Psikologi berpoligami


SESEORANG itu akan merasai kenikmatan berpoligami jika bijak membahagikan kasih kepada para isteri. – Gambar hiasan

WALAUPUN dibenarkan, poligami tetap menjadi isu sensitif di Malaysia. Cerita mengenai poligami terus dibualkan, baik pihak lelaki atau wanita.

Tatkala kaum lelaki terus bercerita untuk ‘menambah lagi satu’, wanita pula akan berjuang habis-habisan untuk menolak poligami, malah ada kes-kes yang melibatkan suami yang disimbah dengan asid dan dipotong alat kelamin oleh isteri mereka.

Cerita panas mengenai poligami ini semakin hangat apabila ada lelaki berumur berkahwin lagi satu dengan anak dara sunti.

Sesekali, ia disulam dengan cerita kegagalan suami memberikan nafkah kepada isteri tua dan mengabaikan anak-anak, dan ada pula yang berakhir dengan perceraian.

Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa poligami hanya menjadi amalan untuk masyarakat Islam.

Hakikatnya tidak. Ia juga diamalkan oleh penganut agama Kristian. Poligami juga tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di beberapa buah negara Afrika dan Arab. Ia juga jadi amalan di Israel.

Perbezaannya mungkin hanyalah dari segi amalan poligami, tetapi reaksi psikologikal manusia terhadap poligami tidak pernah berubah.

Mengapa pihak lelaki begitu terangsang untuk berpoligami dan wanita pula tidak sama sekali membiarkan diri mereka berkongsi kasih?

Ia merupakan hakikat psikologikal manusia dan perbezaan fungsi psikologikal antara lelaki dan wanita.

Adakah hal ini sama sahaja di seluruh dunia? Kajian terhadap 37 budaya manusia, merentas hampir seluruh dunia dengan sampel 10,000 manusia, mendapati lelaki akan tertarik dengan wanita yang cantik dan berwajah muda.

Wanita pula cenderung untuk lelaki yang gagah dan mampu menyediakan sumber bagi menjaga wanita.

Lelaki dalam apa budaya pun didapati cenderung mengahwini wanita yang lebih muda. Semakin tua lelaki itu, semakin mereka mengimpikan wanita yang lebih muda dengan perbezaan umur yang ketara.

Perbezaan umur

Sebab itulah kita tidak sepatutnya terkejut kalau mendapati ada lelaki berusia memasang lagi satu wanita muda yang cantik dan bergaya. Ia hakikat psikologikal semula jadi manusia.

Wanita pula hanya mengharapkan lelaki yang umurnya lebih tua daripada mereka, tetapi perbezaan umur ini haruslah tidak begitu ketara dengan mereka.

Bagaimanapun, kajian mendapati wanita kurang tertarik dengan lelaki muda.

Hal ini kemudiannya diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi dalam garis budaya. Budaya inilah yang memperteguhkan perbezaan antara lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, ada hal yang menjadi persamaan. Lelaki dan wanita tetap mengimpikan cinta, kasih sayang dan hubungan mesra. Ini tidak ada bezanya dalam apa budaya sekalipun.

CEMBURU akibat kehadiran orang ketiga boleh menggoyahkan perhubungan yang sedia ada.

Sifat cemburu

Lelaki juga cemburu kalau pasangan wanitanya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Wanita pula tidak suka kalau pasangan lelakinya ada hubungan bersifat emosi dengan wanita lain.

Semua ini berasaskan kepada sejarah evolusi manusia yang membentuk lelaki sebagai penjaga keluarga dan wanita pula akan bergantung kepada apa yang boleh diberikan oleh lelaki.

Kajian-kajian psikologi juga umumnya mendapati bahawa wanita lebih cemburu berbanding dengan lelaki.

Kajian ke atas 202 manusia di Amerika Syarikat yang disoal soalan: “Bayangkan kalau pasangan anda menjalin ikatan dengan orang lain?”

Ada satu kajian mendapati 83 peratus wanita emosinya sangat tertekan kalau mengetahui pasangan mereka ada hubungan percintaan dengan wanita lain, sebaliknya hal ini tidak pula berlaku ke atas pihak lelaki.

Ini bermakna tatkala majoriti wanita bersifat cemburu, ada pula sebahagian kecil yang tidak begitu kisahkan hal ini.

Wanita cenderung berasa bimbang sekiranya pasangan lelaki atau suaminya ada hubungan emosi dengan wanita lain, misalnya bercinta kerana mereka merasakan komitmen dan pengorbanan yang telah mereka lakukan selama ini menjadi sia-sia.

Lebih teruk, mereka berkemungkinan hilang keseluruhannya, kalau lelaki tadi meninggalkan mereka dan memiliki wanita yang ‘baharu’ tadi. Ini tentunya lebih menyakitkan.

Bagi mengukuhkan lagi penemuan ini, kajian tersebut telah diulang lagi dengan menggunakan kaedah fisiologi dengan peralatan seperti electrodermal (EDA), face-electromyogfraphic (EMG) dan tekanan nadi.

Hasilnya nampaknya sama. Wanita cemburu kalau pasangan lelakinya ada hubungan kasih dengan orang lain, tetapi bagi lelaki mereka sangat kecewa kalau pasangan wanitanya ada hubungan kelamin dengan orang lain.

Sebab itulah, tatkala kita mendengar keghairahan kaum lelaki untuk berpoligami dan kaum wanita pula terus sinis dengan poligami, ia sebenarnya adalah hal semula jadi manusia.

Ia akan terus menjadi debat yang tidak berkesudahan. Kita semua berperanan sesuai dengan fungsi dan peranan psikologikal yang menjadi milik semula jadi kita.

Poligami, percintaan dan isu hubungan antara lelaki dan wanita tetap akan terus menjadi isu panas sepanjang zaman.

Douglas Kenrick, seorang ahli psikologi evolusi, berkata: “Kita tidak boleh mengubah evolusi spesies manusia, namun sesetengah perubahan antara kita ada kaitan dengan sejarah.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 61,126 other subscribers
%d bloggers like this: