Mendepani ujian kesihatan


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

kurangnya kesedaran tentang perlindungan kesihatan, menyebabkan kebanyakan individu tidak dapat menanggung perbelanjaan perubatan. – Gambar hiasan

SEMUA orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan harmoni. Seseorang itu sanggup berbuat apa sahaja demi untuk mencapai kebahagiaan dan keharmonian dalam hidup. Ada yang sanggup memerah keringat, membanting tulang empat kerat, mengorbankan harta dan ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa.

Tetapi malangnya ramai yang terlupa dalam banyak-banyak perkara yang penting untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup ialah kesihatan fizikal dan mental.

Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak dan seringkali tabungan untuk kesihatan tidak ramai yang betul-betul membuat persiapan dan persediaan.

Malah, yang lebih malangnya terdapat di kalangan kita yang memandang remeh terhadap aspek tersebut dengan alasan di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Oleh itu, pada pandangan mereka kenapa perlu bersusah-payah lagi untuk menyediakan dana untuk tujuan tersebut. Inilah musuh yang paling bahaya iaitu zon selesa (comfort zone).

Dewasa ini kita seringkali dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit kritikal yang memerlukan dana yang besar untuk kos rawatannya. Penyakit darah tinggi dan kencing manis antara dua jenis penyakit yang boleh memberi kesan sampingan yang kronik termasuklah serangan sakit jantung.

Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh terbesar di Malaysia. Di samping itu, penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang, strok dan sebagainya juga antara penyakit yang dikenal pasti menjadi pembunuh rakyat Malaysia masa kini.

Penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi. Sebagai contoh, anggaran perbelanjaan perubatan rawatan kanser payudara di sekitar RM20,000 ke RM100,000. Tanpa ada tabungan yang cukup, mana mungkin kita boleh menampung kos perubatan yang begitu tinggi.

Akhbar-akhbar tempatan dan antarabangsa melaporkan ramai individu yang terpaksa berhutang untuk menampung pembiayaan kos perubatan hospital. Oleh kerana terlalu banyak berhutang, maka ia akan memberikan kesan negatif kepada individu berkenaan. Antaranya, kegagalan membayar balik hutang kad kredit, pinjaman rumah dan kereta disebabkan bebanan tanggungan kos perubatan.

Kos untuk perkhidmatan perubatan juga turut meningkat dari semasa ke semasa sehingga menjadi suatu beban yang akhirnya terpaksa ‘merempat’ untuk menagih simpati bantuan orang ramai.

Dalam keadaan sebegini sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan, iaitu beban menanggung penyakit yang dihidapi dan juga menanggung beban kewangan.

Akibat daripada kurangnya kesedaran tentang perlindungan kesihatan, maka kebanyakan individu tidak dapat menanggung perbelanjaan perubatan dan akhirnya menyebabkan mereka berhutang.

Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan amat mementingkan penjagaan kesihatan fizikal sebagaimana Islam mementingkan penjagaan kesihatan jiwa dan akal.

Malah kaedah penjagaan kesihatan dalam Islam lebih syumul bila mana Islam menetapkan bahawa kesihatan itu bukan hanya kesihatan fizikal semata-mata, malah ia mencakupi kesihatan jiwa dan akal.

Kesihatan adalah anugerah yang sangat bernilai dan perlu dihargai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu. (riwayat Bukhari )

Sabda Nabi SAW lagi: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah. (riwayat Muslim)

Islam mendidik kita untuk menjaga kesihatan dengan cara mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Apabila sudah ditimpa penyakit maka Islam mengajar kita agar tidak berputus asa dan hendaklah berusaha mencari penawar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat. (riwayat Al-Bukhari )

Di antara kaedah lain yang ditekankan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan ialah menitikberatkan kebersihan. Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit yang meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran.

Makanan seimbang adalah antara kaedah yang juga diberi penekanan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan. Setiap hari kita menikmati pelbagai jenis juadah makanan untuk keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti sehari hari.

Pendek kata, Islam amat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan malah memerintahkan penganutnya sentiasa mengambil berat akan hal ini. Ia seperti yang disebut dalam pepatah Arab, akal yang sihat pada tubuh badan yang sihat.

Oleh itu, menjadi satu tuntutan untuk memastikan segala langkah diambil demi menjaga kesihatan termasuklah menyediakan dana atau sumber kewangan yang cukup.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: