Iman menakjubkan menjanji kemenangan Islam


Oleh Mohd Azmir bin Maideen

Peperangan Yarmouk adalah pertempuran sengit yang berlaku di antara Islam dan Rom Timur (Byzantine) selama 6 hari pada tahun 636 M. Pertempuran tersebut merupakan salah satu pertempuran penting dalam sejarah dunia, kerana ia menandakan penguasaan kerajaan Islam di luar Tanah Arab, dan kemasukan Islam ke Palestin, Syria dan wilayah yang pernah menjadi perkembangan tamaddun Mesopotamia, di mana majoriti rakyatnya adalah penganut agama Kristian.

Pertempuran ini terjadi semasa pemerintahan Umar Al Khattab, khalifah Islam ke-II. Pertempuran ini juga merupakan salah satu kemenangan bagi Khalid Al Walid yang paling gemilang, dan mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah seorang panglima yang berkebolehan. Berdasarkan hal itu, ada pendapat mengatakan Umar mengambil keputusan memecat Khalid dari jawatan panglima perang kerana khuatir ketokohannya, kehebatannya, pengalamannya yang disanjung setiap kali pertempuran didakwa orang sebagai punca segala sebab kemenangan Islam. Pemecatan yang dilakukan oleh Umar itu kemudiannya disambut penuh redha oleh Khalid Al Walid tanpa sebarang bantahan.

Begitupun sejarah tidak dapat menafikan kehebatan seorang tokoh pejuang Islam yang tersohor dengan gelaran “Saifullah” ini, terutama sekali sewaktu peperangan Yarmouk. Khalid Al Walid telah mengendalikan perang ini dengan bertahan (defensive) dan kemudian melakukan serangan balas (counter attack) secara mengejut. Selama enam hari peperangan berlangsung akhirnya Rom berjaya dikalahkan pada hari itu juga. Kejayaan ini juga antara siri-siri kejayaan Al Quds dikembalikan ke tangan umat Islam.

Antara keistimewaan lain yang turut berlaku dalam perang tersebut ialah, kerajaan Islam yang dipimpin Khalifah Umar pada waktu itu mempertaruhkan sejumlah pasukan tentera yang jauh lebih kecil iaitu seramai 30 000 orang + 10 000 ekor kuda, berbanding tentera Rom seramai 240 000 orang. Namun pasukan Islam mampu bertahan, bahkan menang melawan pasukan yang sangat besar jumlahnya.

Peperangan Yarmouk ini membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan elemen sebenar mengalahkan musuh. Kejayaan peperangan itu mesti dibuktikan dengan keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah dan menyebarkan dakwah Islam.

Di sebalik kemenangan itu, turut tercatat bagaimana Islam begitu menghormati hak musuh. Mereka yang ditawan tidak sewenang-wenangnya dilayan seperti hamba abdi, sebaliknya hak mereka dipelihara menurut syariat. Apabila prinsip dan akhlak ini dijaga, hal itu membuatkan musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati yang redha.

Dalam peperangan Yarmouk, seorang panglima Rom bernama George memeluk agama Islam setelah mendapat penjelasan dari Khalid Al Walid mengenai Islam. George yang pada awalnya mengetuai unit serangan sayap kanan tentera Rom, meluru mara di hadapan pasukan tentera Islam dan melaung-laung nama Khalid Saifullah, seolah-olah ingin mencabarnya bersemuka satu lawan satu.

Taktik itu kemudiannya digunakan George sebagai peluang untuk bertemu Khalid Al Walid, tokoh panglima Islam yang digelar pedang Allah itu dan bertanya :

O Khalid, tell me the truth and do not deceive me, for the free do not lie and the noble do not deceive. Is it true that Allah sent a sword from heaven to your Prophet? And that he gave it to you? And that never have you drawn it but your enemies have been defeated?

“Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta, jangan kamu menipu dan kerana sesungguhnya orang yang budiman (orang yang beriman kepada Allah seperti kamu) itu tidak berdusta. Adakah benar bahawa Allah telah memberikan kepadamu sebilah pedang dari syurga kepada Nabi-mu? Kemudian pedang tersebut diserahkan pula kepadamu? Maka, atas sebab itu setiap kali pertempuran kamu tidak pernah tewas, bahkan kamu-lah yang menewaskan musuh (dengan pedang itu)?”
Khalid tersenyum menjawab, “Tidak. Kenyataanmu itu tidak benar.”

“Lalu apakah sebabnya kamu dikenali Saifullah (Pedang Allah)?”, George bertanya sambil merenung perdu mata Khalid yang dalam.

Khalid kemudian menjawab, “Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad, seluruh kaumnya kerabatnya sangat memusuhinya, termasuklah aku. Aku adalah orang yang paling membencinya. Namun, selepas Allah memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah S.A.W menerimaku dan memberi gelaran kepadaku `’Saifullah’ (pedang Allah). Bukanlah gelaran itu ku galas untuk berperang dengan orang bukan Islam, tetapi ingin mengajak kamu menjadi saksi…”

“Apa yang kamu panggil kepadaku tadi?”, tanya George.

“Untuk menjadi saksi…”, Khalid menyambung jawapannya, ” Untuk menjadi saksi… bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Kami juga ingin mengajak kamu supaya mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar (memahami dan mendekati ajaran Islam)”.

“Kalau aku tidak mahu menerimanya?”, George bertanya lagi.

“Kamu diharuskan membayar jizyah, dan selama kamu membayar jizyah – nyawamu, hartamu dan segala milikmu berada di dalam pengawasan umat Islam. Selama kamu membayar jizyah, kami tidak akan membiarkan sesiapapun menumpahkan darahmu dan merosakkan harta bendamu, bahkan kamilah yang akan menuntut bela dan mempertahankan kamu dari segala ancaman.”

“Bagaimana jika aku tetap tidak mahu membayarnya?”, George cuba mencungkil jawapan yang lebih mendalam dari mulut panglima Islam itu.

“Apa jua perkara yang menimpamu, kami tidak akan membela dan memangku apa-apa tanggungjawab ke atas hal itu”, kata Khalid.

“Bagaimanakah kedudukan seseorang jika ada yang memeluk Islam pada hari ini? Adakah ke-Islaman orang itu sia-sia kerana tiada ganjaran pahala yang diterima olehnya di sisi Allah”, George mengharap jawapan yang mencerahkan persoalannya.

Khalid menjawab, “Di hadapan Allah, kita sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang terdahulu atau yang terkemudian masuk Islam. Orang yang datang kemudian lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terdahulu memeluk Islam, kerana kami yang terlebih dulu masuk Islam, yakni menerima Islam ketika Rasulullah masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada Baginda S.A.W. Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian, tidak menyaksikan apa-apa yang kami saksikan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memeluk Islam yang datang terakhir, maka dia akan lebih mulia kedudukannya, malah lebih besar pahalanya kerana dia memeluk Islam tanpa menyaksikan bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dulu.”

Kemudian George berkata, “Jika begitu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku mengenai Islam.”

Dengan wajah gembira Khalid mengajak George masuk ke dalam khemah dan mengajarnya menyebut ‘syahadatain’, kemudian Khalid mengajar George berwudhu’ dan mengerjakan solat dua rakaat bersamanya. Apabila tentera Rom mendapati George tidak keluar-keluar dari khemah tersebut, mereka mengira bahawa George telah dibunuh oleh Khalid Al Walid lantas mereka terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.

Selepas selesai mengerjakan solat, Khalid, George bersama tentera-tentera Muslimin meneruskan peperangan sehingga dalam pertempuran tersebut, George yang menyertai barisan kaum Muslimin terbunuh dan syahid di medan peperangan. Mulanya kafir, kemudiannya Mukmin dan diakhir hayatnya syahid.

Kisah ini mengenangkan kembali lembaran hadis tentang pertanyaan Rasulullah S.A.W kepada para sahabatnya, “Siapakah yang paling menakjubkan imannya?”

“Para Malaikat”, jawab Sahabat.

“Tentu sahaja keimanan Para Malaikat dikagumi, kerana mereka sentiasa hampir dengan Allah”, jelas Rasulullah menyatakan jawapan para sahabat kurang tepat.

Para Sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka menjawab lagi, “Para Nabi”.

“Tentu sahaja Para Nabi itu hebat imannya, bukankah wahyu diturunkan kepada mereka?”, Baginda mempersoalkan jawapan Sahabat.

“Mungkin kami (para sahabat Nabi)”, celah seorang Sahabat.

“Masakan tidak, sedangkan kamu berada bersamaku”, pintas Rasulullah S.A.W menyangkal hujah sahabatnya.

“Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui”, jawab seorang Sahabat lagi, mengakui jawapan mereka yang tidak menepati kehendak Rasulullah.

“Kalau kamu ingin tahu siapa mereka, mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membenarkan Al Quran dan beriman (melaksanakan) semua isi kandungannya (berjihad dengan harta dan nyawa). Merekalah orang yang paling menakjubkan imannya”, jelas Rasulullah S.A.W. [ Riwayat Al Bazzar ]

Adakah kita termasuk dalam hadis yang dibicarakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W di sini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: