Perpisahan nabi Musa a.s dengan nabi Khidir a.s


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

PERBINCANGAN masih berkisar tentang Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS. Jelaslah bahawa pembahagian al-Quran kepada 30 juzuk adalah dari segi lafaz bukan dari segi makna. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa akhir satu juzuk dan permulaan juzuk yang lain masih membicarakan satu perkara yang belum selesai.

Pada ayat ke-75 Ibnu Kathir berkata: “Di sini Nabi Khidir menegaskan seraya mengingatkan kepada Nabi Musa dengan syarat yang pertama.”

Al-Maraghi berkata: “Berbeza dengan ayat yang sebelumnya, ayat ini ditambah dengan perkataan laka (kepadamu) bagi menguatkan celaan ke atas penolakkan wasiat oleh Nabi Musa.”

Di samping itu juga menunjukkan Nabi Musa orang yang kurang sabar, kurang tabah, dan nampak sombong kerana tidak mempedulikan peringatan yang pertama itu.

Al-Baghawi berkata: “Diriwayatkan bahawa Nabi Yusha AS bersabda kepada Nabi Musa “sebutkanlah janjimu.”

Sayid Qutub berkata: “Yakni (aku telah katakan) kepada engkau sendiri dengan tegas dan tepat, tetapi engkau tidak percaya dan masih memohon bersahabat dan menerima syarat.”

Musa kembali berbincang dengan hatinya sendiri. Beliau dapati dia kini telah dua kali menyalahi dan melupakan janjinya setelah diberi peringatan, lalu dengan terburu-buru beliau (mengambil keputusan) memotong jalan untuk dirinya dan menjadikannya sebagai peluang terakhir yang ada di hadapannya.

Pada ayat ke-76, Ibnu Kathir berkata: “Engkau telah mengemukakan alasan keuzuran kamu beberapa kali kepadaku.”

Al-Maraghi berkata: “Nabi Musa bersabda kepada Nabi Khidir jika selepas ini, aku bertanya lagi kepadamu tentang keajaiban perbuatanmu yang aku saksikan dan memintakanmu supaya menjelaskan hikmahnya, apatah lagi berdebat dan menentangnya, janganlah kamu menganggap aku sebagai temanmu.”

Pada ayat ke-77, Ibnu Kathir berkata: “Penggunaan kata iradah atau kehendak bagi dinding bukan menurut hakikatnya tetapi sebagai kiasan sahaja. Hal ini dibahaskan dalam ilmu Balaghah dan bahasa Arab.”

Al-Maraghi: “Selepas tindakan yang kedua, Nabi Khidir dan Nabi Musa meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebuah negeri. Apabila sampainya di situ, kedua-duanya meminta makanan daripada penduduk tempatan tetapi penduduk di situ tidak mahu melayan mereka.”

Selepas itu, kedua-duanya mendapati di negeri itu terdapat tembok yang condong dan hampir roboh.

Nabi Khidir segera mengusapnya dengan tangannya sehingga tembok itu berjaya ditegakkan dengan kukuh. Fenomena ini merupakan salah satu daripada mukjizatnya.

“Jika kamu mahu, tentulah kamu menerima upah untuk itu,” sabdi Nabi Musa sebagai dorongan kepada Nabi Khidir agar menerima upah daripada pekerjaannya sebagai punca pendapatan bagi mendapatkan makanan, minuman dan urusan kehidupan yang lain.

Ibnu Kathir berkata, pada ayat ke-78, kerana kamu telah memberikan syarat pada waktu pembunuhan anak kecil yang mana kamu tidak akan mempertikaikan aku, maka aku tidak boleh menerima lagi kamu dan sekarang sampailah masa berlaku perpisahan antara aku dan kamu.

Al-Maraghi berkata, Nabi Khidir bersabda kepada Nabi Musa: “Penentangan yang terus menerus ini menjadi punca perpisahan antara aku dengan kamu bersesuaian dengan syarat yang telah kamu tetapkan ke atas dirimu sendiri.”

Mengapa peristiwa yang ketiga itu menjadi punca berlakunya perpisahan? Sewajarnya perpisahan berlaku sejak peristiwa sebelumnya. Kerana pada zahirnya kejadian pertama merupakan suatu perbuatan mungkar sehingga Nabi Musa AS mengemukakan keraguan kepada Nabi Khidir.

Berbeza sekarang, berbuat baik kepada orang yang membuat perkara buruk itu bukan perbuatan mungkar, bahkan satu perbuatan yang terpuji.

Nabi Khidir akan menceritakan kepada Nabi Musa hikmah dan kesan daripada perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan.

Antara yang menimbulkan tanda tanya kepada Nabi Musa ialah perbuatan Nabi Khidir melubangkan sampan, membunuh pemuda dan menegakkan tembok yang condong.

Sayid Qutub berkata: “Sampai di sini Musa dan juga kita yang mengikuti penceritaan al-Quran ini sedang menghadapi peristiwa-peristiwa luar biasa yang berturut-turut dan memeranjatkan tanpa mengetahui sebarang rahsianya.”

Pendirian kita juga sama dengan pendirian Musa terhadap peristiwa-peristiwa itu. Malah (lebih daripada itu) kita tidak mengetahui siapakah gerangan lelaki yang menunjukkan tindakan-tindakan ganjil itu. Al-Quran tidak menceritakan namanya kepada kita untuk melengkapkan suasana sulit dan kabur yang melingkungi kita.

Apakah nilai namanya? Kerana dia hanya dikehendaki melahirkan hikmat ilahiyah yang tinggi yang tidak mengaturkan natijah yang dekat di atas mukadimah yang dapat dilihat, malah ia tujukan kepada tujuan-tujuan yang jauh yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata yang terbatas.

Oleh itu, ketiadaan nama itu adalah sesuai dengan sahsiah abstrak yang diwakilinya. Dari awal lagi kekuatan-kekuatan ghaib telah mengendalikan kisah ini. Lihatlah Musa yang mahu menemui lelaki yang dijanjikan itu telah meneruskan perjalanannya. Tetapi tiba-tiba teman pemudanya telah terlupa kepada bekalan makanan mereka di atas batu.

Seolah-olah supaya kedua-duanya pulang kembali ke tempat itu, kerana di sana Musa dapat menemui lelaki itu. Sudah tentu beliau tidak dapat menemuinya jika beliau dan temannya terus berjalan mengikut hala mereka dan jika takdir Ilahi tidak mengembalikan mereka di tempat batu itu.

Seluruh suasana adalah sulit, kabur dan majhul, begitu juga nama lelaki itu sulit, kabur dan majhul dalam penerangan al-Quran al-Karim.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: