Islam di Jepun bagai ledakan


Susunan JUANI MUNIR ABU BAKAR

MASJID Kobe merupakan masjid pertama dibina di Jepun walaupun pada permulaanya penduduk Islam di negara matahari terbit itu merupakan masyarakat minoriti.

PENJAJAHAN asing di negara kita telah memberi impak positif kepada penyebaran Islam di benua lain termasuklah Jepun yang turut tidak terlepas tempiasnya. Di sebalik tempoh penjajahan itu, sebenarnya telah mendatangkan 1001 hikmah kepada dakwah Islamiah.

Hal ini diketahui apabila terdapat fakta yang mengatakan asimilasi agama Islam di Jepun disebabkan oleh penjajahan negara matahari terbit itu di Malaysia, selain daripada kesan orang Melayu yang berkhidmat di atas kapal-kapal British dan Belanda pada abad ke-19.

Walaupun tidak dapat dipastikan kesahihannya, sama ada wujud hubungan orang Melayu dengan Jepun pada waktu itu, tetapi terdapat juga dakwaan yang menyatakan adanya pengaruh Islam dari negara lain ke negara itu pada peringkat awal.

Satu lagi fakta penting, pada 1890 apabila Empayar Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal tentera laut, Ertugrul ke Jepun untuk tujuan kunjungan hormat ke sana. Bagaimanapun kapal itu musnah dilanda ribut pada 1890.

Untuk pengetahuan umum, walaupun agama Islam di negara matahari terbit itu merupakan sebuah agama minoriti, tetapi ia tidak menghalang seorang warga Jepun bernama, Kotaro Yamaoka untuk menunaikan haji pada awal abad 1900. Yamaoka yang memeluk Islam pada 1909 di Bombay, India selepas tersentuh dengan karya penulisan seorang penulis Islam kelahiran Rusia, Abdurres Ibrahim.

Seorang lagi rakyat Jepun yang turut menerima hidayah Ilahi ialah Bunpachiro Ariga. Dia melafazkan kalimah syahadah sewaktu di India untuk tujuan perdagangan dan kemudiannya dikenali sebagai Ahmed Ariga.

Walaupun terdapat segelintir rakyat Jepun memeluk agama Islam tetapi kehidupan Islam jelas ketara selepas ketibaan beratus pelarian Turki-Tatar dari Asia Tengah dan Rusia ekoran Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia Pertama.

Pelarian yang beragama Islam itu telah diberikan perlindungan di Jepun dan mereka menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun. Pada masa sama, mereka telah menubuhkan komuniti-komuniti Muslim yang kecil sehinggalah terdapat orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan tersebut.

Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil itu, beberapa buah masjid telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada 1935. Rumah ibadat itu merupakan masjid tunggal di Jepun sehinggalah Masjid Tokyo dibina pada 1938.

Hal itu kerana masyarakat Islam Jepun tidak mengambil berat tentang pembinaan masjid, bahkan tidak terdapat seorangpun daripada mereka yang pernah menjadi imam.

Ledakan Islam

Semasa Perang Dunia Kedua, satu fenomena yang dipanggil ‘Ledakan Islam’ telah dimulakan oleh kerajaan Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Difahamkan pada waktu itu, sebanyak 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun.

Bagaimanapun, penubuhan pusat-pusat penyelidikan itu sama sekali tidak dikelolakan oleh orang Islam dan tujuannya bukan untuk penyebaran Islam tetapi matlamat sebenarnya adalah untuk melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam.

Ini kerana terdapat sebahagian kawasan jajahan Jepun, majoriti rakyatnya adalah beragama Islam, khususnya di Tanah Melayu.

Sebaliknya, usaha penyelidikan itu berakhir begitu sahaja selepas tamatnya Perang Dunia Kedua iaitu pada 1945.

Satu lagi ‘Ledakan Islam’ ialah selepas krisis minyak pada 1973. Media massa Jepun telah memberi publisiti meluas tentang dunia Islam secara amnya, khususnya dunia Arab selepas Jepun menyedari kepentingan negara-negara itu terhadap ekonomi mereka.

Dengan publisiti meluas itu, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton siaran haji di Mekah dan mendengar azan serta bacaan al-Quran.

Kesannya, ramai orang Jepun memeluk Islam pada ketika itu, bahkan terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak tamat, kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.

Malah terdapat fakta mengatakan para juruterbang yang bertugas ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia Kedua telah diajar mengungkapkan kalimah syahadah ketika pesawat mereka ditembak jatuh supaya mereka tidak dibunuh.

Sebuah pesawat Jepun dikatakan telah ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk kampung. Apabila juruterbang itu mengucap kalimah syahadah, dia berasa hairan kerana para penduduk itu bertindak memberi layanan baik kepadanya.

Cabaran masa kini

Walaupun terdapat banyak fakta berhubung asimilasi agama Islam wujud di Jepun tetapi terdapat anggaran negatif berhubung bilangan orang Islam di negara itu. Ada yang mengatakan jumlah orang Islam di negara itu hanya berjumlah ratusan orang.

Perkembangan itu disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah kelemahan dari segi orang-orang Islam Jepun itu sendiri, selain timbul perbezaan orientasi antara generasi tua dengan generasi baru.

Bagi generasi tua, Islam disamakan dengan agama Malaysia, Indonesia, China, dan sebagainya. Tetapi bagi generasi baru, negara-negara Asia Tenggara tidak begitu menarik hati disebabkan pengaruh daripada orientasi Barat dan mereka lebih dipengaruhi oleh Islam di negara-negara Arab.

Bagaimanapun disebabkan taburan orang Islam yang amat sedikit, terjemahan al-Quran dalam bahasa Jepun susah didapati. Tiada karya kesusasteraan Islam di dalam buku-buku kedai atau perpustakaan-perpustakaan awam, kecuali beberapa esei dan buku dalam bahasa Inggeris yang dijual pada harga yang mahal.

Mereka sebagai Islam juga menghadapi kesusahan terhadap komunikasi, perumahan, pendidikan kanak-kanak, makanan halal serta kesusasteraan Islam selain tekanan-tekanan dan godaan-godaan gaya hidup moden.

Oleh itu, tanggapan salah terhadap ajaran Islam yang dilakukan oleh media-media Barat perlu diperbetulkan dengan cara yang lebih cekap dan tepat agar Islam tidak disalahtafsirkan oleh rakyat Jepun yang bukan beragama Islam, sekali gus menyelamatkan keberadaan komuniti Islam berbangsa Jepun di sana.

Imej Islam di Jepun telah tercalar teruk oleh kejadian pembunuhan Hitoshi Igarashi disebabkan oleh penterjemahan ayat-ayat Syaitan (The Satanic Verses), selain Serangan 11 September 2001 yang telah menambah imej negatif terhadap agama Islam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: