Erti Ramadan pertama buat saudara baru


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM

Doa menjadi penguat semangat kepada Muhammad Adam Elvis (depan) Muhammad Khairul Izwan (belakang kiri) dan Muhammad Alfie Ng untuk belajar menempuhi cabaran Ramadan dengan sabar.

KEDATANGAN Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi pastinya mengimbau pelbagai kisah dalam kotak fikiran setiap umat Islam ketika pertama kali ingin menyempurnakannya.

Ada yang teruja dan tidak sabar menanti. Tidak kurang juga yang mereka-reka pelbagai alasan untuk cuba berbuka kerana tidak sabar menahan lapar sementara menanti matahari terbenam.

Hakikatnya, itulah aneka ragam ketika pertama kali ingin menunaikan tuntutan dalam rukun Islam ke tiga itu iaitu berpuasa. Namun segalanya mengajar kita agar lebih bersedia dan matang untuk memperbaiki amalan tersebut dengan lebih baik pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan, perkara sama turut dilalui oleh golongan mualaf yang baru mengenal ajaran Islam dan pertama kali ingin menunaikan perintah Allah SWT tersebut.

Diibarat anak kecil yang mula belajar, setelah 11 bulan tidak terikat untuk menahan lapar dan dahaga, kedatangan Ramadan pastinya dianggap sangat mencabar bagi golongan saudara baru atau mualaf ini.

Namun, perintah Allah SWT ke atas hambanya tidak terkecuali dan tetap wajib dilaksanakan setelah bergelar Muslim. Dan pastinya, menanti debaran Ramadan pertama membawa erti yang penuh makna dan sejarah baru dalam hidup mereka.

Bagi seorang saudara baru, Muhammad Alfie Ng, 35, merasakan dirinya begitu hampir dengan amalan puasa dan Ramadan pertama yang bakal menjelang ini diharap dapat mempertingkatkan lagi keimanannya kepada Allah SWT.

Beliau yang sebelum ini pernah mencuba untuk berpuasa walaupun belum bergelar Muslim berkata, teruja ingin merasakan kemanisan sebenar ibadah berpuasa selepas mengucapkan kalimah syahadah.

Siapa sangka, cubaan berpuasa penuh selama 30 hari pada bulan Ramadan tahun lalu itu membuka pintu hatinya untuk mendekati agama Islam, sekali gus mengambil keputusan memeluk agama suci Islam.

“Saya pun tidak percaya mampu menghabiskan puasa selama 30 hari pada tahun lalu, sedangkan pada masa itu saya belum pun memeluk Islam. Pada mulanya ia hanya ajakan seorang kawan yang memberitahu kepada saya rahsia mencari ketenangan.

“Saya juga tahu tidak dapat apa-apa pahala dengan melakukan puasa seperti itu. Namun, seperti sudah ditentukan takdir, saya merasa kepuasannya dan tenang dapat berpuasa. Air yang minum ketika berbuka terasa sangat nikmat walaupun hanya air masak.

“Dengan yakin, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam yang selama ini saya membuat perbandingan dengan agama lama saya dan juga agama-agama lain,” kata Alfie ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Biarkan mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun anak kepada bekas salah seorang tokoh tertinggi agama bukan Islam itu bernekad memeluk Islam walaupun kuat mengamalkan ajaran agama lama sebelum ini.

Beliau berkata, malah perbandingan peribadi yang dilakukannya sendiri juga mendapati terdapat beberapa kekeliruan agama lama dalam beberapa perkara seperti antaranya turut menggalakkan penganutnya untuk berpuasa.

“Dalam agama lama saya, berpuasa tidak wajib. Berpuasa yang diajar juga tiada waktu khusus seperti yang diajarkan oleh agama Islam. Bagi mereka, puasa hanya dilakukan kerana bersebab atau sebagai tanda pengorbanan.

“Puasa itu juga berlainan dengan amalan Islam. Mereka dibenarkan untuk minum dan makan makanan ringan sekadar mengalas perut tanpa kenyang.

“Manakala jumlah hari berpuasa pula adalah mengikut tahap keimanan seseorang itu. Lebih tinggi tahap pangkat dia di dalam agama, maka lebih lama tempoh dia harus berpuasa. Ayah saya sendiri sering berpuasa hampir dua minggu,” jelasnya yang memeluk Islam pada pertengahan tahun lalu.

Muhammad Alfie yang teruja menantikan kehadiran Ramadan berharap dapat melakukan ibadah puasa pertama dengan sebaik mungkin dan cuba meningkatkan ilmu agama agar lebih baik.

Merasai debaran

Sementara itu, bagi Muhammad Adam Elvis, 28, mengakui merasakan debaran menjelang Ramadan kerana tidak pernah dilalui sebelum ini walaupun pada agama lama.

Walaupun membuat persediaan seperti cuba berpuasa sunat, Muhammad Adam yang baru memeluk Islam pada November tahun lalu itu bimbang tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

“Seumur hidup saya tidak pernah berpuasa. Ini adalah antara cabaran utama yang harus saya lalui iaitu untuk menahan lapar daripada sebelum solat Subuh hingga azan waktu Maghrib selepas memeluk Islam.

“Ini bukanlah mudah. Saya juga ada membuat sedikit persediaan dengan melakukan puasa sunat. Nampaknya tidak tahan jika tidak bangun sahur yang menjadi masalah utama saya iaitu untuk bangun awal pagi.

“Saya rasa berdebar bimbang tidak dapat melaksanakan perintah Allah SWT itu sebaik mungkin dan mudah terpengaruh melihat orang lain yang bukan Islam makan. Di tambah pula pada bulan Ramadan, umat Islam digalakkan untuk menjaga tingkah laku daripada melakukan perkara yang boleh mengundang sebarang dosa yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Adam bertekad untuk melakukan ibadah puasa sebaik mungkin dengan semangat dan keikhlasan hatinya memeluk Islam kerana inginkan kebenaran.

Berkongsikan kisahnya, Adam yang memperoleh hidayah Islam kerana jatuh hati terhadap seorang gadis Melayu berkata, bukan menginginkan sesuatu tetapi yakin dengan kebenaran Islam membuatkan beliau sanggup meninggalkan agama lama dan memeluk Islam.

“Saya telah menemui jalan kebenaran iaitu agama Islam. Oleh itu, saya harus melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebaik mungkin bukan kerana mengharapkan sesuatu.

“Walaupun mendapat tentangan daripada keluarga pada asalnya, akhirnya ibu bapa saya akur dengan keputusan saya dan saya tidak boleh mensia-siakan peluang ini setelah bergelar Muslim,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: