Rawatan rohani terapi mujarab ubati penagih Dadah


hanya dengan kembali kepada ajaran agama Islam beserta dengan kesedaran diri mampu membawa para penagih ke pangkal jalan. – Gambar hiasan

DADAH musuh nombor satu negara merupakan satu slogan tidak asing lagi dalam usaha membanteras penularan masalah itu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah dadah termasuk menguatkuasakan undang-undang selain penganjuran kempen kesedaran khususnya kepada para belia.

Hal ini boleh dilihat dengan slogan Belia Benci Dadah dan lain-lain lagi.

Malah penggubalan undang-undang seperti hukuman mati mandatori, sebatan dan penjara selain kawalan ketat pemeriksaan barangan di sempadan negara memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras penularan najis dadah.

Tindakan berkenaan hanya daripada sudut pencegahan. Tetapi dalam rawatan pemulihan dadah masih kurang dibincangkan dalam sesi-sesi perkongsian akademik.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani, hal demikian termasuklah pemulihan dadah yang berteraskan agama.

Jelas beliau, wujud segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap pemulihan dadah berteraskan agama kerana kejayaan kaedah tersebut dianggap tidak berasaskan bukti saintifik.

“Pada hari ini, isu-isu pemulihan dan rawatan dadah sering diperkatakan kerana masyarakat dan pihak bertanggungjawab masih mencari formula terbaik dalam usaha-usaha mengatasi masalah penagihan dadah yang terus berleluasa.

“Walaupun telah banyak usaha dilakukan, banyak modal dan kos disalurkan dan lain-lain lagi, namun kita menyaksikan masih banyak lagi penagih dadah mengulangi perbuatan penyalahgunaan bahan berkenaan,” jelas Mohd. Rushdan.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Terapi Psikospiritual Islam dan Pengalaman Pusat Pemulihan Dadah Berteraskan Islam pada Seminar Kebangsaan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2013 anjuran USIM baru-baru ini.

Mohd. Rushdan menegaskan, gabungan rawatan yang berteraskan biologi, sosial, psikologi dan agama wajar menjadi pilihan utama kepada semua pusat pemulihan dan rawatan penagihan dadah dalam mengubati penyakit dalaman berkenaan.

Beliau memetik satu kenyataan yang merumuskan bahawa isu penagihan dadah tidak dianggap sebagai isu fizikal semata-mata, malah masalah itu dianggap sebagai penyakit rohani. Dalam hal ini, gejala dihadapi tidak boleh diubati melalui suntikan, sebaliknya dibimbing rohani mereka.

Perawatan kejiwaan

Terapi Psikospiritual Islam bermakna suatu kaedah perawatan kejiwaan dan kerohanian yang berteraskan kepada sumber-sumber ketuhanan dan amalan-amalan Islam yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Matlamatnya adalah untuk melahirkan kestabilan diri, jiwa dan roh.

Secara konsepnya, ujar Mohd. Rushdan, terapi berkenaan menepati fitrah asal kejadian manusia kerana cara itu merupakan kaedah perawatan yang dianugerahkan oleh Allah selaku tuhan pencipta semua makhluk termasuk manusia.

Kata beliau, sumber rawatan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah bersesuaian dalam merawat keadaan rohani dan psikologi manusia yang rosak selain yakin bahawa Allah sahaja yang mampu memberi penyelesaian terbaik kepada masalah manusia.

“Kaedah ini pada dasarnya menekan kepada kaedah pencegahan lebih baik daripada merawati dan ini dapat dicapai sekiranya seorang hamba itu benar-benar mempunyai kefahaman yang jitu tentang konsep pengabian dan penyerahan diri kepada tuhan.

“Dalam perkara ini, tiga perkara perlu diketahui oleh seseorang insan, pertamanya memiliki ilmu mengenal Allah. Kedua, mempunyai kemampuan dalam mengenal hakikat keinsanan yang besar daripada aspek kerohanian dan terakhir, menyerah diri yang sebenar daripada aspek kerohanian,” kata Mohd. Rushdan.

Uniknya berkenaan pemulihan itu, pada peringkat awalnya, seseorang pesakit itu perlu bergantung kepada pembimbing.

Tetapi pada tahap seterusnya, individu mampu melaksanakan rawatan dengan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri.

“Hal ini disebabkan kerana kaedah itu sebenarnya menuntut seseorang untuk merealisasikan potensi kesempurnaan diri yang ada pada dirinya yang hanya dia seorang mampu menjayakannya.

“Kaedah terapi ini sebenarnya meletakkan diagnosis sebenar seseorang pesakit itu terletak pada ketidakstabilan aspek rohani seseorang dan bukannya fisiologi.

“Terapi ini diyakini mampu menjadi benteng yang kuat dan punca kepada pengukuhan jiwa serta rohani kepada seseorang pesakit. Selagi mana seseorang itu melakukan penyerahan diri kepada Allah, dengan izin-Nya dia terpelihara daripada segala bentuk dugaan dan kejahatan,” kata Mohd. Rushdan.

Rumusan pemulihan

Walaupun berbeza daripada segi kaedah pemulihan, namun masing-masing mempunyai persamaan iaitu cara rawatan bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Jelas Mohd. Rushdan, setiap pusat rawatan dadah persendirian mempunyai identitinya sendiri bagi melahirkan individu yang berilmu dan mengamalkan konsep Islam menerusi rawatan yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, daripada segi kaedah rawatan dan pemulihan, ketiga-tiga pusat rawatan ini mempunyai persamaan kerana menggunakan kaedah rawatan Islam tetapi terdapat perbezaan dalam konsep amalannya.

“Adalah tidak dapat disangkal bahawa pusat-pusat pemulihan dadah yang mengambil pendekatan terapi Psikospiritual Islam ini telah berjaya memulihan sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian.

“Kaedah terapi Psikospiritual Islam ini yang diamalkan oleh pusat-pusat pemulihan telah banyak memberi impak positif kepada pembinaan kerohanian para penagih tersebut. Bagaimanapun, penelitian serius dan proses penambahbaikan kaedah ini perlu dibuat secara berterusan dan lebih bersepadu,” kata Mohd. Rushdan

Comments
One Response to “Rawatan rohani terapi mujarab ubati penagih Dadah”
  1. azira berkata:

    Assalamualaikum ustaz sy perlukan bantuan yg teramat sangat.Abg saya salah seorang penagih dadah.dia sering mengamuk sehingga mencederakan IBU saya.saya sudah call banyak pusat rawatan islam tetapi semuanya dibuka bulan julai rawatannya.rasa nak menangis,abg sy susah semakin teruk keadaannya.sy tak mampu lagi dh ustaz.bantulah sy

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: