Siti Zubaidah Permaisuri bijak dan kreatif


Disediakan oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA, Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

DI dalam sejarah Islam, terdapat ramai srikandi Islam yang bukan sahaja berani di medan perang malah turut menyumbang tenaga membantu masyarakat di sekeliling mereka dengan apa sahaja kemampuan dan kuasa yang mereka miliki. Namun di samping peranan mereka yang penting itu, fitrah semula jadi wanita yang sukakan keindahan dan kecantikan tidak diketepikan.

Di dalam buku-buku sejarah seni Islam agak sukar ditemui mengenai peranan wanita dalam meluahkan cita rasa dan pilihan mereka dalam bidang berkaitan dengan kesenian Islam. Tetapi sewaktu pemerintahan Dinasti Abbasiyah khususnya, terdapat dua orang wanita hebat yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan Khalifah Abbasiyah pada abad ke-8 Masihi / 2 Hijrah iaitu Khayzuran (m. 789 Masihi) dan menantunya Zubaydah (m. 831 Masihi).

Zubaydah lebih dikenali dengan sifat keprihatinannya terhadap rakyat dan cita rasanya terhadap fesyen berbanding Khayzuran, seorang wanita yang bijaksana dan berpengaruh dalam pemerintahan Abbasiyah pada waktu itu. Zubaydah merupakan isteri kesayangan kepada seorang Khalifah Abbasiyah terkenal iaitu Harun ar-Rashid (763-809 Masihi) dan ibu kepada Khalifah Al-Amin (787 – 813 Masihi) yang memerintah selepas kemangkatan Harun ar-Rashid.

Di dalam kemewahan Dinasti Abbasiyah, Zubaydah boleh digambarkan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu yang mempunyai cita rasa tersendiri. Ini mendorong baginda mencipta pakaian dan kasut baginda sendiri. Baginda merupakan orang pertama yang memulakan rekaan kasut dengan tatahan batu permata.

Dalam satu rekod yang menceritakan tentang kehidupan istana Harun ar-Rashid, Zubaydah digambarkan menyiapkan dirinya untuk berjumpa dengan Khalifah seperti berikut: “Baginda bersiram dengan air wangi-wangian, memakai pakaian terbaik daripada 10 helai pakaian yang dimiliki, memakai perhiasan yang indah-indah, memakai tali pinggang broked dan mengenakan dua helai tudung sutera berwarna biru dan emas sebelum mengoleskan celak di matanya dan akhir sekali menutup wajahnya yang cantik dengan sehelai kain sebelum keluar.”

Menurut ahli sejarah al-Mas’udi (871-957 Masihi) Zubaydah mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang kecantikan seperti pakaian, kosmetik dan sebagainya, namun sifat ini diimbangkan dengan minat dan ketakwaan beliau melakukan kerja-kerja amal. Sebagai isteri kesayangan khalifah, baginda dianugerahkan dengan pelbagai kemewahan yang melimpah ruah.

Sumbangan dan keprihatinan baginda dalam penyediaan kemudahan untuk jemaah haji seperti penginapan dan bekalan air yang mencukupi untuk jemaah haji amat diingati dalam sejarah. Baginda orang pertama yang mengarahkan supaya telaga zam-zam digali lebih dalam (kira-kira 4.5 meter) bagi memastikan bekalan air zam-zam yang mencukupi untuk semua jemaah haji yang datang ke Mekah.

Satu lagi sumbangan baginda ialah menyediakan jalan yang selamat bagi memudahkan perjalanan jemaah haji Iraq ke Mekah. Jalan ini dikenali dengan nama Jalan Zubaydah. Ini tidak termasuk harta yang dibelanjakan untuk membantu rakyat yang berada dalam keadaan memerlukan yang tinggal berhampiran dengan istana baginda. Baginda amat dikenali di kalangan rakyat jelata sebagai seorang yang pemurah dan prihatin.

Zubaydah juga menyediakan jadual giliran tadarus berkumpulan yang dianggotai oleh sepuluh orang daripada 100 orang dayang setiap satu untuk membaca al-Quran sepanjang hari di kediaman baginda.

Baginda merupakan seorang wanita Islam yang dianugerahkan Allah SWT dengan status yang tinggi, kecantikan, kuasa dan kemewahan namun baginda menyeimbangkan peranan dan tugas baginda dengan bijak sebagai amanah seorang isteri kepada pemimpin dengan meringankan beban Khalifah dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Peranan yang dimainkan Zubaydah dalam menjaga kebajikan rakyat ini menjadi ikutan puteranya yang menjadi Khalifah Abbasid seterusnya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: