Hijrah dari Hindu kepada Islam


BAGAIKAN mengikuti peredaran semasa, pelbagai trend gejala sosial terkini terus dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa.

Malangnya, kebanyakan perbuatan yang ternyata bertentangan dengan etika murni itu dilihat melanda kalangan remaja. Lebih menyedihkan mereka itu adalah beragama Islam.

Itulah yang diluahkan oleh Tokoh Maal Hijrah Kepimpinan Saudara Muslim, Negeri Sembilan, 2010, Muhammad Adnan Abdullah ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Kaunselor Jemputan Akidah, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan turut meluahkan rasa terkilan terhadap fenomena itu menyifatkan kepada individu tersebut seperti kurang menghargai nikmat Islam yang dimiliki.

Adnan yang sebelum ini beragama Hindu dan melalui pelbagai cabaran sebelum menerima hidayah Ilahi berkata, sekiranya umat Islam menikmati keindahan iman Islam, pastinya mereka tidak akan melakukan segala perbuatan negatif itu.

“Bagi kami yang memperoleh agama Islam, bukan secara warisan atau bukan lahir-lahir terus diazan atau diiqamatkan. Namun, apabila pintu hidayah terbuka, ia dirasai seperti seseorang yang sekian lama dalam kegelapan disuluh dengan cahaya terang.

“Realitinya, kembara iman pada zaman moden ini menyaksikan pertarungan yang hebat antara yang haq (benar) atau batil (kekufuran). Ia merupakan cabaran yang besar kepada setiap individu untuk memilih jalan yang diingini.

“Malangnya, apa yang kita perhatikan tidak kurang ramainya umat Islam yang memilih ke arah kebatilan. Ajaran Islam yang sempurna dan indah merangkumi semua aspek tidak diikuti malah tidak dipedulikan,” katanya yang juga merupakan Presiden dan Pengasas Pengasas Yayasan Kasih Sayang, Negeri Sembilan.

Tambahnya, insan yang cemerlang adalah mereka yang menjadikan ajaran Islam sebagai pegangan dan panduan dalam kehidupan hariannya.

“Umat Islam yang cemerlang adalah seperti ‘anak panah yang terlepas daripada busarnya’. Mereka yang aktif dalam melakukan sesuatu tindakan yang ingin disasarkan berdasarkan syariat Islam.

“Kembalilah mencontohi Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda kerana tiada contoh ikutan terbaik melainkan mereka. Tiada ikutan atau ideologi melainkan apa yang disarankan oleh baginda Rasulullah SAW.

“Marilah kita menjadi umat yang mengutamakan amalan dan meninggalkan perbalahan dan perdebatan serta persaudaraan mereka adalah atas landasan akidah,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mantapkan diri dengan ilmu agama dalam usaha memartabatkan Islam sebagai pemangkin kepada kemajuan dan keamanan negara.

“Sempena Awal Muharam ini, marilah kita sama-sama mencontohi peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW bersama umat Islam dengan melakukan penghijrahan rohani daripada yang haq kepada yang batil.

“Masyarakat, khususnya remaja harus mendekati alim ulama dan majlis ilmu. Hiburan tidak salah, tetapi harus menepati syariat. Kesedaran dan keinsafan kehidupan akhirat amat perlu ditekankan.

“Akan tetapi semua pihak terutama ibu bapa juga harus bertindak bagi merubah anak masing-masing. Remaja harus didekatkan dengan kasih sayang. Pentarbiahan dan pendekatan berhikmah juga penting bagi remaja,” katanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,123 other subscribers
%d bloggers like this: