Hijrah tidak berjaya tanpa disertai iman


Bersama Mohd Zawawi Yusoh

MENGAPA golongan sahabat apabila turun ayat supaya orang beriman berhijrah, mereka berebut-rebut mengambil peluang itu walaupun antara mereka sudah dimamah usia.

Malah, dalam peristiwa hijrah itu ada seorang lelaki tua sanggup meminta anaknya mendukungnya berhijrah ke Madinah yang jaraknya dari Makkah sejauh 300 kilometer (km).
Tetapi, niat murninya itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia di pertengahan jalan. Begitulah kisah semangat serta tahap keimanan mereka yang inginkan perubahan dalam dirinya.

Allah menjanjikan pahala besar kepada mereka yang sanggup berhijrah walaupun mereka mati ketika dalam perjalanan.

Orang beriman perlu berhijrah dengan meninggalkan segala-galanya termasuk harta benda dan nyawa walaupun ia amat bererti buat mereka.

Kenapa kita perlu kepada penghijrahan? Ini disebabkan dengan hijrah seluruh kehidupan kita lebih bermakna. Hijrah juga tidak akan berlaku jika ia tidak turut serta dengan iman.

Hijrah tidak menuntut kita melakukan perkara pelik-pelik kerana cukup sekadar kita melakukan amalan wajib yang diperintahkan ke atas diri kita seperti solat, zakat dan puasa.

Apabila kita serius melakukannya serta berusaha memperbaiki tahap kesempurnaannya, itu sudah di kira berhijrah.

Jika kita berhijrah daripada melakukan solat Isyak di tengah malam kepada awal waktu, ia perubahan yang baik. Begitu juga jika kita berusaha untuk memahami ayat yang kita baca dalam solat, ia juga satu hijrah supaya timbul khusyuk.

Apabila mahu melakukan hijrah, jangan fikir apa yang kita akan peroleh di hujungnya kerana kadangkala hijrah tidak pasti kita sampai ke destinasi akhir.

Apa yang penting, hijrah perlu dilakukan di permulaan supaya kita tahu di mana kedudukan iman kita.

Jika umat Islam dapat melakukan hijrah dengan bersungguh-sungguh, mereka akan seronok melakukan apa sahaja termasuk bekerja, belajar atau melakukan ibadat seharian.

Jangan rasa kerja itu sebagai perkara kecil. Ia juga berkait rapat dengan akhirat. Rasulullah s.a.w ketika pulang daripada perang Tabuk bertemu dengan Saad Musa al-Ansari dan bertanyakan kulit tangannya yang menggelupas serta hangus kehitaman.

Rasulullah bertanya kepada Saad: “Apa yang terjadi kepada tangan kamu?” Jawab Saad: “Aku mencangkul tanah untuk menanam pokok demi mencari nafkah buat keluarga aku.”

Lalu Rasulullah mengambil tangan Saad kemudian menciumnya sambil bersabda: “Inilah tangan yang tidak disentuh api neraka.”

Dalam riwayat lain: Selepas mencium tangan Saad, Nabi bersabda: “Inilah tangan yang dicintai Allah dan Rasulullah.”

Jadi terbukti nilai kerja yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh mempunyai nilai yang begitu agung di sisi Allah s.w.t .

Wang perlu dalam hidup kita, tetapi ia bukanlah segala-galanya. Kita menyaksikan ramai hartawan yang dilimpahi kekayaan namun mereka tidak bahagia.

Wang boleh membeli ubat, hospital atau kepakaran perubatan yang moden, tetapi ia tidak boleh membeli sembuh.

Begitu juga, wang boleh membeli rumah yang besar atau tilam yang empuk, tetapi ia tidak boleh membeli tidur.

Jadi semua perkara yang kita lakukan setiap masa dan ketika itu perlu dilakukan atas dasar keimanan yang luhur.

Terdapat tiga konsep iaitu iman iaitu:

1. Ilmu yakin

2. ‘Ainul yakin

3. Haqqul yakin

Dalam Islam terdapat beberapa golongan yang perlu kita tahu, antaranya:

1. Munafik- Golongan pada zahirnya mengaku beriman dengan Allah s.w.t dan Rasul, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman.

2. Fasik – Mereka berbuat baik dan jahat. Contohnya, mereka masih melakukan dosa, tetapi melakukan solat. Dalam istilah nafsu, ia disebut nafsu lawwamah.

3. Muslim – Kadangkala melakukan perkara tidak baik, tetapi masih kekal dengan kebaikan.

4. Mukmin – Ia adalah tingkat paling baik kerana hasilnya lahirlah golongan yang amal, amin, ‘immune’ iaitu kekuatan dalaman yang mampu mengekang maksiat.

Dalam berhijrah jangan lupa berdoa kerana ia adalah senjata umat Islam. Nabi Muhammad s.a.w yang tidak mempunyai dosa pun berdoa kepada Allah 100 kali sehari, inikan manusia yang sentiasa bergelumang dengan noda.

Justeru, dalam bulan hijrah ini, marilah kita berazam untuk melakukan perbuatan yang lebih baik berbanding sebelumnya dengan berdoa moga Allah memberkati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: