Lari dari Takdir kepada Takdir yang lain
Ketika kekhalifahan Umar al-Khattab RA, beliau telah bermusafir bersama beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 Hijrah, iaitu perjalanan Umar adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.
Abu Ubaidah RA yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab RA, “Wahai Amiral Mukminin, mengapa kamu lari daripada takdir Tuhan?”
Umar RA lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada takdir Allah kepada takdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan takdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”
Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata, maksudnya;
“Sesungguhnya dalam masalah ini aku memiliki ilmunya, aku telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda; ((Jika engkau mendengar wabak taun di sebuah negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak taun terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau meninggalkan negerimu kerana lari daripada taun).” (Riwayat Muslim)
Menurut sejarah, taun ‘Amwas yang berlaku pada zaman kekhalifahan Umar telah mengorbankan sekitar 25’000 – 30,000 kaum Muslimin. Di antara mereka yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin Al-Jarrah RA, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang mendapat jaminan syurga Allah Taala.