waktu yang panjang.

Rasulullah SAW diperlihatkan oleh ALLAH keadaan syurga dan neraka. Ketika Baginda SAW melihat neraka, maka Baginda SAW bersabda kepada sahabatnya: “Aku diperlihatkan keadaan neraka yang mana aku tidak pernah melihat pemandangan seperti ini, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kaum wanita. Lalu para sahabat bertanya: “Mengapa berlakunya perkara sedemikian wahai Rasulullah SAW?”

Baginda SAW bersabda: “Ia disebabkan oleh kekufuran yang telah dilakukan oleh mereka.”

Kemudian sahabat bertanya lagi: “Adakah mereka kufur kepada ALLAH?”

Baginda SAW menjawab: “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) pasti dia akan berkata: ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan yang ada pada dirimu.’ ” (Riwayat Bukhari)

Eksekutif Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Penerbitan al-Quran, Kumpulan Media Karangkraf, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, merujuk kepada hadis tersebut, Nabi SAW menyatakan kepada kita bahawa ramai penghuni neraka terdiri dalam kalangan wanita.

“Sebab utamanya ialah, kebanyakan wanita atau isteri yang mengingkari perintah suami. Ini termasuklah derhaka kepada suami, tidak mengikut dan menurut perintah suami, serta meninggikan suara ketika berbicara dengan suami. Perkara-perkara sedemikian sebenarnya yang menyumbang dan menempah tiket untuk ke neraka. Mungkin perkara ini telah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita tanpa kita sedari.

“Sebagai contoh, apabila seorang wanita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sesuatu organisasi, pendapatan jauh lebih lumayan daripada suami sedangkan suami hanya pekerja am biasa serta mempunyai gaji yang cukup-cukup makan sahaja, maka segalanya akan lebih terbeban pada wanita atau isteri. Bil-bil, sewa rumah, kereta, perbelanjaan harian serta anak-anak semuanya banyak ditanggung isteri berbanding suami,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, di sinilah penghormatan kepada suami akan berkurangan, jika timbul perselisihan faham, isteri akan mengungkit apa yang telah dilakukannya dengan meninggikan suara terhadap suami. Paling teruk pula apabila menceritakan perihal dan keaiban suami kepada mereka yang tidak sepatutnya mengetahui perihal rumah tangga kita.

Mudahnya wanita ke syurga

Sebenarnya, bagi wanita yang menjadi isteri hanya empat syarat untuk mereka ke syurga. Sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatan serta taat kepada suami, maka dia akan diberi pilihan oleh ALLAH untuk masuk ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad)

“Wanita atau isteri hanya boleh mengingkari perintah suami apabila suruhan tersebut membawa kepada keburukan, kejahatan, bahaya atau maksiat kepada ALLAH. Suruhan ini sama sekali tidak wajib dipatuhi oleh isteri dan tidak berdosa jika tidak melakukannya. Sebagai contoh suami yang pemalas, menyuruh isterinya mencuri atau merompak dan lebih malang menjual diri bagi mendapatkan kewangan untuk hidup.

“Apabila seorang suami melarang isterinya menunaikan solat dan membuka aurat sedangkan suruhan solat serta menutup aurat ini adalah perintah wajib daripada ALLAH. Suami sebegini dilihat dayus dan tidak ada tempat untuknya di syurga ALLAH jika tidak segera bertaubat,” kata Ustaz Amiro lagi.

Menurutnya, sekiranya perintah suami itu membawa ketaatan kepada ALLAH pastinya wajib untuk isteri melaksanakannya walaupun dalam keadaan
terpaksa.

Apabila kita menyingkapkan ayat al-Quran terdapat ayat yang menceritakan mengenai kisah wanita yang kufur kepada suami mereka sedangkan suaminya beriman kepada ALLAH.

Juga terdapat wanita yang beriman kepada ALLAH di saat suaminya pula yang kufur kepada ALLAH dan Dia berfirman: “ALLAH mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) ALLAH, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.

Jelaslah di sini bahawa iman langsung tidak dapat diwarisi. Walaupun suami seorang yang beriman, bahkan nabi sekalipun, belum tentu isterinya beriman kepada ALLAH. Sementelah lagi, jika suami itu tidak beriman kepada ALLAH.

Sirah Nabi ada menyatakan, sejahat dan sezalim firaun sekalipun, belum tentu isterinya mengikut jejak langkah suaminya. Itulah aturan ALLAH  Maha Bijaksana. Marilah kita berusaha untuk menjadi seorang suami, isteri atau anak yang soleh agar syurga ALLAH menjadi milik kita insya-ALLA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: