Pertahankan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w dengan penuh hikmat


Mohammad Fazril Mohd Salleh

Nabi Muhammad SAW adalah makhluk terbaik yang diciptakan Tuhan, diutus buat semua dan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Kewajipan mentaati Nabi Muhammad adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat disangkal seorang Muslim yang beriman. Malah, menyintai Nabi Muhammad SAW antara kewajipan seorang Muslim yang menjadi tanda keimanannya.

Perjalanan kehidupan baginda Nabi SAW, tidak pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran, penghinaan dan cacian yang dilemparkan oleh kaum Musyrikin yang memusuhi Baginda.
Walau apa pun penghinaan dan cacian terhadap baginda Nabi Muhammad SAW, sebagai Muslim, kita mengetahui akan hakikat kemuliaan Nabi secara yakin tanpa sebarang keraguan.

Filem hina nabi

Berikutan insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nakoula Basseley Nakoula dari California yang menghasilkan sebuah filem berjudul The Innocence of Muslim dan dimuat naik di laman sosial YouTube, adalah wajar pelajar dan mahasiswa Muslim disarankan untuk memperdalam pengetahuan mengenai peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan peribadi Nabi SAW daripada sebarang penghinaan. Walau bagaimanapun, tindakan ganas dan liar yang dilakukan oleh demonstrasi dalam siri tunjuk perasaan seluruh dunia sehingga meragut nyawa adalah tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan.

Tindakan ganas bangkit fenomena Islamofobia
Tindakan terburu-buru yang emosional seperti ini dapat mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama Islam dan membangkitkan fenomena Islamofobia seperti firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah, selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dulu mereka kerjakan” (Al-An’am: 108)

Sekiranya kita ingin membantah dan melakukan perhimpunan aman, itu tidaklah menjadi masalah. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan lunas syarak dan akhlak Islami.

Umumnya mengetahui penghasilan filem ini adalah tindakan bodoh seorang pembikin filem yang mempunyai masalah integriti dan terlibat dalam beberapa jenis jenayah. Justeru, selain daripada menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap filem bodoh ini, apa lagi kesan luahan dan tunjuk perasaan kita?

Pastinya Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan umatnya yang cinta dan kasih kepada baginda. Namun, jika akhlak tidak terjaga, kebencian membara dalam hati dan tindakan luar batas sehingga mendatangkan fitnah kepada agama Islam, apakah semuanya ini akan menggembirakan Nabi Muhammad SAW?

Tanpa menafikan peranan aksi tunjuk perasaan dan demonstrasi membantah filem ini, penulis berpandangan, masyarakat dunia jangan melupakan pembantaian yang sedang berlaku ke atas umat Islam dunia yang sedang merana dan memerlukan bantuan segera.

Tunjuk perasaan dan advokasi membantah pembunuhan bangsa Rohingya di wilayah Arakan, Myanmar, krisis berdarah Syria dan penindasan yang tidak berkesudahan di Palestin, Kashmir, selatan Thailand dan lain-lain haruslah sentiasa konsisten.

Kempen kemanusiaan wajar diteruskan

Malah kempen kemanusiaan dan kutipan dana bantuan untuk mangsa krisis kemanusiaan ini wajar terus berjalan dan diperhebatkan. Sekiranya Nabi Muhammad SAW bersama kita, pastinya baginda berbangga dengan tindakan ini kerana asas ajaran baginda Nabi SAW ialah kasih sayang dan saling membantu.

Oleh demikian, masyarakat Malaysia harus bertindak wajar dan bijak memberi fokus dalam setiap tindakan. Amalkan sunnah dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi tanda cinta kasih kita kepada Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: