Rujuk sirah nabi dalam menangani provokasi cemar imej Islam


Oleh Enizahura Abdul Aziz

Ketika jalan raya negara di serata dunia dipenuhi umat Islam yang bangkit menentang penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’, ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran untuk bertindak sedemikian rupa.
Ada yang mempersoalkan sama ada tindakan yang diambil itu bersifat Islamik atau sebaliknya.

Dalam menjawab persoalan ini, yang jelas kemarahan umat Islam itu adalah satu bentuk tindakan yang bersifat rasional.

Nilai rasional kepada tindakan itu terletak pada tindak balas yang sememangnya sudah dijangka akan terjadi apabila seorang insan yang sangat dimuliakan dan dikasihi umat Islam seluruh dunia dicerca dan dicalar keperibadiannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan individu yang terbabit dalam penerbitan filem itu bukan hanya bertujuan mencemar dan memburuk-burukkan imej Rasulullah SAW serta sahabat Baginda, malah masyarakat dunia dibohongi dengan maklumat palsu dan yang berniat jahat.

Persoalan juga timbul apabila kemarahan umat Islam dunia tertumpu kepada Amerika Syarikat. Bendera AS dibakar dan kedutaan mereka menjadi sasaran kumpulan penunjuk perasaan.
Mengapa negara itu yang menjadi fokus dan bukan hanya terhad kepada Nakoula Basseley, iaitu individu yang menerbitkan filem berkenaan?

Ramai yang mengaitkan tindakan mencemar imej Rasulullah SAW ini sebagai kesan daripada prinsip Dasar Luar AS terhadap negara Islam terutama di Asia Barat juga dilihat sebagai penyumbang kepada kebencian yang meningkat di kalangan umat Islam ketika ini.

Selama berpuluh tahun, dasar luar Amerika Syarikat terhadap isu seperti perjuangan rakyat Palestin dan sikap lepas tangan negara itu mengenai keganasan rejim Israel terhadap masyarakat Palestin menyebabkan umat Islam melihat ia sebagai satu bentuk ketidakadilan dan penindasan.

Seharusnya penindasan secara tidak langsung ini difahami sebagai satu faktor penyumbang kepada kemarahan memuncak umat Islam serata dunia.

Bagaimanapun, umat Islam harus sedar bahawa provokasi seumpama itu berterusan dilakukan oleh individu yang sememangnya mahu mengiyakan bahawa Islam sebagai satu agama yang membenarkan dan menggalakkan umatnya untuk bertindak secara agresif.

Sudah tiba masanya umat Islam menunjukkan bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang mereka sangkakan.

Protes dan penentangan boleh dilakukan secara aman dan dalam keadaan di mana Islam tidak diletakkan di dalam neraca pertimbangan sebagai agama yang menggalakkan perlakuan ganas dan radikal.

Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat tentang Islam yang sebenar.

Sebagai contoh, di United Kingdom, organisasi ‘Discover Islam’ mengambil inisiatif untuk memberi beribu-ribu naskhah al-Quran dan buku bacaan mengenai peribadi dan sirah Rasulullah SAW secara percuma sebagai inisiatif menyebarkan maklumat sebenar mengenai Islam dan Rasul.

Dalam menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, perlu juga diteliti kembali akhlak dan peribadi Baginda dalam menghadapi golongan kafir yang sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah SAW dengan berkata: “Kamu dari Bani Abu Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”.

Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan dia hampir-hampir memenggal leher lelaki Yahudi itu. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.

Perlakuan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini menyebabkan lelaki Yahudi itu memeluk Islam selepas melihat tanda kenabian pada wajah dan akhlak Baginda apabila diuji sedemikian rupa.

Sirah Rasulullah SAW adalah rujukan utama yang seharusnya diteliti dan diteladani oleh umat Islam dalam menghadapi provokasi musuh-musuh Islam yang senantiasa ingin meletakkan Islam di atas penilaian negatif masyarakat dunia.

Islam adalah kehidupan bagi umatnya, justeru pembelaan terhadap Islam dan Rasulnya ini adalah satu manifestasi kecintaan dan ibadat seorang hamba kepada Allah SWT.

Walaupun begitu, umat Islam haruslah memastikan bahawa sebarang tindakan yang dilakukan dalam menghadapi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu, akan menjadikan Islam dipandang lebih mulia dan dihormati dan bukan sebaliknya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: