Nabi Khidir bocorkan perahu


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

PADA kali ini, masih lagi dibincangkan berkenaan dengan isu pertemuan Nabi Musa AS dengan gurunya.

Pada ayat ke-70, Ibnu Kathir berkata: Iaitu sehingga aku yang mulai memberikan penjelasan kepadamu sebelum kamu bertanya kepadaku.

Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir AS bersabda kepadanya: Apabila kamu berjalan bersamaku, janganlah kamu bertanya kepadaku tentang sesuatu yang tidak kamu setujui terhadapku. Sehingga aku mula menyebutkannya, lalu aku terangkan kepadamu akan kebenaran kerana sesungguhnya aku tidak akan melakukan sesuatu kecuali yang benar dan dibolehkan, sekalipun pada lahirnya tidak dibolehkan. Syarat daripada Nabi Khidir AS itu diterima oleh Nabi Musa AS demi memelihara kesopanan seorang murid terhadap gurunya.

Pada ayat ke-71, Ibnu Kathir berkata: Nabi Khidir AS bangkit dan kemudian melubangkan perahu tersebut, lalu mengeluarkan papan perahu tersebut dan kemudian memotongnya sedang Nabi Musa AS tidak dapat menahan diri menyaksikan hal itu hingga akhirnya dengan nada menolak.

Huruf lam dalam ayat ini merupakan lam yang bererti akibat bukan lam yang bererti sebab.

Sayid Qutub berkata: Bahtera itu sedang membawa kedua-duanya bersama penumpang-penumpang yang lain dan kini mereka berada di tengah laut yang bergelombang, tiba-tiba datang hamba yang soleh itu lalu melubangkan bahtera itu. Pada zahirnya tentulah perbuatan ini akan mendedahkan bahtera dan para penumpangnya kepada bahaya karam dan membawa mereka kepada bencana itu. Oleh itu, mengapa lelaki ini berani mencabar bencana itu?

Musa telah lupa kepada janji yang telah dikatakannya dan kepada syarat yang telah dikemukakan oleh sahabatnya ketika menghadapi tindakan yang ganjil itu, yang tidak mempunyai sebarang alasan mengikut pandangan logik akal. Kadang-kadang seorang itu dapat memahami konsep umum yang mujarrad, tetapi ketika dia berdepan dengan pelaksanaan amali dan contoh yang sebenar daripada konsep ini ia mendapat kesan yang berlainan daripada kefahaman secara teori tadi, kerana pengalaman amali mempunyai kecapan yang berlainan daripada kecapan kefahaman mujarrad.

Lihatlah kepada Musa AS yang sebelum ini telah diperingatkan bahawa beliau tidak akan berupaya menahan kesabaran terhadap perkara-perkara yang tidak akan diketahuinya dengan mendalam, lalu beliau berazam untuk menahankan kesabaran sambil memohon pertolongan daripada masyi’ah Allah SWT dan memberi janjinya dan menerima syarat itu. Kini beliau bertembung dengan pengalaman amali daripada tindakan lelaki itu, lalu beliau terus membantah dengan terburu-buru.

Pada ayat ke-72, Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir AS bersabda: Bukanlah aku telah katakan kepadamu wahai Musa. Sesungguhnya, kamu sekali-kali tidak akan mampu bersabar bersamaku lantaran perbuatan yang aku lakukan.

Sayid Qutub berkata: Lalu Musa AS meminta maaf atas kelupaannya dan memohon agar lelaki itu menerima permintaan maafnya dan janganlah menyulitkannnya dengan mengulangi kata teguran dan peringatan.

Pada ayat ke-73, Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, janganlah engkau menyempit dan menyakitkan diriku.

Al-Maraghi berkata: Nabi Musa AS berkata kepada Nabi Khidir AS: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelalaianku untuk berserah diri kepadamu, tanpa mengingkari kamu. Janganlah kamu membebankan aku sesuatu kesulitan dan janganlah kamu menyempitkan urusanku ini. Janganlah kamu mempersulitkan aku untuk mengikut kamu, tetapi mudahkanlah sesuatu itu tanpa berdebat denganmu.

Pada ayat ke-74, Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya, bahawa anak itu sedang bermain dengan anak-anak lainnya di sebuah perkampungan. Nabi Khidir AS sengaja mendekati anak itu yang berada di tengah anak-anak lainnya. Dia adalah anak yang paling bagus, tampan dan ceria di antara kawan-kawannya. Lalu Nabi Khidir AS membunuhnya. Wallahu ‘alam

Al-Maraghi berkata: Setelah mereka berdua turun dari kapal dalam keadaan selamat daripada tenggelam dan bencana, maka mereka pun meneruskan perjalanannya menyusuri pantai. Lalu, Nabi Khidir AS melihat seorang anak yang sedang bermain bersama kawan-kawannya yang sebaya, lalu Baginda AS membunuhnya. Namun, sejauh ini, al-Quran al-Karim tidak pernah menceritakan bagaimana (cara) Nabi Khidir AS membunuh anak itu. Apakah disembelih atau dihentamkan kepalanya pada tembok atau dengan cara lain. Bagi kita, tidak perlu memeningkan kepala memikirkan hal itu, kerana sekiranya perkara itu ada kebaikannya, tentu Allah SWT akan menceritakan hal itu kepada kita.

Nabi Musa AS bersabda kepada Nabi Khidir AS: Apakah kamu membunuh dia yang bersih daripada dosa tanpa alasan atau dia pernah membunuh suatu jiwa yang diharamkan.

Alasan ini disebutkan oleh Nabi Musa AS secara khusus antara alasan-alasan lain yang membolehkan pembunuhan, seperti kekafiran setelah iman dan perzinaan setelah berkeluarga. Ini kerana, alasan ini lebih mungkin terjadi jika dilihat kepada keadaan anak itu.

Sayid Qutub berkata: Jika pada kali yang pertama dia melubangkan bahtera yang membawa kemungkinan menenggelamkan para penumpangnya, maka kali ini dia membunuh seorang manusia, iaitu membunuh dengan sengaja bukannya semata-mata persoalan kemungkinan. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar yang tidak dapat disabari oleh Musa walaupun dia teringat kepada janjinya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar mengikut perintahnya. Amin

Comments
One Response to “Nabi Khidir bocorkan perahu”
  1. JIWA HAMBA berkata:

    Reblogged this on jiwa hamba.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: